27 December, 2009

Dusta orang kaya, ulama, syahid


Hadis Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, katanya Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari kiamat ialah, pertama, orang yang gugur syahid. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-Nya, lalu dia pun mengakui menerimanya.

Allah SWT bertanya kepadanya, "Maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu, sehingga aku gugur syahid."

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau berperang supaya orang mengatakan engkau berani, dan telahpun dikatakan demikian." Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Kedua, orang yang belajar ilmu dan mengajarnya serta membaca Quran. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya.

Allah SWT bertanya, "Maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku belajar ilmu dan mengajarnya serta membaca Quran kerana mengharapkan keredhaan-Mu."

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim, dan telahpun dikatakan demikian." Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta diberi-Nya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya.

Allah SWT bertanya, "Maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku tidak tinggalkan satu pun jalan yang Engkau suka dibelanjakan kekayaan padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmat-Mu."

Allah Taala berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan engkau dermawan, dan telah pun dikatakan demikian." Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap dan akhirnya dihumbankan ke dalam neraka.

*ini sebagai ingatan untuk diri kita yang lemah, semakin tulus kita dalam melakukan kebaikan, semakin hebat juga sang syaitan menusuk jarum-jarumnya demi menanam ruang ketidaktulusan di hati kita. Betapa tinggi harga menuju darjat hamba termulia di sisi-Nya.

24 December, 2009

FLYING COLOURS..


Congratulation my little cousin. She got straight A's for PMR 2009. I guess she worked so much hard for that. We here in Sabah were so glad to got the great news from Sarawak.

Its not really unexpected news because we know you are such a brilliant girl. KEEP IT UP. Hugs and kisses from us for you guys there espeacially for the young lady, the winner, the one who got FLYING COLOURS result, Nur Azierah Adenan.

p/s: hope that she can and will read this.

Lots of love,

23 December, 2009

Selamat menempuh imtihan


Saya difahamkan sahabat-sahabat di Mesir, khususnya di Mansoura akan menghadapi imtihan pada awal januari ini.

Buat semua sahabat-sahabiah yang berada di sana terutama di Mansoura, saya ucapkan selamat maju jaya, dipermudahkan menjawab semua soalan, diberikan kesihatan yang baik sepanjang fatrah imtihan dan saya tulus mendoakan moga najah menjadi milik kalian.

Teristimewa buat kakanda Noorazwin Che Soh, ahli bait Salsabila 1, Huda, Solehah, Amal, Fairuz, sahabat seangkatan Qiraat, kak Suniza, Redha Innur, Mufidah, Hafizah, Hajar, Ainun Mardhiah, adik sabah Qiraat, Maslinah dan Norhafidah serta semua yang akan menghadapi imtihan, saya doakan semoga berjaya.

Tidak lupa juga buat Seluruh warga BKPSM, adik-adik sabah di Kaherah, insha-Allah najah kabir.

Juga buat anak angkat mama dan papa saya yang duduk Mansoura tu, Ust Rahman dan Ust Jaafar, semoga najah.

Salam penuh mahabbah dari pena farhana buat antum semua yang sentiasa di hati.

*Kak Win, intan rindu nasik khabuu Syarik Furn...

Tudung bukan fesyen, bukan juga hiasan.


Pertama sekali, saya sebenarnya takut untuk menulis apa sahaja yang berbentuk ilmiah kerana di akhirat kelak, seseorang yang banyak berkata dan memberi nasihat adalah antara orang pertama akan di soal di atas kata-katanya.

Saya mohon, dikurniakan ketulusan, di tanamkan istiqamah dalam diri tanpa sedikit pun rasa riak pada nafas hayat saya ini.

Saya melihat, masih ramai di kalangan wanita belum faham soal menutup aurat. Biasa saya lihat di mana-mana, bertudung tetapi lengan baju sangatlah singkat. Bertudung tetapi kain terbelah hingga nampak mulusnya betis. Bertudung tetapi baju jarang sehingga menampakkan bayang.

Secara umum saya terangkan, seorang wanita auratnya adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tangan. Perempuan islam yang sudah akil baligh wajib menutup auratnya di hadapan ajnabi ataupun lelaki yang bukan mahramnya.

Ada beberapa garis panduan dalam menutup aurat, antaranya tidak boleh sendat dan memakai kain yang jarang. Mungkin ramai yang menepati tuntutan menutup aurat ini, contohnya memakai baju kurung dan tudung kebanyakan seperti tudung bawal.

Tetapi, persoalan lain timbul. Pakai elok di luar rumah, tetapi bila duduk depan rumah, sidai kain tepi tangga dan orang lalu-lalang, tidak pula pakai tudung. Di mana silapnya?

Adakah fahaman menutup aurat itu sekadar perlu bila berjalan keluar contohnya ke shopping complex ataupun tempat kerja? Tidak. Tutuplah aurat selagi mana ada ajnabi memandang walau di mana berada hatta di dapur rumah.

Di lain persoalan, ada wanita kata, hati belum terbuka nak pakai tudung, belum sampai masanya, hati tak boleh paksa dan macam-macam.

Saudari, sahabat-sahabat, keluarga yang saya sayangi, kewajipan menutup aurat tidak menunggu bila sampai masanya, kerana ketibaan kiamat serta kehancuran dunia ini juga tidak menunggu sampai masanya kita terbuka hati untuk menutup aurat.

22 December, 2009

Jangan berkata 'kalaulah'


Hadis Sahih Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda:

~Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan sesuatu yang berguna (di dunia dan di akhirat) dan hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah, yakni putus harapan, atau merasa hampa.

Jika engkau ditimpa sesuatu janganlah berkata "kalaulah aku berbuat demikian tentu akan jadi begini dan begitu", akan tetapi katakanlah "takdir Allah, dan Allah berbuat sekehendak-Nya".

Sesungguhnya perkataan "kalaulah" hanya membuka jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu.

