Di kedinginan subuh Emneya menuruni anak tangga ke ruang dapur rumahnya. Dilihat susuk tubuh ibunya di sebalik cahaya pelita sedang tekun membuat kuih seri muka dan menyiapkan nasi lemak untuk dijual pagi nanti.
"ibu.." Emneya memanggil ibunya lembut.
"ye..anak ibu dah bangun ye" Mak Wa mengucup dahi Emneya penuh kasih. Itulah satu-satunya harta yang dia miliki. Emneya, bayi terbuang yang dikutipnya dari tepi jalan 21 tahun yang lalu kini sudah dewasa dan sangat cantik. Matanya bulat, alisnya lentik, hidung mancung, pipinya putih gebu dan berlesung pipit di kedua belah pipi.
Namun bukan itu yang menjadi perkiraan Mak Wa, bagi Mak Wa, Emneya adalah seorang anak yang sangat manis, sentiasa patuh, taat dan berakhlak mulia itulah yang lebih penting. Mak Wa bersyukur, Allah memberi kemudahan dalam mendidik Emneya sehingga Emneya kenal erti sopan santun dan budi bahasa.
"neya minta maaf bu, lewat bangun, kesian ibu buat kerja sorang-sorang" Emneya melentok manja di bahu Mak Wa.
"tak ape la..ibu boleh buat" balas Mak Wa lembut.
"kesian ibu, neya dah besar, tapi ibu masih susah payah macam ni" Emneya memeluk ibunya.
"neya..dengar ibu ye..neya kena pandai jaga diri walau kat mana pun neya, ingat, jangan tinggal solat ye nak..bila kita ingat Allah, Allah akan ingat dengan kita" Mak Wa memberi nasihat dengan nada yang halus sekali.
"ye bu..neya ingat" Emneya masih terus memeluk erat sambil sekali sekala mengucup pipi Mak Wa. Mak Wa tersenyum bahagia, namun jauh di sudut hatinya dia sedih sekali mengingatkan nasib Emneya.
Mak Wa kesal kerana tidak mampu menghantar Emneya pergi melanjutkan pelajarannya selepas Spm, padahal keputusan Emneya cemerlang. Dia juga berasa sayu bila Emneya menyatakan yang dia sudah tidak mahu belajar lagi. Mak Wa tahu, Emneya begitu kerana tidak mahu membebankannya mencari wang perbelanjaan pengajiannya.
Usai solat subuh bersama, mereka berdua segera menyiapkan barang-barang jualan. Setelah itu mereka keluar meredah dingin pagi ke warung wak Jonet yang terletak lebih kurang 2km dari rumah usang mereka.
Tiba di hadapan warung Wak Jonet, Emneya segera membuka meja dan payung tempat mereka berjualan. Mak Wa mengesat peluh di dahi. Dia merasa amat letih berjalan kaki pagi itu.
"ibu duduk dulu ye, biar neya yang siapkan" Emneya meletakkan kerusi betul-betul di belakang ibunya. Mak Wa duduk sambil memerhatikan Emneya menyiapkan semua jualan di atas meja. Tiba-tiba dia terpandang pucuk paku yang tumbuh meliar di seberang jalan berhadapan dengan warung itu. "bolehlah masak lemak pucuk paku tengahari ni, neya mesti suka" getus hatinya.
Hatinya sangat terpesona dengan pucuk paku itu. Dia segera melangkah ingin menuju ke seberang.
"prangggggggggggggggggggg" dentuman bergema. Emneya yang tidak menyedari ibunya sudah tidak berada di kerusi belakangnya segera menoleh mencari arah datangnya bunyi berdentum itu. Darah di badannya seakan terhenti mengalir saat melihat sekujur tubuh ibunya terbaring di atas jalan setelah dirempuh sebuah kereta.
Kerongkongnya tidak berupaya mengeluarkan suara waktu itu, Emneya berlari sekuat hati ke arah ibunya. Dipangkunya kepala Mak Wa, darah mengalir deras dari bahagian bawah kepala Mak Wa. Wak Jonet segera mendapatkan bantuan untuk menghantar Mak Wa ke hospital dengan segera.
Namun takdir mengatasi segala-galanya. Mak Wa meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.
"Ibu....." airmata Emneya mengalir deras. Sungguh dia tidak menyangka perbualan subuh tadi adalah yang terakhir di antara mereka. Hatinya diruntun pilu. Sebak dan sedih yang maha hebat datang menerpa. Ibu yang selama ini menjadi tempat bergantung hidup dan berteduh kasih kini sudah tiada. Amat pahit untuk dihadapi. Dunia terasa gelap. Jantungnya seakan berhenti berdegup. Hatinya merintih hiba saat menatap wajah ibunya yang kian pucat.
"ampunkan semua dosa neya ibu...." Emneya mengucup dahi dan pipi Mak Wa penuh kasih. Dia sudah mula merasa rindu pada ibunya. Airmata mengalir tanpa henti. Dia kini sebatang kara..
