11 April, 2012

Maafkan Ibu


Bismillahirrahmanirrahim. Moga lenggok pena maya saya yang hina ini berlabuh hanya pada redho Rabbul Izzah.

"Maafkan Ibu"

Mentari indah pagi itu tidak seindah hati Johan yang berbalam. Di tatapnya berulang kali surat jemputan untuk hari konvokesyennya ahad ini.

'Ayah dan Bonda jemputan terhormat..' dia tidak menghabiskan bacaannya seperti sebelum ini. Ahh. Rimas dirasakan. Kenapa mesti ada surat jemputan ini?? mengapa pihak universiti mewajibkan kehadiran ibu bapa?? soalan itu bertalu menghenyak akal fikirannya.

"tahniah johan, kau memang hebat!" ucapan tahniah itu diterimanya dari rakan-rakan sepanjang hari dia berada di kampus.

Memang sudah diduga, Johan Afzan Hashim akan dianugerahkan sebagai calon paling cemerlang Universiti Kebangsaan Malaysia kerana kehebatannya dalam akademik dan bidang-bidang lain.

Dia meraih pointer tertinggi dalam peperiksaan akhir dalam misinya memburu segulung ijazah. Dia juga dinobatkan sebagai Pelajar Terpintar rantau asia tenggara apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam Pertandingan Inovasi Gerak Belia Asia Mahasiswa. Namanya menjadi sebutan, kejayaannya diraikan dan dibanggakan.

Jauh di pinggir desa, sepasang wajah tua tersenyum bahagia melihat kejayaan sang anak mempersembahkan kehebatan demi kehebatan kepada dunia.

********************

"KRINGG KRINGG" deringan telefon memecah bunyian unggas di teratak usang milik mereka.

"Tuan dan Puan dijemput hadir ke majlis konvokesyen UKM ahad ini sebagai tetamu terhormat, tahniah atas kejayaan anak Tuan dan Puan" wakil dari pihak universiti menghubungi ibu dan ayah Johan untuk menjemput mereka hadir di majlis itu.

Senyuman dan ucapan syukur silih berganti meniti dibibir tua mereka berdua. Anak satu-satunya kini bersinar bak kemilau permata.

Hari ini kepulangan anak yang tercinta, dalam hati ibu dan ayah, pastilah pulangnya untuk menjemput mereka untuk ke majlis bersejarah itu.

"ibu tak payah pegi lah!" tinggi suara Johan. Keningnya berkerut seribu, tiada senyum diukir.

"kenapa tak kasi ibu kamu pegi?" tanya ayah Johan. Dia sudah menjangka anaknya pulang dengan wajah suram.

"tak de apelah, ibu tak payahlah pegi, nanti letih, KL tu jauh!" Johan mencipta alasan. Si ibu hanya diam tetapi ada senyuman salju menyambut kata-kata anaknya.

"sebab kamu malu ibu kamu buta kan?" tanya ayah Johan lagi. Johan senyap.

"kamu malu sebab ibu kamu buta kan??" kali ini suara ayah Johan lebih tinggi. Seakan mencabar ego anaknya.

"ye!! Johan malu!! kawan-kawan Johan, semua mak diorang sempurna!! tak buta macam ibu!!!" Johan membentak.

"ayah lagi malu ada anak macam kamu Johan, ayah tak tahu macam mana kamu boleh jadi pelajar cemerlang, ayah hairan sungguh" suara ayah Johan perlahan, tetapi ada nada kesal dari seorang ayah.

"tak apa lah bang, jangan marah Johan.. tak apa nak, ibu tak pegi ye, jangan muram macam tu, nanti nak terima anugerah mesti ceria.." kata-kata lembut ibunya menyapa telinga. Johan senyap seribu bahasa, tetapi rasa lega bertakhta di hati. Sekurangnya dia tidak perlu lagi untuk menebalkan muka di hari konvokesyennya nanti.

Hari penganugerahan berlangsung dengan linangan airmata gembira dari seorang ibu di beranda usang. Hanya ayah Johan menjadi tetamu terhormat, namun, saat nama sang anak dilaung bangga, airmata kesedihan seorang ayah bercucuran mengenang hakikat budi rendah seorang anak terhadap ibunya.

Tiada seinci pun rasa bangga di hati ayah Johan. Selepas majlis itu, dia tidak menunggu lama, terus meminta diri untuk pulang ke kampung kerana risau isterinya yang buta sendirian di rumah.

*****************************

Kini Johan adalah seorang usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya serta sudah beristeri. Empayar perniagaannya mencipta kejayaan demi kejayaan bertali arus, title usahawan muda jutawan menjadi kebanggaannya setiap hari. Di tambah pula, dirinya telah menjadi menantu kebanggaan buat Tan Sri Hanafi, menteri di jabatan Perdana Menteri.