19 December, 2009

Hijrah terbesar


Salam ma'al hijrah 1431 buat semua. Moga segala yang berlalu memberi sedikit saham yang baik untuk kita semua.

Saya sibuk beberapa hari ini, ada saja kerja yang perlu diselesaikan. Di samping itu, menyibukkan diri demi mendengar cerita dan 1001 kisah dari bonda sepanjang mereka berada di tanah suci.

Seronok mendengarnya, yang pasti semuanya dapat dijadikan teladan dan sempadan. Saya sangat bersyukur pada Allah kerana melindungi perjalanan kedua ayah bonda saya.

Berbicara soal hijrah, banyak cabangnya. Tetapi, hijrah menuju ke alam barzakh itu adalah yang terbesar bagi saya. Bagaimana dan setakat mana sudah kita membuat persiapan untuk menghadapi hijrah yang paling besar ini.

Allah tidak pernah menjanjikan kepada kita bahawa umur kita ini panjang. Kalau di hitung-hitung sebenarnya, nyawa kita ini sehari-hari melentok liuk di hujung jari, cuma kita sahaja tidak menyedari.

Jika ada yang tidak faham, bagaimana membuat persiapan untuk hijrah terbesar ini.

Tepuk dada, tanya iman. *sambil tepuk dada sendiri..

*Ya Allah, jika umurku Kau takdirkan masih panjang, pandulah aku di jalan-Mu. Jika umurku Kau takdirkan hanya tinggal seketika, berikan nusrah-Mu, agar aku bisa menggapai syurga-Mu. Amin.

14 December, 2009

Mansoura indah di hati..






Panorama El-Mansoura sangat menggamit hati saya waktu ini. Saya sangat merindui bumi itu, tempat segala suka duka tercatat.

Semalam ayah saya juga kata, rindu pada Mansoura. Album panorama Mansoura acapkali ditatap. Moga Allah memberi ruang dan kesempatan buat saya untuk menjejaki Mansoura lagi.

Terima kasih wahai Mansoura, tanahmu memberi erti buatku. Di tanahmu jua kumiliki segulung ijazah bermakna.

Moga kita bertemu lagi.

13 December, 2009

Bila tiba Janji Allah..

Buat Teh Affifah Shahira Abdul Hamid, moga tabah dan redha menjadi milikmu. Salam penuh simpati dari Pena Farhana.

Gambar kenangan sebelum nahas berlaku

Gambar setelah nahas, Teh Affifah ditenangkan oleh sanak saudara


Saya mendengar berita ini melalui Buletin Utama Tv 3 semalam. Dijemput Allah setelah empat jam bernikah. Seribu simpati menghuni jiwa saya. Biasanya, Allah memilih insan yang terbaik untuk memikul ujian dari-Nya itu.

Saya doakan kekuatan hati sentiasa bersama Teh Affifah. Begitulah percaturan Allah yang tidak terduga oleh kita, dan yang pasti, segalanya akan berlaku mengikut janji-Nya.

Al -fatihah buat kesemua nahas kemalangan.

12 December, 2009

Percaturan Allah itu yang terbaik


Hari ini, tenaga sudah sedikit pulih. Syukur yang tidak terhingga saya rafakkan pada yang Esa kerana melindungi perjalanan haji kedua ayah bonda saya dan mengembalikan mereka ke pangkuan kami.

Untung nasib pelayaran hidup ini, tiada manusia dapat menduga. Kami sekeluarga menerima seadanya apa yang dinamakan takdir.

Kematian atuk suatu takdir yang terpaksa diterima. Mungkin, kematiannya tidak menyedihkan saya, tetapi rentetan keperitan hidup kala hayatnya itu yang sedikit meruntuh tabah di hati. Tetapi, segalanya harus direlakan dek hati.

Sebaik ayah dan bonda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kami adik-beradik terpaksa menyembunyikan sementara tentang kematian atuk, bimbang bonda tidak boleh menerima. Tetapi, saya sudah bisikkan terlebih dahulu ke telinga ayah tentang perkhabaran sedih itu.

Ayah terperanjat dan hanya mampu menitiskan airmata, sedang bibir bonda melakar senyuman gembira dapat bertemu kami anak-anak. Sayu melihat senyuman bonda waktu itu, kerana saya tahu, selepas senyuman itu, pasti tangisan hiba yang bakal bergema.

Selepas selesai makan tengahari, pakcik saya memberitahu khabar sedih kepada bonda lewat telefon. Nyata tangisan bonda bergema. Sayu menyelubungi. Kami semua hanya mampu mendakap dan menenangkan bonda.

Atuk pergi pada hari ketibaan ayah bonda dari tanah suci. Tambah menyedihkan, sebelum kematian, atuk mencari kelibat bonda. Mungkin ada yang ingin atuk sampaikan, namun tidak kesampaian. Kerana itu, bonda terlalu sebak.

Di hayatnya, banyak coretan dan kisah duka tercatat. Saya sukar menulisnya di sini. Yang pasti, kerana kematian atuk, kasih sayang nenek saya sebagai isteri pertamanya, begitu terserlah setelah sekian lama tiada damai antara mereka.

Saya yakin, apapun jalan cerita dan simpang-siur hidup ini, itu adalah percaturan Allah yang terbaik untuk kita sekalian hamba.

*saya penuh mengharap, moga di saat akhir sebelum kematian atuk, hatinya terdetik untuk islam dan mudah-mudahan itu menjadi saham terbaik untuknya di 'sana'.

Letih

Hampir dua hari bermusafir. Semalam saya dan keluarga pulang ke kampung halaman bonda di Tambunan untuk upacara pengebumian mendiang atuk.

Kesugulan tidak mampu saya luah. Kasihan bonda, baru tiba dari tanah suci terpaksa mengharungi kepayahan pertama setelah melalui berbagai kepayahan selama mengerjakan ibadat haji. Namun begitu, alhamdulillah, bonda tabah.

Banyak yang saya mahu cerita, tetapi waktu ini otak dan badan terlalu letih.

