05 May, 2014
Kejohanan Bowling Pertama.
Bismillahirrahmanirrahim.
Pertama kali saya menyertai Kejohanan Bowling Majlis Kakitangan Kerajaan Sabah tahun ni. Mula-mula dulu saya hanya jadikan bermain boling sebagai satu hobi dan cara release tension, tapi tidak sangka saya ter'serius' pula dalam sukan boling.
Saya mewakili Jabatan Pelajaran Sabah. Tapi adat bertandinglah...ada menang ada kalah, dan yang kalah tu team saya. hihi
Tapi dapat pengalaman bertanding tu paling penting. Lagipun saya masih sangat baru dalam boling, terlalu banyak perkara yang saya kena belajar daripada bowler2 yang sudah hebat dan berpengalaman terutamanya bowler wanita Sabah yang sudah banyak kali mewakili Sabah ke Maksak Malaysia di Kuala Lumpur.
Bila bermain boling, dan ingin menyertai mana2 pertandingan, coaching itu perlu dan study lane condition sebab setiap balingan yang cantik adalah dari kepakaran kita membaca keadaan oil lane. Saya belum pandai, jadi kejohanan baru2 ini sepertinya lane tidak menyebelahi saya kerana saya hanya bergantung kepada jenis balingan baby hook yang saya training sebelum ini.
Apapun, saya seronok dan dapat banyak pengalaman first time masuk tournament bowling :) Tahun depan insha Allah usaha lagi.
29 April, 2014
Rindu Pena.
Bismillahirrahmanirrahim.
Semoga Allah memberi kekuatan dan istiqamah untuk menulis perkara yang baik-baik. Apa khabar dunia blog? Pastinya saya sudah terlalu jauh ketinggalan. Semoga enjin baru dan semangat yang tiba-tiba datang ini mampu jadi pemangkin untuk menjaga ruang coretan ini.
Pena yang sangat berdebu untuk disentuh kembali, pena yang terlalu bersawang untuk digapai kembali, tapi tak apa, saya akan bersihkan debu-debu dan sawang itu, belai kembali dan harus saya ingat 3 perkara dalam dunia menulis.
1. Mudah
Kenapa mudah? kerana ini zaman teknologi. Menulis dan update blog tidak semestinya kena buka laptop atau on komputer. Smartphone pun boleh..jadi, sangat mudah walaupun hanya tulis, 'Apa khabar kawan-kawan?' dan klik 'publish'. Mudah kan.
2. Ringan
Sudah tentulah ringan, smartphone usung ke sana ke mari. Betul tak? alah, laptop kecik pun ada. gajet je berlambak, bertimbun-timbun alat-alat canggih nak buat apa kalau tak guna. ehem, pandainyeeee cakap..
3. Serius
Bab serius ni saya lebih suka zahirkan dengan perkataan konsisten atau pun istiqamah. Apa sahaja pekerjaan yang baik haruslah dengan sifat istiqamah. Semoga hari ini memberi nafas istiqamah untuk saya berkongsi idea-idea dalam blog saya ini.
Sungguh, saya terlalu rindu mencoret di blog seperti dulu. Punya rakan-rakan blogger yang baik hati dan saling bertukar pendapat. Maka, rindu ini saya luahkan hari ini semoga idea mengemaskini blog sendiri berterusan tanpa henti.
Satu sapaan istimewa buat semua follower Pena Farhana yang disayangi semua,
Apa khabar kawan-kawan Pena?
:)
24 November, 2012
Topup rohani
Santapan rohani pagi.
Akhir-akhir ini saya menghadapi kecelaruan emosi. Suami saya tidak lama
lagi akan berangkat semula ke Mesir meneruskan agenda pencarian ilmu.
Tipu kalau saya kata tidak sedih bila memikirkan akan berjauhan lagi,
tetapi saya akan sentiasa meredhai dia kerana itu adalah satu tuntutan
di sisi agama.
Saya berfikir, adakah aku ini bersedih-sedihan, emosi turun naik hanya dsebabkan suami akan berangkat demi sebuah ilmu?
Celaru. Saya bermunajat hina di hadapan Allah. Kotak fikir saya ligat
berpusing mencari punca. Kemudian terbentang jelas di gambaran mata saya
segala penderitaan rakyat di bumi Gaza, Syria, serta Rohingya.
