22 January, 2010

Mana milik kita?


Bismillahirrahmanirrahim..


Kini, saya melihat satu persatu ahli keluarga saya pergi menyahut panggilan Allah. Sedih dan sayu itu sudah pasti. Airmata sebagai tanda kita merasa pedih di atas sebuah perpisahan kubro yakni perpisahan yang abadi.

Namun di sebalik itu semua terselit satu tarbiyah yang amat bermakna dari Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi. Memang pedih menghadapi satu kehilangan, tetapi sejauh mana kita mampu menadah tarbiyah indah dari Allah itu, pasti ada sinar bahagia di atas redha yang tulus.

Akuilah wahai jiwa, tiada apa pun milik kita. Nikmat harta, kehidupan, keseronokan, kecantikan, suami, isteri, anak, kesihatan, kemewahan, malah nafas kita ini adalah pinjaman semata-mata dari Allah. Segala nikmat dan iradat yang kita rasai, pasti akan di ambil semula oleh Allah.

Getar dan gentar hati bila melihat agungnya Allah. Dia penguasa atas segala sesuatu. Berkatalah apa sahaja, megahlah dengan apa yang dimiliki, tetapi Allah zat yang tidak pernah lupa.

Bumi ini sekadar persinggahan untuk menentukan tempat kita di akhirat sana. Di bumi ini, pelbagai jalan dibentang. Kita hanya perlu memilih jalan ke mana arah kita, tidak syurga, neraka pastinya.

Setiap kehilangan mengajar saya erti sebuah persoalan. Mana milik kita? gagah mana pun kita, jawapannya pasti tiada yang milik kita. Berharta, pasti suatu hari ada waktu jadi kedana. Berpangkat, pasti suatu hari ada waktu berpeleseran. Cantik, pasti ada waktu jadi hodoh. Bernafas? lagi nyata dan pasti tiba waktu nafas berhenti.

Allah maha Agung. Rintihlah padaNya kerana sememangnya Dia menanti rintihan kita. Mintalah padaNya kerana sememangnya Dia menanti permintaan kita. Sujudlah padaNya kerana sememangnya Dialah tempat pada segala pergantungan.

21 January, 2010

Perginya umpama bayi..


Bismillahirrahmanirrahim..

Sudah lama tidak menulis di sini, terlalu banyak urusan datang bertandang. Tanggal 18 Januari 2010, keluarga saya menghadapi satu lagi kehilangan dalam keluarga.

Kakak kepada ayah saya, Makcik kepada saya, Allahyarham Lominih telah kembali ke rahmatullah kerana menghidap kanser usus.

Saya bersyukur kerana gambar di atas adalah satu-satunya bukti bahawa perginya Makcik saya ke pangkuan Allah adalah sebagai seorang bayi yang suci kerana di saat menanggung sakit, hatinya terbuka untuk Islam.

Ayah saya sendiri yang memimpin Allahyarham Makcik mengucap Dua Kalimah Syahadah. Sebelum ini, Allahyarhamah Makcik saya adalah penganut kristian.

Nikmat agung yang tidak terhingga telah sampai kepada Allahyarham Makcik saya sebelum dia dijemput Allah. Kami sekeluarga amat bersyukur dan gembira dengan pengislamannya.

Saya terlibat secara langsung dalam urusan memandikan serta mengkafankan Allahyarham Makcik saya. Kesayuan saya menggunung saat menatap wajahnya sebelum dimandikan, masih terbayang di mata, bagaimana riangnya dia sewaktu kami sekeluarga melawatnya di wad hospital, senyuman dan petah bicaranya.

Masih terngiang suaranya saat dia menghubungi saya lewat telefon bimbit meminta untuk dibelikan kuih pulut manis kegemarannya.