09 December, 2009

Berita sedih

Atuk saya, ayah kepada bonda, telah pergi buat selamanya. Menghembuskan nafas terakhir lebih kurang pukul 5 pagi tadi.

Saya terkilan kerana saat ini, kami sekeluarga sedang menanti ketibaan ayah dan bonda dari tanah suci, tetapi kami semua tetap redha dengan segala ketentuan.

Juga terkilan kerana sebelum ini, bonda ada berpesan, sebaik tiba di Kota Kinabalu, dia ingin segera melawat dan berbicara dengan atuk di hospital.

Tetapi, nyata hasrat itu tidak kesampaian. Moga bonda saya tabah menghadapi kehilangan ayah yang di sayangi.

Juga terkilan kerana atuk saya tidak sempat memeluk agama Islam di hayatnya. Walaupun berbeza agama, ikatan darah antara kami tidak pernah jauh.

Moga Tuhan memberkati kepergiannya.

SEDIH.

07 December, 2009

Dua rasa satu masa


Saat ini, jiwa saya dalam dua rasa yang berbeza.

Tanggal 9 disember 2009 bersamaan hari rabu ini, rindu saya akan terlerai dengan kepulangan ayah dan bonda ke tanah air. Doa saya tidak pernah henti demi sebuah ibadah haji yang mabrur buat mereka.

Nyata hati saya teruja untuk bertemu ayah bonda setelah kami adik beradik melewati hari-hari yang menduga kekentalan diri tanpa ayah bonda yang bergelar ibu bapa.

Dalam pada itu, hati saya merasa sangat rindu pada halaman Mansurah, bumi di mana saya mengenal erti hidup atas kaki sendiri.

Tambah bererti, bumi Mansurah yang menjadi jiwa saya, dapat dijejaki oleh kedua ayah bonda saya yang tercinta. Di atas tu gambar ayah bonda kat depan kuliah Azhar, Mansurah.

Saya sangat rindu tapak-tapak di Mansurah. Rindu pada bait Salsabila. Kenangan yang ada sangat menggamit jiwa. Moga Allah memberi ruang pada saya untuk menjejak Ardhil Kinanah semula.

Salam rindu dari kejauhan buat semua sahabat saya di Mesir, khususnya di Mansurah. Moga najah sofi milik kalian. Amin Ya Rabb.

Letih tapi happy







Salam semua. Sudah agak lama saya tidak update. Sangat sibuk buat itu dan ini sempena menyambut kepulangan ayah dan bonda dari tanah suci.

Mohon maaf buat semua sahabat-sahabat yang singgah ke sini, tinggalkan jejak, jadi follower saya, tapi saya agak lambat meraikan. Apapun,saya amat menghargai ziarah kalian. Petang tadi saya dan adik elL bertungkus-lumus menghias kamar tidur ayah dan bonda. Tersangat letih tapi tersangat juga gembira.

Not too elegan but simple is smart. Sangat bersyukur sebab Allah beri saya sedikit kesihatan untuk menapak di setiap ruang rumah ayah bonda untuk buat macam-macam.

Di atas tu ada some pic lepas selesai menghias konon. Itu beberapa ruang kamar ayah bonda yang baru di hias. Esok, akan ke Kota Kinabalu untuk menyambut kepulangan ayah bonda pagi rabu ini. Moga segalanya selamat.

02 December, 2009

Hari ini mendewasakan..


Banyak kerja harus diselesaikan tadi. Alhamdulillah, semuanya lancar. Sedih dengan berita ramai ahli keluarga yang kini diuji dengan kesakitan.

Pertamanya, nenek saya. Ibu kepada ayah. Sudah bertahun menghidap kanser. Saya tidak pernah putus berdoa untuknya. Baru-baru ini, doktor sudah sahkan mulai sekarang nenek akan mengambil morfin sebagai ubat penahan terakhir bagi pesakit kanser. Sedih di hati hanya Allah yang mengetahui~Saya pergi melawatnya awal pagi hari ini. Itu adalah rutin.

Keduanya, atuk saya. Ayah kepada bonda. Baru-baru ini terjatuh sewaktu berjalan di pekan. Doktor sahkan kakinya patah. Sayu bila melihat wajahnya menahan sakit. Saya berdoa untuknya agar bisa sembuh seperti sediakala~Saya pergi melawatnya semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Ketiganya, makcik saya. Kakak kepada ayah. Sudah hampir 5 minggu tidak dapat menjamah apa-apa makanan kerana merasa sakit pada tekak. Dimasukkan ke wad hospital semalam kerana keadaannya sangat lemah. Saya juga berdoa untuknya tiap masa~ Saya melawatnya petang tadi di hospital Kota Marudu.

Saya termenung sendiri melihat kesabaran mereka semua sedang diuji Allah. Moga cekal bersama mereka.

Esok pagi kena bangun awal, masih banyak kerja menanti. Kegusaran hati kala ini terubat bila ingat ayah bonda akan kembali bersama kami tidak lama lagi.

01 December, 2009

Sukarnya bicara soal hati



Entri ini sebagai renungan. Moga ada manfaat untuk saya dan sahabat semua. Hati kita ini sentiasa berbolak-balik. Amat sukar sebenarnya mengemudi hati, penguasa dalam kerajaan diri kita. Sejauh mana kita mampu selami hati sendiri dan hati orang lain, itu persoalan yang sangat halus dan sukar dirungkai dek kata.

Saya akur dengan rencah dunia, ada waktu harus merasa sakit dengan rencam manusia. Semuanya mahu kelihatan diri itu hebat. Kadangkala hati tidak setulus bibir dalam berkata. Itu kelemahan kita, manusia yang hanya berpangkat hamba.

Wajar untuk kita renung-renungkan, usah bicara soal hati insan lain jika hati sendiri masih samar-samar dimana berada. Usah menilai orang lain jika diri belum seagung Rasul junjungan.