Akhirnya saya tahu punca kecelaruan ini. Rohani saya tidak merasai
fana' dunia sepertimana rakyat di Gaza. Fana' dunia ini bermakna, dunia
ini tidak memberi erti apa-apa. Rohani saya biasa-biasa saja. Kenapa
biasa saja? kerana saya tidak dibentangkan dengan peperangan di depan
mata, saya hidup penuh nikmat, bila lapar, saya boleh makan apa sahaja,
bila mengantuk saya boleh tidur bila-bila masa sahaja. Tidur pula
beralaskan empuknya tilam dan bantal.
Saya monolog lagi di
hati. Kenapa? adakah aku ini inginkan negara yang berperang?? tumpah
darah terkorban nyawa? adakah aku tidak bersyukur Malaysia yang ada
sekarang?
Bukan. Bukan itu maksud hati saya. Lama saya terdiam.
Foto-foto bumi Gaza yang dibom, bayi dibunuh, ibu dikelar, semuanya
saya tatap satu persatu. Saya doa dalam hati, Ya Allah, tunjukkan aku
apa yang aku tidak sedari, tunjukkan aku apa yang aku tidak ketahui,
pimpin aku ke jalan yang benar kepada Islam.
Akhirnya pagi ini
suami sudi mengisi rohani saya dengan tazkirah yang lembut namun cukup
terkesan di hati. Saya sudah rasa tenang dan lega.
"beruntunglah Gaza dan Syria, Allah dah sediakan istana untuk mereka di
Syurga. Mereka tersiksa di dunia, tapi tidak di akhirat. Syahid ni,
hanya orang terpilih je Allah bagi. Sesiapa yang dapat syahid, dia tak
akan dihisab dah, automatik terus masuk syurga.
Umpamanya
kalau lalu tol, kita-kita semua ni beratur nak lalu tol, orang yang mati
syahid, ada jalan istimewa tak payah beratur tunggu. Terus jalan je
masuk istana yang Allah dah sedia. Betapa tinggi dan indah anugerah
Allah untuk orang-orang yang dikurniakan syahid ni.
Zaman
nabi dulu, sahabat-sahabat yang kaya, bila dapat harta, mereka akan
secepatnya melepaskan harta tu dari diri mereka dengan melakukan infaq
kepada fakir miskin kerana orang kayalah paling banyak lalu checkpoint
kat mahsyar nanti sebab Allah nak hisab satu persatu harta tu semua
belanjakan kat mana.
Sayang, kalau satu hari Allah uji kita
dengan banyak harta, doa selalu moga kita berdua jadi manusia yang
sentiasa mahu berinfaq di jalan Allah.
Sepuluh ringgit kita
bagi ikhlas kat peminta sedekah, sepuluh ringgit itulah milik kita di
akhirat nanti. Satu ribu kita bagi ikhlas kat keluarga kita yang susah,
satu ribu itulah harta kita di akhirat, sepuluh ribu kita bagi ibu bapa
atau orang miskin untuk tujuan membantu mereka, sepuluh ribu itulah
harta abadi kita di akhirat.
Ingat selalu, apa-apa sahaja yang
kita bagi ikhlas kat orang, itu semua akan menjadi milik kita di
akhirat. Abang nak kita dua ingat selalu PERBANKAN AKHIRAT ini. "
Saya bersyukur, masih ada sisa nafas untuk terus menghayati betapa
indahnya ISLAM. Mari wahai sahabat semua, beringatlah. Gaza tersiksa di
dunia, tetapi hamparan mahligai menanti mereka semua di akhirat. Kita
pula hidup penuh nikmat, bercampur baur dengan hiburan melalaikan, lagha
yang tidak sudah-sudah, serta maksiat di sana-sini. MAKA di akhirat
kita tidak akan bersama Gaza meniti mahligai indah, tetapi kita kena
beratur untuk dihisab, adakah SYURGA atau NERAKA!
Mari sama-sama hayati hidup kita di tahap mana, iman kita bagaimana, semoga di akhirat kelak kita umat yang tidak rugi.