Masih terbayang bagaimana dia berusaha untuk riang di hadapan kami, bagaimana dia berusaha untuk senyum sekalipun sakitnya mengasak. Pedih menahan kelaparan lantaran tidak dapat menjamah apa-apa makanan itu adalah perjuangan terbesarnya untuk terus bernafas. Ketabahannya menghadapi sakit menjadi ruh kekuatan bagi saya.

Saya simpati, keluarga simpati, jiran dan sahabat juga simpati. Saya tidak kesal kerana saya yakin, seluruh keluarga telah memberikan kasih sayang yang tidak putus kepadanya sebelum dia pergi buat selamanya.

Di hujung waktu solat, pasti namanya ada ruang dalam doa saya. Dia insan terpilih, meninggalkan dunia dengan layaknya seorang bayi yang baru di lahirkan kerana bibirnya sempat mengaku bahawa Tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah.

Segala urusan dunianya sudah selesai. Moga Allah merahmati Allahyarham Antie Lominih binti Abdullah.

12 January, 2010

Perhatian dan ketetapan daripada Allah.


Daripada Ibu Abbas r.a, Nabi SAW bersabda:

"wahai anak, aku ingin ajarkan kepada engkau beberapa kalimah:

Peliharalah hak-hak Allah, nescaya Allah memelihara kamu. Peliharalah hak-hak Allah nescaya kamu akan mendapatinya di mana sahaja kamu berada.

Apabila kamu ingin meminta, bermohonlah kepada Allah. Apabila kamu inginkan pertolongan, mohonlah pertolongan daripada Allah.

Dan ketahuilah, sekiranya seluruh umat berhimpun untuk memberikan suatu manfaat kepada kamu, mereka tidak akan dapat berbuat demikian sedikit pun melainkan dengan suatu yang Allah telah tetapkan kepada kamu,

Sekiranya mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan dapat berbuat demikian sedikit pun melainkan dengan suatu yang telah Allah tetapkan kepada kamu,

Telah pun diangkat dari segala pena, dan telah keringlah segala buku. Segalanya telah ditetapkan oleh Takdir dan ditulis di LUH MAHFUZ"

08 January, 2010

Takdir yang tidak terduga


Saya menerima khabar sebentar tadi, saudara Mohd Fauzi Azizan, suami kepada sahabat baik saya Kak Saholyatul Akma telah kembali ke rahmatullah pada pukul 2 ptg tadi.

Tiada kata mampu dilafazkan. Rasa simpati membuak di hati saya. Kak Saholyatul Akma tidak lama lagi bakal melahirkan bayinya. Sudah tentu situasi ini membuatkan setiap orang sayu. Tetapi inilah yang dikatakan takdir.

Allah berkehendakkan begitu dan kita merasa amat pedih dan perit yang tidak terhingga, namun segalanya harus direlakan kerana janji Allah sudah tiba. Allah lebih sayang pada Allahyarham.

Waktu ini, saya ingin sekali berada di samping kak Saholyatul Akma, sama-sama menghadapi situasi yang amat sulit baginya, namun apakan daya, kekangan kerja dan jarak mengatasi segalanya.

Salam takziah dari saya dan keluarga untuk kak Saholyatul Akma dan keluarga di atas pemergian Allahyarham.

Mari kita sama-sama doakan semoga roh dicucuri rahmat dan Allahyarham tergolong dalam kalangan solihin serta didoakan moga isterinya, kak Saholyatul Akma diberi seteguh ketabahan.

Al Fatihah.

07 January, 2010

Cepat sembuh ya..


Ini anak buah saya, Nur Izzah Awfiyah,(NIA). Anak Angah saya. Saya mendapat khabar dari ayah pagi tadi Nia telah di masukkan ke wad Hospital Bintulu kerana mengalami muntah dan cirit-birit.

Saya menghubungi Angah sebentar tadi bertanyakan keadaan Nia. Angah kata, air masih ditambah ke dalam tubuhnya. Kami semua di Sabah akan doakan Nia cepat sembuh dan semoga selepas ini Nia akan sihat berpanjangan.