Dia kata, hatinya ikhlas. Benarkah ikhlas? dia pula kata, hatinya tulus. Benarkah tulus? Sukar. Kita hanya mampu meyakini hati sendiri semuanya baik agar kebahagiaan tetap di hati. Terkadang, hati milik saya ini rasa letih. letih untuk merasa. Ah, tetapi bukankah itu berbunyi putus asa?

Harus tegar. Rasa sakit di atas derita insan yang disayangi anggaplah sebagai tarbiyah buat hati yang selalu longlai. Biarlah. Relakan segalanya. Ujian tarbiyah buat hati itu indah sebenarnya. Kita harus yakin, mendung bukan selamanya.

Kawan saya kata, hati ini umpama racun. Bisanya sangat hebat bila dikemudi oleh akal durjana. Hati juga tempat di mana letaknya sebuah ego. Bila ego menguasai, hati tidak akan mahu untuk muhasabah diri.

Sukar untuk mengkhilaf diri atau menginsafi diri. Terasa diri itu benar selalu. Tiada berbuat silap. Saya sangat hairan, mengapa kita suka mencari salah orang dan amat sukar mencari salah sendiri?

Kata orang pula, DONT JUDGE THE BOOK BY THE COVER. Benar itu. Saya sangat setuju, boleh saya tukar? JUDGE THE BOOK BY THE CONTENTS. Bunyi macam lain pula.*kening berkerut*

Saya menulis entri waktu ini pun, saya sendiri kurang pasti hati saya sekarang itu 'gimana'..yang pasti, sekarang saya tengah berusaha untuk mengikhlaskan diri. Bila kita ikhlas, bahagia itu milik kita.

Walau sukar untuk dibicara soal sekeping hati, saya doakan moga hati saya dan kalian semua tergolong dalam kalangan hati-hati yang tulus.

27 November, 2009

Hukum Dunia VS Hukum Akhirat


Beberapa hari ini saya sangat sibuk, pulang ke kampung halaman membuatkan saya agak leka bersama keluarga yang sangat dirindui.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan salam Eidul Adha buat semua sahabat-sahabat dan semua pengunjung blog saya. Mohon maaf jika ada terlanjur kata, terlebih gaya.

Beberapa hari ini, saya banyak berfikir, merenung dengan melihat beberapa keadaan atau situasi yang memberi banyak pengajaran dan iktibar berharga buat saya.

Kala melihat karma dunia bermain di depan mata, jiwa terhimpit menyoal rasa. Hati pasrah, mungkin ini yang dinamakan syurga duniawi. Benar kata bijak pandai, pesona dunia agung di fana, tapi sirna 'di sana'.

Dunia kini merangkak senja, sedang menanti berlabuhnya tirai pengakhiran. Namun, manusia tetap leka. Kacau bilau, kesakitan, kelukaan, kesombongan, kejahilan dan sebagainya masih menghantui jiwa manusia kita.

Di dunia, kita punya mahkamah yang di adun berpaksikan undang-undang, kita punya hati dan lidah yang bisa berbohong tiap masa pada suatu kebenaran. Tiada siapa yang boleh menggugat kita.

Kita ada segalanya di dunia, bertunjangkan kekuasaan, kita bisa merubah. Kadang keadilan tidak berlaku sebaiknya, pangkat dan darjat membeza segala. Itu hukum dunia. Kita akur pada alur rona sebuah kehidupan.

Paling banyak, orang menilai kita dengan gah nya. Mencabar kesabaran kita. Menilai seseorang layaknya raja yang berada di takhta. Kata orang, kita ini buruk, bertopengkan hipokrit dalam menyusuri dunia, kita harus pasrah.

Teguhkan di jiwa, hukum dunia tiada erti. Sabarlah menanti keindahan akhirat yang bakal abadi. Allah sebagai hakim yang pasti di sana kelak. Tiada siapa mampu berkata melainkan bekal ketulusan hati tika bernafas di dunia.

Buatlah apa sahaja di dunia, robekkan sebuah iman demi menangkan hatimu, puaskan jiwamu, lantunkan inginmu, dan juarakan amarahmu.

Akhirat sana pasti kau rasa jerihnya meniti sirat Mustaqim, tenatnya meraih rasa hebatnya azab yang dijanji. Mengertilah, fahamilah, akuilah, dunia hanya sementara.

Angkuh di dunia, di akhirat kau pasti terhina.

24 November, 2009

Kisah adik bongsu..

Ini adik bongsu saya, Deen Farhan. Nama pena maya saya, Deena Farhana. Itu antara sebab saya memilih nama itu. Saya ingin meraikan namanya.

Insya Allah, esok saya akan bertemu dengannya. Saya dengar cerita dari adik dan kakak sulung saya, waktu ini dia amat merindui ayah dan bonda. Kata kakak, semalam dia menangis teresak-esak teringatkan ayah.

Waktu ini dia berada di rumah kakak sulung saya di Villa Luyang Perdana, Kota Kinabalu. Esok saya akan mengambilnya awal pagi dan bawa dia pulang bersama saya kerana esok kami adik-beradik akan pulang ke rumah ayah bonda di kampung.

Saya sengaja mahu ambil dia pagi esok, ajak berjalan sebelum pulang kampung. Adik saya ini, agak 'notty' juga, tapi biasalah, usia sepertinya memang begitu.

Saya diberitahu, dia selalu menonton rancangan Khabar Haji di Astro Oasis kerana ingin melihat wajah ayah dan bonda. Hati saya tersentuh. Manik jernih mula menghuni ruang mata.

Paling saya sayu, kerana terlalu rindu, dia minta kain pelekat ayah dan kain batik bonda pada bibik, pembantu rumah. Katanya, dia rindu.

Saya ini sudah besar, mampu mengendali rasa rindu itu sebaiknya. Dia, adik yang masih kecil, belum banyak mengerti ranjau hidup ini. Di rumah, mungkin dia kesunyian tiada teman.

Tetapi, tidak apa, saya akan bersamanya mulai esok mengisi waktu-waktunya dengan aktiviti yang saya sudah rancang.