Terima kasih suami yang sentiasa ajar saya.
ALLAHUMMANSUR IKHWANANA FI FALASTIN!
ALLAHUMMANSUR IKHWANANA FI FALASTIN!
ALLAHUMMANSUR IKHWANANA FI FALASTIN!
11 April, 2012
Maafkan Ibu
Bismillahirrahmanirrahim. Moga lenggok pena maya saya yang hina ini berlabuh hanya pada redho Rabbul Izzah.
"Maafkan Ibu"
Mentari indah pagi itu tidak seindah hati Johan yang berbalam. Di tatapnya berulang kali surat jemputan untuk hari konvokesyennya ahad ini.
'Ayah dan Bonda jemputan terhormat..' dia tidak menghabiskan bacaannya seperti sebelum ini. Ahh. Rimas dirasakan. Kenapa mesti ada surat jemputan ini?? mengapa pihak universiti mewajibkan kehadiran ibu bapa?? soalan itu bertalu menghenyak akal fikirannya.
"tahniah johan, kau memang hebat!" ucapan tahniah itu diterimanya dari rakan-rakan sepanjang hari dia berada di kampus.
Memang sudah diduga, Johan Afzan Hashim akan dianugerahkan sebagai calon paling cemerlang Universiti Kebangsaan Malaysia kerana kehebatannya dalam akademik dan bidang-bidang lain.
Dia meraih pointer tertinggi dalam peperiksaan akhir dalam misinya memburu segulung ijazah. Dia juga dinobatkan sebagai Pelajar Terpintar rantau asia tenggara apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam Pertandingan Inovasi Gerak Belia Asia Mahasiswa. Namanya menjadi sebutan, kejayaannya diraikan dan dibanggakan.
Jauh di pinggir desa, sepasang wajah tua tersenyum bahagia melihat kejayaan sang anak mempersembahkan kehebatan demi kehebatan kepada dunia.
********************
"KRINGG KRINGG" deringan telefon memecah bunyian unggas di teratak usang milik mereka.
"Tuan dan Puan dijemput hadir ke majlis konvokesyen UKM ahad ini sebagai tetamu terhormat, tahniah atas kejayaan anak Tuan dan Puan" wakil dari pihak universiti menghubungi ibu dan ayah Johan untuk menjemput mereka hadir di majlis itu.
Senyuman dan ucapan syukur silih berganti meniti dibibir tua mereka berdua. Anak satu-satunya kini bersinar bak kemilau permata.
Hari ini kepulangan anak yang tercinta, dalam hati ibu dan ayah, pastilah pulangnya untuk menjemput mereka untuk ke majlis bersejarah itu.
"ibu tak payah pegi lah!" tinggi suara Johan. Keningnya berkerut seribu, tiada senyum diukir.
"kenapa tak kasi ibu kamu pegi?" tanya ayah Johan. Dia sudah menjangka anaknya pulang dengan wajah suram.
"tak de apelah, ibu tak payahlah pegi, nanti letih, KL tu jauh!" Johan mencipta alasan. Si ibu hanya diam tetapi ada senyuman salju menyambut kata-kata anaknya.
"sebab kamu malu ibu kamu buta kan?" tanya ayah Johan lagi. Johan senyap.
"kamu malu sebab ibu kamu buta kan??" kali ini suara ayah Johan lebih tinggi. Seakan mencabar ego anaknya.
"ye!! Johan malu!! kawan-kawan Johan, semua mak diorang sempurna!! tak buta macam ibu!!!" Johan membentak.
"ayah lagi malu ada anak macam kamu Johan, ayah tak tahu macam mana kamu boleh jadi pelajar cemerlang, ayah hairan sungguh" suara ayah Johan perlahan, tetapi ada nada kesal dari seorang ayah.
"tak apa lah bang, jangan marah Johan.. tak apa nak, ibu tak pegi ye, jangan muram macam tu, nanti nak terima anugerah mesti ceria.." kata-kata lembut ibunya menyapa telinga. Johan senyap seribu bahasa, tetapi rasa lega bertakhta di hati. Sekurangnya dia tidak perlu lagi untuk menebalkan muka di hari konvokesyennya nanti.