*****************************************************
7 tahun sudah berlalu. Emneya kini sudah bergelar isteri kepada Syed Erman Haikal bin Syed Hanief. Pemuda ini berjaya mengubati hati lesu Emneya dan juga berjaya menempuh halangan serta tentangan bertali arus sepanjang perjalanan memperisterikan Emneya.
Dia lelaki kacak, berbudi santun, berperawakan disenangi ramai. memiliki empayar perniagaan di usia muda adalah kejayaan yang menjadi kebanggaan kedua orang tuanya. Merupakan anak tunggal yang menjadi kesayangan kepada Syed Hanief dan Syarifah Nur Zalia.
Bertemu Emneya binti Abdullah adalah anugerah terindah dalam hidup Syed Erman. Baginya, Emneya seorang bidadari jelita yang sangat manis di hati lelakinya. Menyintai dan menyayangi Emneya adalah kebahagiaan hidup yang tiada tertanding oleh mana-mana harta dunia. Santun budinya amat memikat hati Syed Erman untuk menyuntingnya menjadi suri.
Namun usia bahagia kini di duga dengan bermacam situasi.
"betulke neya marahkan mama tadi?" soal Erman inginkan kepastian setelah ibunya mengadu Emneya bercakap kasar dengannya.
"bila...?" tanya Emneya lembut.
"neya marahkan mama?" soal Erman lagi.
"eh..er..tak.." Emneya teragak-agak, bingung hendak jawab apa. Dia tahu ibu mertuanya itu selalu mencari akal untuk meraih perhatian dari Erman.
"neya, abang tak suka neya macam tu, itu mama abang, orang tua abang, neya janganlah keruhkan lagi keadaan kita" Erman bernada kesal.
"maafkan neya bang." Emneya memutuskan untuk memohon maaf sahaja. Malas mahu memanjangkan hal sebegitu. Dia selalu beralah dengan situasi seperti itu. Niatnya hanya mahu semuanya aman.
Suatu petang, Syarifah Nur Zalia memanggil anaknya.
"mama nak kan cucu dari man..mama teringin sangat" kata Syarifah Nur Zalia kepada anaknya.
"dah 3 tahun, neya tu tak mengandung juga, man kena fikir juga, takkan dah tua, takde anak, lagipun mama dah tua, nak sangat rasa timang cucu" tambahnya lagi.
"insya Allah, nanti man cari jalan ye..mama jangan risau" Erman menutur lembut sambil mengucup dahi mamanya.
****************************************************
Hari demi hari Erman semakin sibuk dan tidak dapat meluangkan masa untuk Emneya. Walaubagaimanapun, Emneya tidak pernah sesekali mendengus atau merungut. Dia faham suaminya sibuk menguruskan kerja-kerja di pejabat.
Sikap Erman pula semakin dingin terhadap Emneya. Namun begitu, Emneya tetap melayaninya dengan senyuman yang manis. Erman semakin cuak dengan Emneya bila isterinya bertanyakan itu dan ini.
"abang nak makan....?" soal Emneya sambil memicit-micit lembut bahu suaminya yang sedang tekun mengadap komputer riba di hadapannya.
"tak lapar" jawab Erman ringkas.
"neya buatkan air ye..." kata Emneya lagi.
"tak payahla" Erman semakin tidak selesa.
"neya buatkan kopi untuk abang ye, nanti segar nak buat kerja..." Emneya berkata penuh lembut.
"tak faham lagi ke ni?!!" Erman membentak isterinya. Emneya nyata tersentak dengan suara Erman yang tiba-tiba meninggi itu.
"abang......" dengan lembut sekali Emneya cuba menenangkan suaminya.
"keluar sekarang!!" Erman naik angin. Hatinya kini seperti batu. Keras sekerasnya.
Emneya melangkah perlahan menuju pintu. Dia jauhkan segala perasaan negatif. Dia yakinkan diri bahawa suaminya sedang dalam kekusutan memikirkan masalah kerja. Tetapi, matanya berkaca.. jauh di sudut hati dia merindui kelembutan suaminya seperti dulu.
*******************************************************
Melihat keadaan hubungan Erman dan Emneya yang semakin renggang, Syarifah Nur Zalia tidak menyia-nyiakan kesempatan yang ada untuk mendesak Erman untuk berkahwin dengan Sarah, anak gadis teman karibnya datin Iffah.
Tanpa disangka, Erman bersetuju dengan kehendak mamanya. Erman dan Sarah akan bertunang pada minggu depan. Syarifah Nur Zalia melonjak kegembiraan. Hatinya berbunga bahagia kerana tidak lama lagi bakal berbesan dengan teman karibnya.
Sebelah malam, Erman memberitahu semuanya kepada Emneya. Erman bernada lembut malam itu, dia juga tidak mahu mencetuskan situasi yang tegang. Dia menjelaskan tentang hasratnya itu adalah sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat melalui cara yang halal dan dia berharap Emneya merestuinya.