Saya menyayanginya kerana dia istimewa. Dia adalah kurniaan terindah dalam hidup kami sekeluarga. Dia ada kisah hidup yang tersendiri. Berasal dari keluarga bukan islam, kami menyambutnya dengan penuh syukur bila azan dikumandangkan di telinganya saat dia lahir ke dunia ini.

Kini dia adalah adik saya. Beragama Islam dan anak kepada ayah bonda saya. Dia darah daging kami. Tiada apa yang dapat membezakan darjat antara kami.

Semoga dia menjadi insan berguna apabila besar kelak.

Lambaian Arafah


Padang Arafah penuh barakah..

Selepas zuhur waktu Makkah, semua jemaah haji termasuk ayah bonda saya akan mula bergerak menuju Arafah untuk mengerjakan wukuf.

Sempat berbicara di talian dengan ayah semalam, perasaan saya bercampur baur, gembira ada, sayu pun ada. Ayah demam, suaranya agak sedikit payah, mungkin faktor cuaca yang menyebabkan kesihatan ayah tidak menentu.

Namun begitu, waktu ini saya panjatkan lautan kesyukuran kerana sudah hampir setengah perjalanan mereka berada di sana dan alhamdulillah, walaupun tidak sihat, ayah dan bonda masih mampu bergerak melaksanakan ibadat hingga waktu ini.

Saya akan terus berdoa, ayah dan bonda serta semua jemaah haji kita dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat melaksanakan ibadat haji ini dengan sempurna.

Saya mohon pada yang Esa, dalam kesesakan manusia berjihad memburu haji mabrur, tolong lindungi perjalanan ayah bonda saya dan permudahkan mereka di setiap tempat. Amin.

Cuti Panjang..

Sekolah sudah mula bercuti hingga awal tahun depan. Saya belum sampai rumah ayah bonda kerana masih banyak urusan di Kota Kinabalu.

Tetapi InsyaAllah, esok akan pulang ke kampung halaman, bertemu keluarga yang sangat dirindui. Petang semalam, saya menjenguk adik kedua saya, Nurul Hidayah yang sedang menghadapi peperiksaan Spm.

Dia agak kurang sihat, mata kirinya bengkak kerana jangkitan kuman. Sudah bawa ke klinik dan dapat ubat, kasihan, dia kurang selesa dengan rasa sakit di matanya.

Tetapi saya kata, tabahlah, masih ramai calon Spm yang lebih lagi tidak selesa seperti calon Spm yang berada di kawasan dilanda banjir.

InsyaAllah, mudah-mudahan dia cemerlang. Usah hirau pada sedikit kesakitan kerana mungkin itu adalah onak duri meniti kejayaan. Cuti hujung tahun ini, banyak agenda yang telah dirancang, moga terlaksana semuanya.

Agenda yang paling besar, menghias bilik dan kediaman sebelum ayah bonda tiba pulang dari Makkah. Ini juga adalah impian terbesar saya melihat kediaman bonda di 'upgrade'. InsyaAllah, moga dipermudahkan segalanya.

21 November, 2009

Anak lelaki lebih baik dari anak perempuan?


Pada tahun 1984, tahun dimana datuk saya berangkat menunaikan fardhu haji dan juga adalah tahun kelahiran saya. Sebelum bonda melahirkan saya, datuk sangat yakin saya adalah cucu lelaki pertamanya setelah dua orang kakak perempuan di atas saya.

Namun kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang. Saya lahir sebagai anak perempuan. Datuk kecewa. Datuk sangat menginginkan cucu lelaki daripada ayah saya. Kata datuk "cucu lelaki bagus, perempuan susah!"

Berputar benak saya memikirkan kenapa datuk mahukan cucu lelaki. Mungkin datuk ada persepsinya sendiri. Tetapi, siapalah kita untuk menyangkal takdir. Semua yang telah ditentukan Allah itu adalah Qada' dan Qadar dariNya.

Hari ini, saya terpaksa untuk bersetuju dengan kata-kata datuk bahawa, anak perempuan memang susah. Mendidik anak perempuan tidak semudah yang disangka. Bukan kerana saya berpengalaman menjaga anak perempuan atau mana-mana anak, tetapi hakikat 'susah' pada anak perempuan saya akui.

Selain daripada kenyataan lemah pada fizikal perempuan sejak azali, kaum hawa ini juga terkenal dengan banyak nafsu jika dibandingkan dengan lelaki yang lebih akal dari nafsu. Semua itu sebagai perbandingan jelas antara lelaki dan perempuan.

Seperti yang kita maklum juga, pada zaman jahiliyah dulu, mana-mana bayi perempuan yang lahir, akan ditanam hidup-hidup. Alasannya, bayi perempuan akan membawa sial, kecelakaan dan akan mendatangkan malu besar pada keluarga.

Saya tahu, mungkin datuk saya lebih sukakan cucu lelaki kerana cucu lelaki kuat dan boleh menjaga keluarga kelak. Itu saya tidak nafikan kerana memang banyak sebenarnya kuasa dan hikmah yang dimiliki oleh lelaki.

Satu hari nanti kalau saya ada anak pun, saya mahukan anak sulung lelaki supaya dia bertindak sebagai penjaga keluarga dan ada yang mengurus jenazah saya hingga ke tanah perkuburan. Tetapi, saya agak terkilan juga ada beberapa orang yang begitu tegas mengatakan anak perempuan ini membawa sial.

Benarkah anak perempuan ini tidak berguna? benarkah hidupnya mereka ini hanya membawa celaka dan kesusahan? dan anak lelaki itu hidupnya memang nyata membawa untung dan kemegahan?

Kita kini menyaksikan betapa kebangkitan kuasa kaum hawa di persada dunia tidak mampu dibendung. Sebutlah apa sahaja bidang, kaum hawa pasti ada menyaingi. Perniagaan? Perdagangan? Ketenteraan? malah politik.

Benar, susah menjaga anak perempuan ini kerana kata Allah, perempuan diciptakan untuk menguji iman dan kesabaran para ibu bapa. Tetapi, Allah tidak pernah sesekali mengatakan perempuan itu sial dan celaka.