Hari penganugerahan berlangsung dengan linangan airmata gembira dari seorang ibu di beranda usang. Hanya ayah Johan menjadi tetamu terhormat, namun, saat nama sang anak dilaung bangga, airmata kesedihan seorang ayah bercucuran mengenang hakikat budi rendah seorang anak terhadap ibunya.
Tiada seinci pun rasa bangga di hati ayah Johan. Selepas majlis itu, dia tidak menunggu lama, terus meminta diri untuk pulang ke kampung kerana risau isterinya yang buta sendirian di rumah.
*****************************
Kini Johan adalah seorang usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya serta sudah beristeri. Empayar perniagaannya mencipta kejayaan demi kejayaan bertali arus, title usahawan muda jutawan menjadi kebanggaannya setiap hari. Di tambah pula, dirinya telah menjadi menantu kebanggaan buat Tan Sri Hanafi, menteri di jabatan Perdana Menteri.
Sepanjang itu juga, Johan tidak pernah pulang ke kampung, apatah lagi membawa isterinya bertemu kedua orang tuanya. Masyarakat mencela sikap Johan yang tidak mengenang budi, tetapi sang ibu tampil membela dengan penuh rasa kasih buat seorang anak.
Ibunya menanggung nestapa rindu yang tiada berkesudahan. Anak satu-satunya yang ditatang sejak lahir ke dunia tiada di sisi di hari-hari tua. Sakit menimpa sang ibu berbulan lamanya, digagahkan kudrat untuk setia menanti kehadiran sang anak yang dirindui. Namun, takdir Allah tiada siapa mampu mengubah, ibu Johan menghembuskan nafasnya yang terakhir diribaan suami tercinta.
Ayah Johan redha atas pemergian isterinya dengan linangan airmata. Hendak disusun langkah bertemu anak di hari pemergian sang ibu, sungguh dia tidak berdaya. Akhirnya ibu Johan dikebumikan dengan seribu kesayuan penduduk kampung.
Minggu berikutnya, ayah Johan mengemaskan langkah mengumpul sejuta kekuatan menyembah anak durhaka, demi kasih buat Allahyarham isteri yang telah bersemadi.
Sri Kencana Holdings tersergam indah di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ayah Johan menyusun langkah perlahan masuk ke bangunan megah dan mewah itu. Dia segera bertemu seorang wanita yang berada di kaunter dan menyatakan hasrat untuk bertemu dengan anaknya Johan.
"encik dah buat temujanji?" tanya wanita itu.
"tak ada, saya tak dapat hubung dia kat telefon, jadi saya datang sini saja" jawab ayah Johan sopan.
"maaf encik, Tuan Johan ada meeting penuh hari ni" kata wanita itu.
"tak apa, saya tunggu kat sini saja" jawab ayah Johan.
Seharian ayah Johan menunggu di ruangan bawah bangunan. Dia hanya keluar mencari musolla untuk menunaikan solat jamak dan menunggu semula di ruangan itu dengan penuh sabar. Lapar di perut seolah tidak terasa.
Jam senja sudah berlabuh, ayah Johan masih setia menunggu. Akhirnya Johan dan beberapa orang kanannya keluar melintasi ruangan tempat ayahnya menunggu.
"Johan!" ayahnya memanggil. Johan terkejut melihat ayahnya ada di hadapan. Johan segera meminta izin dari rakan lain dan membawa ayahnya ke sudut ruangan bangunan itu agar jauh dari pandangan orang.
"buat apa ayah datang sini??" tanpa bertanya khabar, Johan mengajukan soalan itu. Hati seorang ayah sudah tidak tertahan melihat anak yang hilang adab susila.
"terima kasih sebab kamu masih kenal ayah, ayah datang nak bagitahu ibu kamu dah tak ada, ibu kamu dah pergi buat selamanya, ayah datang bukan nak tagih apa-apa dari kamu, ayah cuma minta beberapa minit masa kamu hari ni dan lepas ni ayah tak jumpa kamu pun tak apa lah" perlahan suara ayahnya tapi jelas dia menahan sebak, airmata sudah bertamu, tapi dikesat airmata itu dengan hujung lengan baju yang lusuh.
Saat itu Johan terdiam.
