Bismillahirrahmanirrahim..
LAA ILA HA ILLALLAH. MUHAMMAD RASULULLAH. Tiada tuhan selain Allah. Muhammad itu Rasul Allah.
Saya terpaksa buat entri ini sebagai penjelasan pada entri sebelumnya. Sudah ramai yang send text pada saya, teguran di ym dan blog. Kawan yang ada di Kuala Lumpur pun sudah mesej bertanya pasal entri itu. Saya bimbang, entri saya sebelum ini menimbulkan kekeliruan seterusnya menjadi fitnah. Lalu saya cuba tampil dengan penjelasan.
Siapalah saya untuk berbicara soal hukum dan fatwa. Sekadar tamat mengaji Al-Azhar itu sama sekali tidak melayakkan saya untuk sewenang-wenangnya menggubal fatwa. Namun, bagi yang mengikuti jejak langkah hidup saya melalui blog ini, mungkin akan lebih mudah faham kerana kebanyakan tempelan di blog saya ini bersangkut paut dengan kehidupan saya.
Saya membaca banyak pendapat tentang isu ini dan harus saya jelaskan kembali kerana ada yang seperti sudah salah anggap bunyi entri saya itu.
Penjelasan saya:
Haram ucapkan, menghadiri upacara sambutan Krismas, berarak dan merayakan bersama perayaan kaum kafir. Ini penting kerana hanya melalui perkataan, aqidah akan rosak. Ini fatwa dari ijmak ulamak Arab Saudi kebanyakkannya.
Saya berpegang pada fatwa ini beberapa ketika sehinggalah usia saya semakin dewasa dan meningkat, dalam masa yang sama keluarga saya di kelilingi dengan begitu ramai saudara mara yang bukan Islam.
Contoh terdekat, ibu kandung kepada mama saya (nenek saya) sehingga kini adalah penganut kuat Katolik dan sangat memusuhi Islam satu masa dulu. Dia marah teramat sangat pada 5 orang daripada 6 anaknya kerana telah memeluk agama Islam.
Pada masa itu, terlalu banyak konflik yang berlaku antara kami sehingga nenek saya mengatakan kepada mama saya "kalau aku sudah mati, kau jangan datang tengok mayat aku. Tidak boleh, kerana kau orang Islam dan bukan lagi keturunan aku"
Kata nenek saya lagi "Islam ni sombong, semua tidak boleh" dan bermacam lagi kata-kata yang memang jelas sangat memusuhi Islam. Kemudian, kami fikir, hanya dengan mendekati dan memberikan kasih sayang kepada nenek sahaja jalan terakhir untuk rapatkan jurang antara kami sekaligus saya takrifkan ini sebagai langkah perlahan untuk membawa nenek saya kepada syahadah.
Kemudian saya mula mencari tahu tentang isu ini supaya saya dan keluarga lebih tenang dalam usaha mendekati nenek agar hubungan darah antara kami tidak putus begitu sahaja.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berpendapat keras dalam larangan terhadap hari perayaan orang-orang kafir dan begitu juga mereka yang menyokongnya.
Syeikh kabir Imam Al-Qardhawi mengatakan ini:
"Saya bersama Ibnu Taimiyah untuk tidak menyetujui umat Islam yang merayakan hari raya, hari raya orang musyrik dan ahli kitab sebagaimana kita melihat sebahagian umat Islam yang merayakan hari Krismas, idulfitri dan iduladha. Inilah yang tidak boleh dilakukan. Kita memiliki hari raya, dan mereka memiliki hari raya.
Namun saya berpendapat, bahawa mengucapkan selamat pada kaum kerabat, saudara mara, tetangga, rakan atau hubungan sosial lainnya yang mengharuskan adanya kasih sayang dan hubungan baik serta dibenarkan oleh syarak adalah tidak mengapa.
Syaikhul Islam itu memfatwakan hal itu sesuai dengan kondisi zamannya. Jika hidup di zaman kita sekarang, melihat kompleksiti hubungan antara manusia, dunia yang luas kini seperti desa kecil, keperluan umat Islam untuk berinteraksi dengan non-muslim, keperluan dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam, menampilkan gambaran Islam dengan gambaran ramah bukan keras, dan khabar gembira bukan ketakutan, mengucapkan hari raya kepada tetangga dan kawan bukan bererti keredhaan terhadap akidah dan kekufuran,
melihat orang Kristian sendiri tidak menganggap hari rayanya sebagai aktiviti agama yang dapat mendekatkan diri kepada tuhan tetapi menjadi tradisi negara yang dihabiskan untuk menikmati hari cuti, makanan, minuman dan hadiah antara sahabat, Ibnu Taimiyah pasti akan mengubah dan meringankan pendapatnya. Kerana dia adalah orang yang selalu mempertimbangkan waktu, tempat dan situasi dalam mengeluarkan sebuah fatwa"
Walaubagaimanapun, saya tegaskan sekali lagi bahawa, saya dan keluarga hanya mengucapkan selamat pada nenek di hari perayaannya, dan tidak pernah sama sekali menyambut dan menyanyi memuja-muja bersama nenek pada hari perayaan itu, namun, harus diingat entri saya ini bukanlah seperti mahu berlagak seolah mahu menegakkan suatu yang haram, saya berpegang pada pendapat Syeikh Imam Al Qardhawi mengenai permasalahan ini dalam usaha mendekatkan hati nenek saya kepada Islam.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang Esa, kini nenek saya sudah boleh menerima Islam adalah agama kami. Tiada lagi maki hamun terhadap anak-anak dan cucu.
Setiap kekurangan itu adalah kelemahan saya, yang benar lagi haq, adalah Allah azza wajalla. Moga syahadah menjadi milik nenek saya suatu hari nanti :)