Bilamana Allah kata menguji iman, maka sememangnya terlalu banyak ranjau dalam mendidik anak perempuan. Sebagaimana yang kita tahu, perempuan adalah sebesar-besar fitnah dunia, maka itu, perlunya didikan agama dan kesedaran oleh semua ibu bapa agar memastikan ianya jauh dari fitnah.

Mendidik mengikut tunjang islam dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama adalah cara terbaik dalam memastikan mereka membesar dalam jiwa keislaman yang tulus.

Islam sudah mengangkat martabat wanita, maka seluruh alam harus akur dan turut sama menghargai kejadian wanita seadanya. Wanita seistimewa bidadari, tapak kakinya adalah syurga bagi setiap anak. Itu adalah hakikat yang tidak akan berubah hingga kiamat.

Lelaki adalah sebaik-baik pemimpin. Dibekalkan dengan sifat tenaga dan kekuatan agar semua itu dapat digembleng ke arah jihad yang satu.

Dua insan ini saling memerlukan untuk membentuk satu kehidupan keluarga demi meraih pahala untuk menempuh akhirat kelak. Kita manusia, ada otak sebagai layar kita, sama ada bisa menakhodai layar ke arah akidah iman ataupun sebaliknya.

Saya manusia biasa, menulis entri ini pula sedang mengejar masa kerana ada urusan mendadak. Jika ada salah yang nyata, ampun maaf jua yang dipinta.

19 November, 2009

Bahana Montoku Dan Lihing


Tajuk entri kali ini amat sinonim dengan masyarakat kadazan dusun di sabah kerana Montoku dan Lihing ini adalah minuman tradisi mereka. Minuman tradisi turun temurun sejak nenek moyang. Fungsinya sama seperti arak, sejenis minuman yang memabukkan.

Saya anak kelahiran sabah dan berketurunan kadazan dusun. Sebab itu saya rasa terpanggil untuk menulis di laman saya tentang dua minuman ini. Saya tidak pernah menyalahkan apa yang namanya tradisi mahupun adat.

Tetapi bila adat dan tradisi itu semakin lama mengundang kesuraman hidup sesuatu kaum, maka bagi saya tidak salah jika kita cuba rungkaikan dan perbincangkan semula buruk dan baiknya sesuatu adat itu.

Tulisan ini bukan acara membuka pekung di dada, tetapi anggaplah sebagai membuka minda dan mentaliti kita agar lebih terbuka. Suku kadazan dusun di negeri sabah ini juga sudah ramai yang memeluk agama islam, jadi kita perlu ketengahkan persoalan ini.

Di Sabah, sudah menjadi kemestian bagi suku kadazan dusun meminum montoku dan lihing ini di dalam setiap majlis atau keramaian. Tidak kira apapun jenis keramaian, perkahwinan, perayaan hatta kematian pun.

Keluarga saya masih ramai yang belum memeluk agama islam, tetapi itu bukan alasan dan benteng untuk saya dan keluarga merenggangkan hubungan darah. Kami tetap sentiasa raikan mereka bila ada majlis kahwin ataupun kematian.

Pada mulanya, saya sendiri tidak tahu terdapat adat iaitu acara meminum lihing atau montoku yang menjadi suatu kemestian dalam sesebuah kematian dalam keluarga. Sehinggalah saya melihatnya sendiri sewaktu salah seorang keluarga dekat saya meninggal.

Keluarga saya itu bukan islam, jadi kami sekeluarga bertandang sebagai tanda hubungan darah sesama kami dan hanya mampu melihat suasana hening itu. Cerita ini sudah lama, saya tulis kembali kerana banyak berkait dengan tajuk entri saya.

Tidak dinafikan, kami juga sedih dengan pemergian salah seorang ahli keluarga kami itu, tetapi saya agak tersentak dengan tindakan anak dan cucu mendiang yang meratap seolah hilang pertimbangan di tepi keranda.

Banyak juga yang membuat saya tersentak, maklumlah agama berbeza, lagipun itu adalah kali pertama saya menghadiri upacara kematian keluarga terdekat saya.

Sebelum mendiang di bawa untuk disemadikan, satu adat yang wajib dilakukan sebagai tanda menghormati mendiang iaitu upacara meminum lihing oleh beberapa ahli keluarga terdekat mendiang dan upacara itu mesti dilakukan di tepi mayat bersebelahan dengan keranda.

Awalnya, saya kehairanan dan tertanya-tanya dan saya terus berbisik bertanya kepada ayah dan ayah menjelaskan semuanya. Kami hanya mampu berdiam, kelu tidak terkata.

Di sudut lain cerita, saya pernah terserempak dengan budak-budak sekolah yang sedang leka meminum montoku di sebuah kedai runcit. Sebahagian mereka sudah terhuyung-hayang dan yang membuat saya sedih, ada di kalangan mereka itu beragama islam.

Ke mana harus saya sandarkan kesedihan saya ini? bila melihat anak harapan bangsa terhuyung-hayang sambil mengilai tawa dalam kemabukkan. Hati menjerit, ini anak bangsa saya, pemuda-pemudi harapan negara..

Saya menghormati adat, apa juga yang namanya adat selagi ia tidak bertentangan dengan syariat islam, saya menjunjungnya kerana adat itu budaya bangsa. Budaya itu membuat sesuatu bangsa menjadi unggul, tetapi tidak kurang juga membuat bangsa itu mundur.

Saya merasa perlu untuk kita suarakan tentang bahana montoku dan lihing ini terhadap anak-anak muda kita bahkan murid sekolah rendah. Perlu ada pemantauan dan undang-undang dalam penjualan minuman ini di mana-mana.

Saya berani katakan, montoku dan lihing ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada kita sebenarnya malahan dalam islam, ianya adalah haram. Ia juga mengancam masa depan anak-anak muda kita khususnya yang berbangsa kadazan dusun sendiri kerana sangat terdedah dengan budaya ini.