"ayah nak sampaikan pesan ibu kamu, sebelum ibu kamu pergi, dia minta ayah cakap ni pada kamu, maafkan ibu yang buta, ibu halalkan air susu ibu, ibu ampunkan semua dosa kamu, ibu doakan kamu jadi anak yang mengenang Allah dan tau erti budi" sejenak ayah Johan terhenti, mengesat lagi airmata yang tumpah.
"Johan, setelah sekian lama ayah pendam rahsia ini, tapi hari ini biar kamu tahu, supaya ayah masih boleh berharap kamu jadi insan yang tau diri...dulu kamu lahir ke dunia, mata kamu buta, ibu kamu yang hadiahkan mata dia untuk kamu sebab ibu tak sanggup kamu membesar tanpa melihat dunia..mata kamu sekarang itu adalah mata ibu kamu yang kamu selalu rasa hina dengan dia.." ayah Johan menangis. Rindu pada isterinya semakin mendalam.
"semoga kamu jadi manusia yang tahu diri, itu saja yang ayah nak cakap kat kamu, ayah minta diri dulu, assalamualaikum" lengan baju yang lusuh kini basah dengan airmata, ayah Johan melangkah meninggalkan anaknya dengan kesedihan berlipat ganda.
Seperti petir menyambar segala urat tubuh, Johan menangis buat pertama kali. Seluruh tubuhnya menggeletar dan penyesalan yang hadir umpama gunung menghempap badan. Sesak dan sempit dirasakan, pinar mata mengiringi tangisnya senja itu bersaksikan Kencana Holdings yang gah namun berlitupkan kelana airmata pemiliknya yang tiada berpenghujung.
Tamat.
P/s: Semoga saya dan semua anak-anak di luar sana sepenuh jiwa menghargai ibu dan bapa masing-masing.
16 January, 2012
Emneya (part 8)
Perkahwinan Syed Erman dan Ku Sarah kini menjadi sebutan seluruh warga kota. Perkahwinan seorang ahli perniagaan terkenal, pasti semuanya tidak sabar menanti hari bahagia itu tetapi tidak bagi Erman. Dia langsung tidak berhati untuk melangsungkan rencana perkahwinan yang sudah disepakati oleh kedua belah pihak.
Hati dan otaknya kini berpusat pada Emneya seorang. Celaru yang dia pernah lalui selama berkecimpung dalam dunia bisnes tidak setanding dengan celaru hatinya waktu itu. Ini bukan soal bisnes syarikat, bukan soal untung rugi dan harta, tetapi soal hidup mati wanita pertama yang dicintainya yang kini bergelar isteri.
Segala tanggapan negatif dan buruk sangka di hatinya terhadap Emneya sebelum ini lenyap sama sekali, yang tinggal hanya cinta dan kasih buat isterinya itu. Ibarat cinta mekar semula, hati seolah tidak mampu menerima sebarang perpisahan.
Erman merenung lantai bilik berjubinkan rona bunga, dulu bilik itu menjadi saksi teguhnya kasih terhadap Emneya. Di bilik itulah terlakar kenangan manis dan telatah lembut isterinya itu. Masa dan saat itu sudah terlalu mustahil untuk diulang kembali. Airmatanya bergenang lagi.
*******************************
Pagi itu Erman tekad memberitahu mamanya bahawa dia ingin membatalkan perkahwinan dengan Sarah. Di meja makan, mereka bersarapan bersama, Syarifah Nur Zalia sibuk bercakap tentang persiapan majlis resepsi Erman dan Sarah.
"mama nak buat majlis resepsi man dengan sarah kat Pavilion Hotel, Raflesia Hall tu besar, lengkap, senang nak buat majlis, meja tetamu boleh.."
"man nak cakap sesuatu dengan mama" belum sempat Syarifah Nur Zalia menghabiskan kata-katanya, Erman sudah mencelah.
"what is it?" Syarifah Nur Zalia mengangkat kening, sambil matanya seakan terbeliak.
"man tak nak kawin dengan Sarah ma.." setelah kekuatan dikumpul sepenuh hati, akhirnya terpacul juga ayat itu di depan mamanya.