Emneya kelu. Airmatanya ditahan sekuat hati. Dia tidak mahu airmatanya berguguran di hadapan suaminya yang sedang berbicara santun dengannya menyatakan hasrat hatinya waktu itu. Dia juga tidak mahu bersikap ego tatkala dirinya belum mampu memberikan zuriat buat Erman. Akhirnya, dengan lemah Emneya mengangguk tanda setuju.
"neya izinkan?" soal Erman.
"ye, neya izinkan..." Emneya mengukir senyum dalam kepayahan. Dia berdoa di dalam hati moga Allah kurniakan kebahagiaan berpanjangan buat suami yang amat dicintainya itu.
"terima kasih neya" Erman menggenggam erat tangan isterinya seraya mengucup dahinya. Erman bangun dan berlalu keluar dari bilik. Manik jernih yang ditahan akhirnya berguguran jatuh ke bumi. "ya Allah, kuatkan hatiku" Emneya merintih.
***********************************************
Hari pertunangan telah tiba, Emneya bangun awal lebih daripada biasa pagi itu. Majlis pertunangan suaminya akan berlangsung di kediaman mereka. Sayu menyelubungi hati Emneya. Namun dia kuatkan hati. Dia mengemaskan ruang dapur pagi itu.
"neya..." suara Erman menyapanya lembut dari belakang. Emneya menoleh. Dia tersenyum bahagia melihat suami tercinta berada di hadapannya walaupun hati nyata bersedih waktu itu.
"maafkan abang..abang tahu neya sedih.." kata-kata Erman berbunyi sayu.
Emneya senyum lagi. Kerinduannya semakin memuncak terhadap Erman bila mendengar kata-kata itu. Namun dia tidak mampu berkata apa-apa.
"maafkan abang ye.." suara Erman tersekat.
"abang tak salah..janganlah minta maaf..." jawab Emneya lembut. Belum habis Emneya berbicara, kedengaran suara ibu mertuanya memanggil Erman.
"Kejap ye..." kata Erman pada Emneya. Mata Emneya berkaca lagi. Dia segera menyekanya supaya tidak berguguran.
Selang beberapa minit, Syarifah Nur Zalia datang mendekati Emneya.
"aku tak nak engkau ada kat rumah ni hari ni, faham?" katanya dengan muka bengis.
"engkau pegilah mana saja, asalkan muka engkau tak ada kat sini hari ini!" tambahnya lagi.
"ma....izinkanlah neya tengok abang Erman...." rayu Emneya.
"engkau jangan nak membantah aku!! keluar sekarang!!" bentaknya sambil menarik rambut Emneya. Emneya mengangguk perlahan.
Dengan berat hati, Emneya menuju ke bilik untuk menukar pakaian. Selepas mengenakan tudung kepala, dia melangkah lemah keluar dari banglo itu. Matanya melilau mencari kelibat suaminya namun hampa.
Emneya berjalan mengikut langkah kakinya. Hatinya kini terasa sunyi sekali. Dia merindui Erman dan kini rindu pada ibunya pula kian hebat. Airmata gugur lagi. .
***********************************************
Majlis pertunangan akan bermula sebentar lagi, Erman sedang sibuk didandan rapi oleh mamanya. Matanya pula liar mencari kelibat seseorang. Sejak beberapa jam yang lalu, dia tidak melihat wajah itu. Ya, Emneya. Dia mencari kelibat isterinya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa hatinya tiba-tiba meronta untuk mencari sosok itu.
Orang ramai sudah memenuhi ruang tamu rumah, Erman berjalan menuju ke ruang tamu. Sarah sudah berada di sana. Erman mencari Emneya dalam keramaian itu, namun Emneya tidak kelihatan. Hatinya sedikit terganggu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia seperti itu.
Setelah hampir 2jam, akhirnya majlis pertunangan selesai. Kini Syed Erman Haikal adalah tunang kepada Ku Sarah Ellyna. Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Orang ramai sudah beransur pulang. Banglo yang tadinya riuh dengan kehadiran para tetamu, kini semakin lengang.
Di dalam bilik, Erman termenung jauh. Ada ralat dihatinya selepas selesai majlis itu. Ralat yang dia sendiri tidak pasti. Namun yang pasti, hatinya kini dihuni sayu. Waktu itu, hatinya teringatkan Emneya. Dia segera turun ke bawah mendapatkan Mek Jah, orang gaji rumahnya.
"Mek Jah..neya mana..?" tanya Erman sayu.
"tadi Puan suruh neya keluar, puan tak mahu neya ada kat rumah masa man bertunang" jawab Mek Jah perlahan. Erman bertambah sayu. Dia benar-benar merindui Emneya. Baru dia sedar betapa kudusnya cinta pertama.
Dia keluar ke halaman depan rumah, melihat kalau-kalau Emneya sudah pulang. Namun matanya sepi. Susuk tubuh yang dicarinya belum juga muncul.
"neya....abang rindu neya..." rintihnya sayu. Tidak semena-mena, manik jernih membasahi pipi lelakinya.........................
*bersambung.......*