Jauh di sudut hati, jika saya memiliki kuasa, saya akan hapuskan minuman ini demi kesejahteraan dan kemajuan anak bangsa khususnya bangsa kadazan dusun sendiri, darah daging kecintaan saya ini.

Dakwah kepada darah daging sendiri tidak mudah. Tidak kiralah apa jua bentuk dakwah. Saya selalu kecundang. Moga Allah memberi kudrat yang jitu buat saya dan keluarga.

Selamat Berjuang adikku..


Waktu ini, adik kedua saya, Nurul Hidayah binti Hj Numan sedang berjuang dalam peperiksaan Spm. Dari kejauhan ini, saya kirimkan sejitu doa buatnya agar tegar menghadapi setiap soalan meski sentuhan ayah bonda tidak bersama.

Tenanglah adikku, usah bersedih lantaran wajah ayah bonda tidak mengiringi juangmu. Yakinlah, doa untukmu terucap tiap saat dan ketika dari Masjidil Haram.

Moga cemerlang milikmu. Amin.

18 November, 2009

Kembara Ilmu


Saya lahir dalam keluarga yang sederhana. Tidak kaya, tidak juga melarat. Tetapi saya terdidik dengan kesusahan. Boleh juga saya katakan hidup kami susah, keringat ayah bonda membesarkan kami anak-anak terpahat teguh di hati saya.

Saya masih ingat dulu waktu sekolah rendah, sebelah pagi sekolah akademik melayu, sebelah petang pula pergi sekolah agama. Tengahari saya tidak pulang ke rumah, terus ke sekolah agama berjalan kaki. Jaraknya tidaklah terlalu jauh.

Menjelang tengahari, ayah saya akan menghantar bekal makanan untuk makan tengahari saya. Kebiasaannya makanan tengahari saya, nasi berlaukkan ikan goreng kering atau ikan masin.

Kawan-kawan saya yang lain pun sama, ada bekal makanan tetapi makanan mereka jauh lebih enak dari saya. Tetapi, disebabkan saya lapar, berlaukkan ikan masin pun saya tetap berselera.

Di rumah, orang gaji tiada, ayah terpaksa masak untuk kami kerana bonda kerja kerani rendah di pejabat. Ayah guru agama biasa, mengajar di sekolah agama tempat saya belajar. Sebelum pergi sekolah, ayah terpaksa buat kerja-kerja rumah.

Inilah kenangan dan perjalanan hidup yang tidak mungkin saya lupa. Bonda terpaksa kerja kerana ingin membantu mencari rezeki untuk keluarga. Saya masih ingat, setiap kali ayah menghantar bekal makanan, saya selalu mengharap lauknya ayam goreng.

Bila buka, ikan goreng kering. Saya tetap gembira sebab masih ada untuk dimakan. Di sekolah, saya pernah dapat nombor 3 dalam kelas tapi sekali saja. Lepas itu, tidak pernah. Alangkah hebatnya saya kan. Bab belajar, saya pemalas nombor satu.

UPSR saya jangan tanyalah, dapat 2A saja, yang lain saya pun tidak ingat sudah. Bebelan bonda berlanjutan 3 hari 3 malam. PMR saya pun sama, bebelan bonda 2 minggu belum surut. SPM lagilah, biasa-biasa saja. Kecut perut saya dengar bonda berleter setelah dapat keputusan SPM.

Saya tahu ayah dan bonda kecewa. Adik beradik saya yang lain pandai. Sudahlah pandai, rajin lagi. Saya ni, sudahlah kurang pandai, pemalas pula. Saya masih ingat, subjek yang selalu saya dapat 'A', subjek agama.

Ayah saya kata, "otak kau ni bolehlah sikit kalau subjek-subjek nabi". Kesian.. Matematik dan sains jangan bagi dengan saya. Saya belajar 2 hari 2 malam pun tidak dapat masuk. Entahlah, sampai bonda saya kata otak saya ni boleh terima huruf jawi saja, nombor dan digit jangan harap.

Keputusan terbaik saya dalam subjek matematik dapat 'C' UPSR. Selalunya gagal. Saya ingat bonda gembira, rupanya tidak. Kakak-kakak saya keputusan peperiksaan semua cantik. Sebab itulah, bonda bengang dengan saya. Apa kejadah budak ni...

Lepas SPM, dengan keputusan yang biasa-biasa itu, di bantu dengan beberapa kepujian dalam subjek-subjek nabi malayakkan saya untuk masuk ke Maahad Tahfiz Negeri Sabah. Saya kurang setuju mulanya, tapi kata ayah "habis tu mau masuk mana? kalau dapat tawaran UIA tak apalah".

Rasa ter'smash' pula dengan kata-kata ayah. Bayangkan, dua orang kakak saya sudah berada di IPTA waktu itu. Saya? em.. masuklah tahfiz. Siapa suruh terlampau rajin belajar sampai IPTA tak tersuara untuk tawarkan saya tempat.

Sepanjang 3 tahun pengajian di tahfiz, keputusan saya juga biasa-biasa saja. Tidaklah gempak mana pun. Tetapi berjayalah juga memiliki diploma tahfiz dan yang paling penting saya berjaya mendapat sijil khatam hafaz quran 30 juzuk.

Dengan sijil itulah saya diberi peluang menjejak Ardhil Kinanah, bumi Mesir. Tetapi, ayah dan bonda saya kurang yakin untuk melepaskan saya ke sana, di samping kesihatan saya yang tidak menentu, mereka kurang yakin saya mampu menghabiskan pengajian di sana. Iyalah, siapa tidak tahu saya ni, pemalas.

Dengan keunggulan dan imej universiti Al Azhar, ayah dan bonda saya kaku seketika bila saya kata mahu sambung belajar di sana. Tidak saya nafikan waktu itu, faktor kewangan juga menyumbang kesamaran ayah bonda untuk melepaskan saya.

