Showing posts with label Deen Farhan. Show all posts
Showing posts with label Deen Farhan. Show all posts

19 May, 2011

Kisah 'Farhan Farhana'


Bismillahirrahmanirrahim..

Tamat waktu persekolahan, saya pulang terus ke rumah, kebetulan adik saya, Farhan pun baru pulang dari sekolah. Saya mengajar sekolah lain, Farhan bersekolah di tempat lain. Tiba-tiba dia kata.

"ooo, alang curi nama saya aa??"

Curi?? Bila masa pulak lah saya curi nama dia ni. Masih tidak faham maksud adik saya, saya pun bertanya.

"curi nama apa pulak?"

Muka memang serius masa tu, letih dari sekolah. Dia pun jawab.

"curi nama lah"

Saya tambah bingung. Apalah yang dimaksudkan adik saya ni. Cuba juga mau catch maksud dia, tapi failed.

"kakak curi nama apa ni? nda faham lah" (mau hot sudaaa.hahah) Farhan pun jawab.

"tuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu" sambil muncung dia tunjuk kat nametag bergantung di tudung saya bertulis 'INTAN FARHANA'

Gulp. Saya memang rasa mau ketawa masa tu, tapi tahan. Saya kata,

"cuba eja betul-betul nama ni"

Farhan pun mula mengeja.

"ai.. en=in..ti...a...en...=tan! ef, a, ar =far, h, a, en, a =han! DEEN FARHAN!!"

Hahahah. Saya hanya mampu tutup mulut dan ketawa je lah masa tuh. Punya semangat dia eja nama saya.

sekalinya kat hujung bunyi DEEN FARHAN. haih. Bertuah betol. Dia kata saya curik nama dia.

Lepas tu saya tanya dia,

"Siapa curi nama siapa ni?" :P

Dia tak jawab. Sambil ketawa sengih2 masuk bilik.

aduilah adikku. Tu lah, suruh belajar membaca, tarak mau dengar. Ish.

14 November, 2010

Kisah Deen Farhan (part 1)




Bismillahirrahmanirrahim..

Ini Deen Farhan, adik bongsu saya. Saya buat entri ni sebab ada kaitan dengan soalan seorang sahabat pada saya semalam.

Bertemu dengan adik saya petang jumaat lalu, di rumah along saya. Lama betul tidak peluk dia. Bila jumpa, saya peluk dan cium pipi dia seperti selalu, tapi kali ni dia nampak malu-malu. Saya tanya "kenapa?" Kemudian dia geleng sambil senyum-senyum kambing.

Mama pun kata "sudah besar kan, orang cium pun malu sudah". Baru saya faham. Memang dia sudah besar sekarang, tinggi pun hampir sama dah dengan saya. Umur dia masuk 11 tahun 2011 ni.

Adik saya ni ada kisah tersendiri, bila saya renung kembali, semuanya itu memberi kekuatan pada saya yang sedang bergelut dengan satu fasa getir dalam hidup ini.

Deen Farhan dilahirkan sebagai anak Kristian. Ibu dan ayah kandungnya beragama Kristian. Namun janji telah dipatri antara orangtuanya dengan orangtua saya bahawa, Deen Farhan akan diangkat menjadi anak kepada orangtua saya dan menjadi adik lelaki satu-satunya buat kami 6 beradik perempuan.

Lahir sahaja Deen Farhan Yonjuny ke dunia, dia diqamatkan oleh papa saya. Ibunya rela anaknya menjadi sebahagian dari keluarga kami memandangkan kehidupan mereka yang agak susah dan ramai anak lalu berhasrat memberikan Deen kepada kami.

Bermulalah episod kehidupannya di atas muka bumi ini bersama kami sekeluarga. Sempat menyusu badan dengan mama saya dan cukup untuk menjadikan dia seperti darah daging kami sendiri.

Takdir Allah, dia membesar dengan beberapa simptom disleksia dan pernah di klasifikasikan sebagai hyperaktif. Seorang kanak-kanak yang normal namun adakalanya tindakan dia tidak diduga dan di luar kawal. Dari itu, perkataan 'istimewa' mula tertanam dalam jiwa saya.

Bergelar kakak pada Deen Farhan adalah satu kurniaan indah Allah berikan pada saya. Berhadapan dengan keletahnya yang selalu buat saya 'cekak pinggang' dan juga buat kami sekeluarga terhibur adalah saat paling manis dalam hidup kami.

Pernah dulu waktu umurnya sekitar 5 tahun, dia amat suka bermain di laman rumah. Jiran kami ada bela anjing, kebetulan anjingnya baru beranak. Saya hampir pengsan bila tengok Deen terkedek-kedek angkut anak-anak puppy yang chubby-chubby tu bawa balik rumah.