Sepanjang itu juga, Johan tidak pernah pulang ke kampung, apatah lagi membawa isterinya bertemu kedua orang tuanya. Masyarakat mencela sikap Johan yang tidak mengenang budi, tetapi sang ibu tampil membela dengan penuh rasa kasih buat seorang anak.

Ibunya menanggung nestapa rindu yang tiada berkesudahan. Anak satu-satunya yang ditatang sejak lahir ke dunia tiada di sisi di hari-hari tua. Sakit menimpa sang ibu berbulan lamanya, digagahkan kudrat untuk setia menanti kehadiran sang anak yang dirindui. Namun, takdir Allah tiada siapa mampu mengubah, ibu Johan menghembuskan nafasnya yang terakhir diribaan suami tercinta.

Ayah Johan redha atas pemergian isterinya dengan linangan airmata. Hendak disusun langkah bertemu anak di hari pemergian sang ibu, sungguh dia tidak berdaya. Akhirnya ibu Johan dikebumikan dengan seribu kesayuan penduduk kampung.

Minggu berikutnya, ayah Johan mengemaskan langkah mengumpul sejuta kekuatan menyembah anak durhaka, demi kasih buat Allahyarham isteri yang telah bersemadi.

Sri Kencana Holdings tersergam indah di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ayah Johan menyusun langkah perlahan masuk ke bangunan megah dan mewah itu. Dia segera bertemu seorang wanita yang berada di kaunter dan menyatakan hasrat untuk bertemu dengan anaknya Johan.

"encik dah buat temujanji?" tanya wanita itu.

"tak ada, saya tak dapat hubung dia kat telefon, jadi saya datang sini saja" jawab ayah Johan sopan.

"maaf encik, Tuan Johan ada meeting penuh hari ni" kata wanita itu.

"tak apa, saya tunggu kat sini saja" jawab ayah Johan.

Seharian ayah Johan menunggu di ruangan bawah bangunan. Dia hanya keluar mencari musolla untuk menunaikan solat jamak dan menunggu semula di ruangan itu dengan penuh sabar. Lapar di perut seolah tidak terasa.

Jam senja sudah berlabuh, ayah Johan masih setia menunggu. Akhirnya Johan dan beberapa orang kanannya keluar melintasi ruangan tempat ayahnya menunggu.

"Johan!" ayahnya memanggil. Johan terkejut melihat ayahnya ada di hadapan. Johan segera meminta izin dari rakan lain dan membawa ayahnya ke sudut ruangan bangunan itu agar jauh dari pandangan orang.

"buat apa ayah datang sini??" tanpa bertanya khabar, Johan mengajukan soalan itu. Hati seorang ayah sudah tidak tertahan melihat anak yang hilang adab susila.

"terima kasih sebab kamu masih kenal ayah, ayah datang nak bagitahu ibu kamu dah tak ada, ibu kamu dah pergi buat selamanya, ayah datang bukan nak tagih apa-apa dari kamu, ayah cuma minta beberapa minit masa kamu hari ni dan lepas ni ayah tak jumpa kamu pun tak apa lah" perlahan suara ayahnya tapi jelas dia menahan sebak, airmata sudah bertamu, tapi dikesat airmata itu dengan hujung lengan baju yang lusuh.

Saat itu Johan terdiam.

"ayah nak sampaikan pesan ibu kamu, sebelum ibu kamu pergi, dia minta ayah cakap ni pada kamu, maafkan ibu yang buta, ibu halalkan air susu ibu, ibu ampunkan semua dosa kamu, ibu doakan kamu jadi anak yang mengenang Allah dan tau erti budi" sejenak ayah Johan terhenti, mengesat lagi airmata yang tumpah.

"Johan, setelah sekian lama ayah pendam rahsia ini, tapi hari ini biar kamu tahu, supaya ayah masih boleh berharap kamu jadi insan yang tau diri...dulu kamu lahir ke dunia, mata kamu buta, ibu kamu yang hadiahkan mata dia untuk kamu sebab ibu tak sanggup kamu membesar tanpa melihat dunia..mata kamu sekarang itu adalah mata ibu kamu yang kamu selalu rasa hina dengan dia.." ayah Johan menangis. Rindu pada isterinya semakin mendalam.

"semoga kamu jadi manusia yang tahu diri, itu saja yang ayah nak cakap kat kamu, ayah minta diri dulu, assalamualaikum" lengan baju yang lusuh kini basah dengan airmata, ayah Johan melangkah meninggalkan anaknya dengan kesedihan berlipat ganda.

Seperti petir menyambar segala urat tubuh, Johan menangis buat pertama kali. Seluruh tubuhnya menggeletar dan penyesalan yang hadir umpama gunung menghempap badan. Sesak dan sempit dirasakan, pinar mata mengiringi tangisnya senja itu bersaksikan Kencana Holdings yang gah namun berlitupkan kelana airmata pemiliknya yang tiada berpenghujung.

Tamat.

P/s: Semoga saya dan semua anak-anak di luar sana sepenuh jiwa menghargai ibu dan bapa masing-masing.