"man jangan nak buat hal!! dengar ni, kiamat sekalipun man mesti kawin dengan Sarah, faham?!!" suara Syarifah Nur Zalia bergema mengejutkan penghuni di dalam banglo itu seraya berdiri meninggalkan Erman berseorangan.
Beberapa minit kemudian, kelihatan mamanya turun dari tingkat atas bersama beg tangan tergantung di bahunya menandakan dia akan keluar.
"pegi jumpa Sarah and decide invitation!!" pesanan keras Syarifah Nur Zalia kepada Erman sebelum keluar dari rumah. Erman sekadar membatu di meja makan, matanya jatuh ke pinggan berisi roti bakar. Tidak disentuh pun makanan itu.
Erman berdiri kemudian menuju ke bilik belakang, ingin bertemu Emneya. Dilihatnya Emneya tekun membersihkan halaman belakang dapur. Sambil duduk Emneya mencabut rumput yang tumbuh meliar di kawasan tepi pasu bunga. Mukanya semakin hari tampak pucat dan tidak bermaya, namun dikerah tenaga yang ada untuk membuat apa sahaja jenis kerja di rumah itu.
Erman memandang sayu ke arah Emneya. Dia menghampiri Emneya dan duduk betul-betul di hadapan isterinya itu. Di raih tangan Emneya dan mengelus lembut. Emneya senyum bila menyedari kedatangan suaminya.
"neya dah makan..?" perlahan suara Erman.
"dah tadi....." jawab Emneya lembut sambil bibirnya mengukir senyum. Mendengar suara Emneya, Erman jadi bertambah sayu. Tidak dapat ditahan-tahan rasa sayu itu, matanya sudah mula berkaca, ditahannya air itu agar tidak memecah benteng yang menghalang airmata itu jatuh.
Erman mendongak ke atas sambil mengelipkan mata beberapa kali agar airmata teduh kembali. Jemari Emneya masih dipegangnya erat.
"abang nak bawa neya jumpa doktor..abang tak nak neya sakit.." redup suara Erman, namun dia berusaha menghidupkan harapan yang semakin sirna.
"neya tak apa-apa bang, neya sihat..abang jangan risau ye.." wajah pucat itu cuba memberi keceriaan buat sang suami.
"neya...maafkan semua salah abang ye, abang nak sama-sama neya selalu lepas ni" bibir Erman bergetar menahan sedih.
"abang nak selalu dengan neya.." semakin perlahan suara Erman.
"neya..janji dengan abang, walaupun abang kawin dengan sarah, abang nak neya selalu ada dengan abang..janji ye.." Kali ini tidak ditahan airmata yang bergenang, ia gugur jatuh tepat di jemari Emneya sewaktu Erman mengucup tangannya yang halus. Emneya mengangguk sambil mengusap rambut suaminya dan berdoa di dalam hati semoga suaminya tabah menghadapi saat yang sukar ini.
*********************************
Majlis perkahwinan besar-besaran telah tiba, pernikahan Erman dan Sarah akan berlangsung pagi itu di kediaman mewah milik keluarga Sarah.
"Erman! faster! kita nak bertolak cepat" laung Syarifah Nur Zalia dari tingkat atas. Erman yang sudah lengkap berbaju melayu satin putih hanya mendengar kosong kata-kata mamanya. Airmata bertamu sejak semalam, tidak mampu dibendung rasa pilu di hatinya.
Emneya tidak dibenarkan untuk ikut serta ke majlis itu. Dia hanya mampu bersabar dengan semua ketentuan di hadapan hidupnya. Dia masih terus membuat kerja-kerja yang sepatutnya di dapur.
Mek Jah juga merasa sedih sekali melihat situasi yang berlaku, namun dia tidak berdaya menyatakan apa-apa kerana dia hanyalah seorang tukang gaji di rumah itu.
Syarifah Nur Zalia, Syed Hanif dan Mek Jah sudah sedia untuk bertolak, pemandu peribadi Syed Erman juga sudah menanti. Erman berlari menuju ke belakang mencari Emneya, airmata sudah menitis ke bumi. Dia mendapatkan Emneya. Emneya senyum memberi semangat buat suami tercinta. Senyuman itu menambahkan lagi kesedihan yang berlipat ganda.