Ya Allah. Terjerit saya masa tu. Perasaan masa tu memang terkejut dan rasa nak marah, tapi dengan muka seposen Deen kata "mau kaci mandii, keciaan dia beyum mandii"

Terus saya tak jadi marah. Cepat-cepat saya dapatkan tanah dan samak dia satu badan. Nangis-nangis dia takut bila tengok badan dia jadi coklat saya lumur dengan tanah. Haha, siapa suruh :P

Pernah lagi sekali dia memandai-mandai pergi dapur goreng telur. Ni pun saya rasa nak pengsan. Dia goreng masuk sebijik bulat tu la. Dia tak pecahkan pun. Alahai. Rasa nak marah tapi selalu tak jadi.

Paling menyentuh hati saya bila satu hari tu dia tanya "alang..kenapa kat sekolah cikgu selalu salah tulis nama papa? balik-balik tulis Yonjuny..apalah diorang tu, xsuka"

Bergenang airmata dengar dia tanya macam tu. Masa tu dia baru umur 6 tahun, belum pun masuk darjah satu. Saya tak jawab masa tu, just peluk dia dan cium kepala dia. Saya memang tak mampu nak hurai satu-satu bagi faham dia yang masih terlalu mentah untuk faham kedudukan dia masa itu.

Dan semalam dia tanya saya lagi, "alang..kenapa nama papa kita tak sama?" sekarang umur dia dah nak masuk 11 tahun, pun saya masih tak mampu dan tak sampai hati lagi nak fahamkan dia betul-betul.

Saya diam. Dia tanya lagi "kita kan adik beradik, kenapa tak sama..kan semua keluar dari perut mama.." Hati ni nak je bagitahu dia kami bukan dari perut ibu yang sama, tapi lidah kelu untuk menutur itu.

Apapun, saya amat sayangi dia. Sangat dan sangat sayangi dia. Saya berdoa siang dan malam moga kehadirannya di sisi Islam mampu menjadi ruh kekuatan dan penegak agama suatu masa nanti.

p/s: info penting pasal Deen: dia sangat gemar main game. Lebih sanggup bergadai nyawa demi game. Huh. Sabar je la..

24 November, 2009

Kisah adik bongsu..

Ini adik bongsu saya, Deen Farhan. Nama pena maya saya, Deena Farhana. Itu antara sebab saya memilih nama itu. Saya ingin meraikan namanya.

Insya Allah, esok saya akan bertemu dengannya. Saya dengar cerita dari adik dan kakak sulung saya, waktu ini dia amat merindui ayah dan bonda. Kata kakak, semalam dia menangis teresak-esak teringatkan ayah.

Waktu ini dia berada di rumah kakak sulung saya di Villa Luyang Perdana, Kota Kinabalu. Esok saya akan mengambilnya awal pagi dan bawa dia pulang bersama saya kerana esok kami adik-beradik akan pulang ke rumah ayah bonda di kampung.

Saya sengaja mahu ambil dia pagi esok, ajak berjalan sebelum pulang kampung. Adik saya ini, agak 'notty' juga, tapi biasalah, usia sepertinya memang begitu.

Saya diberitahu, dia selalu menonton rancangan Khabar Haji di Astro Oasis kerana ingin melihat wajah ayah dan bonda. Hati saya tersentuh. Manik jernih mula menghuni ruang mata.

Paling saya sayu, kerana terlalu rindu, dia minta kain pelekat ayah dan kain batik bonda pada bibik, pembantu rumah. Katanya, dia rindu.

Saya ini sudah besar, mampu mengendali rasa rindu itu sebaiknya. Dia, adik yang masih kecil, belum banyak mengerti ranjau hidup ini. Di rumah, mungkin dia kesunyian tiada teman.

Tetapi, tidak apa, saya akan bersamanya mulai esok mengisi waktu-waktunya dengan aktiviti yang saya sudah rancang.

Saya menyayanginya kerana dia istimewa. Dia adalah kurniaan terindah dalam hidup kami sekeluarga. Dia ada kisah hidup yang tersendiri. Berasal dari keluarga bukan islam, kami menyambutnya dengan penuh syukur bila azan dikumandangkan di telinganya saat dia lahir ke dunia ini.

Kini dia adalah adik saya. Beragama Islam dan anak kepada ayah bonda saya. Dia darah daging kami. Tiada apa yang dapat membezakan darjat antara kami.

Semoga dia menjadi insan berguna apabila besar kelak.