Salam sayang,

06 January, 2010

Kita doakan.


Semalam saya menerima pesanan ringkas dari sahabat saya, Arbaiyah.

"salam sht? suami kak Saholyatul Akma kmlgn khms lepas, tempurung kepala retak dan otak bengkak. Sekarang sedang koma. InsyaAllah sama2 doakan, solat hajat moga pjg umur dan cepat sihat. Tlg bgtahu kwn2 lain"

Sebelumnya, saya sudah maklum tentang musibah itu melalui blog sahabat saya, Kak Suniza. Rasa sedih menghuni hati saya. Kak Saholyatul Akma sahabat seangkatan saya sewaktu di Mesir. Bila teringat kembali memori dahulu, sedih di hati saya makin tebal.

Kak Saholyatul Akma dulu sering menziarahi saya sewaktu saya sakit di Mesir. Merupakan sahabat yang baik dan mengambil berat. Bila mendengar perkhabaran duka ini, saya turut merasa betapa hebat ujian yang Allah timpakan buat sahabat saya ini.

Melalui laman blog yang saya miliki ini, saya mohon dan menyeru kepada semua sahabat-sahabat saya, dan kepada semua yang bertandang ke sini agar sama-sama dapat mendoakan kesembuhan Saudara Mohd Fauzi Azizan, dan juga mendoakan agar isterinya, kak Saholyatul Akma diberi sepenuh kekuatan dan ketabahan dalam menyusuri ujian ini.

Saya dan keluarga mendoakan dari segenap detik dan saat, moga kesembuhan bersama Akhi Fauzi Azizan.

*moga doa tulus dari kita, akan memudahkan segala jalan kesembuhan untuknya.


02 January, 2010

Tahun bertambah, usia berkurang


Salam maal hijrah 1431, dan kini tahun 2010 telah muncul. Saya tidak begitu girang dek kerana banyak hal, apapun saya bersyukur kerana nikmat dari Allah masih terlalu banyak buat saya.

Tahun 2009 berlalu dengan seribu satu macam lakaran. Ada yang indah, dan tidak kurang juga yang mencabar jiwa rohani saya sebagai manusia yang bergelar hamba pada yang maha Pencipta. Dihimpit dengan berbagai cubaan, sangat memberi kedewasaan pada saya.

Saya kadang bingung bila orang sibuk bertanya apakah azam tahun lalu sudah tercapai. Bagi saya, agama Islam sudah lama memberi garis panduan dan matlamat kita sebagai hamba kepadaNya dan sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Sepatutnya tanya, apakah sudah sempurna matlamat itu.

Kemunculan tahun 2010 ini juga menyaksikan usia kita sudah semakin berkurang. Istilah kebiasaan bila masuk tahun baru atau meraikan hari lahir, kita akan kata, usia kita bertambah, tetapi pada konsep Allah, usia kita ini semua semakin kurang dan pendek.

Bila Allah telah tetapkan pada Qada' dan Qadar bahawa hayat kita ini hanya berusia 42 tahun, maka dikala tahun bertambah, tempoh usia kita semakin berkurang dan kita semakin menghampiri janji Allah iaitu saat kematian yang pasti.

Saya masih belum berjaya menjadi seorang daie yang sepatutnya. Kelemahan saya begitu ketara di mana-mana. Seringkali lalai dalam mentajdid matlamat sebenar dalam hidup. Tahun 2009 juga menjadi saksi pada beberapa kekhilafan dan kelalaian saya.

Lantaran diri terlalu lemah, satu pinta saya, diberikan kekuatan terus menerus untuk menadah tangan meminta kepada Allah kerana saya tahu, saya ini serba lemah, Allah jua yang maha Besar.

Semoga diri ini masih layak mendapat kasih sayang dariNya. Allah.. suluhkan hidupku, agar ada sinar di kemudian nanti.