Erman merasakan seolah dia akan pergi jauh dari Emneya, sungguh. hatinya sedikit pun tidak merasa gembira dan bahagia. Tambahan lagi melihat wajah pucat isterinya yang tidak sihat, Erman merasa seperti petir sedang merentap tulang-tulang badannya.
"neya.." Erman memeluk isterinya erat.
"neya tunggu abang balik ye..." bisik Erman perlahan ke telinga Emneya. Airmata Erman semakin deras.
"tunggu abang ye..." suara tangisnya kedengaran.
"abang jangan nangis..." lembut Emneya memujuk, tapi airmatanya juga sudah berguguran.
"tunggu abang ye..." Erman teresak perlahan sambil disentuh kedua belah pipi Emneya. Diusap lembut ubun-ubun isterinya dan mengucup dahi Emneya penuh kasih.
"abang sayang neya..tunggu abang balik ye..." di dakap erat isterinya seolah tidak mahu melepaskan. Erman tahu, beberapa saat lagi mamanya akan menjerit memanggil.
"abang balik nanti...neya tunggu ye.." Erman memberi sinar pengharapan. Dia mahu hatinya kuat pagi itu demi janjinya untuk pulang bertemu Emneya semula.
Erman sekuat hati melepaskan dakapan sambil mengucup jari-jemari Emneya. Emneya melangkah keluar menghantar suaminya dengan doa semoga segalanya berjalan lancar. Kaki Emneya terus melangkah ke jalan hadapan kawasan rumah sehingga kereta yang membawa mereka hilang dari pandangan.
Waktu itu dia merasakan sunyi. Rindu terhadap suaminya semakin kuat. Fikirannya terbang, hanya Erman dalam ingatan. Tanpa disedari, dia melangkah lebar ke tengah jalan, tanpa diduga, sebuah kereta laju melintasi kawasan kediaman lalu merempuh tubuh kecil Emneya.
Emneya terbaring dengan darah berlumuran, anak matanya masih sedar dan hatinya masih setia memanggil sayu nama suaminya, Erman.
*bersambung
12 December, 2011
Lafaz Sakinah
Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, sudah sebulan lebih saya menjadi isteri kepada Mohammad Hairil Abd Rahim. Saya meniti suatu perjalanan yang panjang untuk mengukir semula senyuman, dan Allah sentiasa adil kepada semua hambaNya.
Saya bahagia dengan anugerah Allah ini. Terima kasih ya Allah :)
InsyaAllah, saya akan lunaskan semua hutang tertunggak terhadap Pena Farhana selepas ini, wait ya..
Alhamdulillah, sudah sebulan lebih saya menjadi isteri kepada Mohammad Hairil Abd Rahim. Saya meniti suatu perjalanan yang panjang untuk mengukir semula senyuman, dan Allah sentiasa adil kepada semua hambaNya.
Saya bahagia dengan anugerah Allah ini. Terima kasih ya Allah :)
InsyaAllah, saya akan lunaskan semua hutang tertunggak terhadap Pena Farhana selepas ini, wait ya..
11 October, 2011
Pemenang Emneya Contest
Bismillahirrahmanirrahim..
Terbiar lagi, lagi dan lagi. Maaf ya..
*Pemenang pertama sebenarnya Nurul, kerana penyertaan entri kontesnya amat menepati kehendak saya..tetapi disebabkan dia adik saya, tak apalah, boleh bagi hadiah bila-bila. kan nurul..so, congrats to you dear! nanti i bagi special present yaa~ ini entrinya:
Oleh itu saya nak ucap setinggi-tinggi tahniah buat 2 pemenang ini.
Pemenang pertama:
(Kella)
Pemenang kedua:
(Hairil)
dan dua orang lagi pemenang bertuah di mana mereka ini manis sekali di hati saya:
(Kak Nurkass)
(Kak Atie)
Tidak lupa sekalung penghargaan buat semua peserta, saya amat menghargai anda semua.
Semua pemenang di minta untuk emelkan pada saya nombor telefon bimbit prepaid ke emel saya deenafarhanaz@gmail.com untuk proses penganugerahan hadiah. Terima kasih atas sokongan anda semua :)
Subscribe to:
Posts (Atom)