Duit tiket dan perbelanjaan kena tanggung sendiri pada mulanya. Beribu juga diperlukan untuk urusan ke sana. Ayah kata, takut saya tidak mampu. Lagipun Mesir bukannya dekat. Kata bonda pula, takut saya jatuh sakit di sana.

Saya teguhkan keinginan saya, mungkin ini kali terakhir saya susahkan ayah bonda. Seolah memaksa ayah mengeluarkan duit untuk tiket saya ke Mesir, saya pasrahkan hati. Saya sudah mula memasang tekad, harus buktikan sesuatu.

Segala macam suka duka saya tempuh sepanjang bergelar pelajar Al Azhar. Dugaan sakit memaksa saya menyusahkan ayah dan bonda untuk kesekian kalinya. Keluarga di tanah air tidak tidur memikirkan saya. Hampir saja nafas terputus waktu sakit menduga. Tidak terdaya saya nukilkan di sini.

Dengan segala kudrat dan semangat dari keluarga, saya menyusuri denai liku kinanah, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian saya dengan sedikit kepujian pada ijazah saya. Saya lihat ada titisan air mata di pipi ayah bonda.

Ayah bonda bersyukur, akhirnya berjaya juga saya dapat ijazah, tragis bila memikirkan betapa degil dan pemalasnya saya dalam pelajaran.

Kalimah syukur saya sebut berulangkali. Sukar saya jelaskan betapa prestasi saya selama ini selalu mengecewakan ayah bonda. Jangan tidak tahu, berapa kali juga saya tersungkur dalam sepak terajang pengajian di Mesir. Mengulang peperiksaan bukan sekali.

Semua itu memberi pengajaran dan pengalaman berharga dalam hidup saya. Apa yang saya sedari kini, sekali saya khatam hafaz 30 juzuk, sepanjang hayat saya memikul amanah. saya menyedari segala perjuangan tidak pernah selesai meski ijazah sudah ada.

Hanya padaMu yang Esa, saya mengemis cinta mengharap saya dibantu untuk terus berada di jalanMu. Perkenankanlah pengharapan saya ini.

Segala puji bagi Allah, kini kehidupan kami sudah jauh lebih baik, rezeki ada di mana-mana, makanan apatah lagi. Jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa sujud dan bersyukur sehingga nafas kami yang terakhir.

17 November, 2009

Kalam Seorang Ayah


Saya sudah terlelap selepas solat isyak tadi, badan rasa kurang sihat, tiba-tiba terjaga bila telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Di skrin terpapar nama 'papa no.madinah'.

Saya segera menekan punat 'ok', panjang kalam ayah saya~

Salam buat anak-anak papa, salam yang teramat kerdil dari papa di Masjid Haram pada saat ini sementara menunggu waktu isyak..mama di hotel. Maha suci Allah yang mengizinkan papa mama datang mendatangi tanah haram Makkah ini dan maha suci Allah seandainya tidak mengembalikan papa ke bumi halal.

Papa terlalu kerdil, Allah jua yang maha besar, yang agung, yang tinggi, yang mulia, yang kaya dan yang segalanya, mari kita latih diri kita miskin, lemah, tiada kuasa, latih diri menerima hakikat bahawa di hujung kehidupan ialah perpisahan jasad nyawa, kita tiada daya menyekatnya.

Harta tiada daya, kereta besar tiada daya, rumah besar tiada daya, dan pangkat juga tiada daya semuanya melainkan amal taqwa sahaja yang dapat mengimbang untuk keadilan itu semua, keangkuhan peribadi zahir dan batin merupakan permohonan awal menuju ke arah penyeksaan Allah.

Mencari damai kehidupan bukan pada pertimbangan naluri perasaan, tetapi adalah naluri perasaan kerohanian yang adil dan saksama, tanpa bohong pada fitrah kebenaran, serta pergantungan terhadap Allah yang Esa..~

Saya akui, ada airmata yang gugur. Tetapi saya yakin, airmata itu bukan menangisi apa-apa, melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah memberi ruang kebahagiaan untuk kedua ayah bonda saya menatap bumi Makkah.

Rindu saya pada ayah bonda bergema di relung hati. Hanya doa berterusan buat mereka sebagai penawar. Usai membaca pesanan ringkas dari ayah tadi, saya segera mendirikan solat hajat, memohon segalanya baik dan selamat buat ayah dan bonda saya.

Seperti yang saya kata dalam entri 'tenanglah hati', dalam kerinduan yang betul-betul mengasak jiwa, bilamana terbit kata-kata dari ayah atau bonda seperti ini amat menggugat jiwa. Sayu itu pasti ada, mungkin orang lain tidak dapat merasai kesayuan ini.

Saya tidak mahu beranggapan buruk dan negatif dari kata-kata ayah, saya akan terus berdoa, ayah dan bonda selamat, dipanjangkan usia, dikurniakan haji mabrur. Doa saya tiada tepi dan hujung, Ya Allah..lindungi ayah dan bonda dari segala musibah, kurniakan mereka haji yang mabrur, pertemukanlah kami semula.

Buat insan-insan yang telah memberi keegoan dan kekacauan di sanubari ayah, doa yang terbaik ayah saya laungkan di Masjid Haram untuk kalian semua, bukan doa untuk kekusutan tetapi doa agar kalian meraih kebahagiaan dunia dan akhirat.

Pa, saya bangga. Anakmu ini bangga menjadi darah dagingmu. Walau bukan harta dan kemewahan yang dipersembahkan kepada anak-anak, didikan agama dan kesederhanaan ini yang selalu membuat hati ini akur, betapa nikmat kasih sayang dan didikan itu lebih berharga daripada harta yang tiada erti pada akhirat sana.

Saya merindui ayah dan bonda saya. Rindu dari segenap jiwa. Saya sentiasa mengirimkan rasa rindu saya ini melalui solat agar doa saya sampai kepada mereka. Doa mengharapkan segalanya baik dan selamat.

Buat ayah dan bonda, sujud dan pengharapan saya pada Allah selama ini sebagai tanda kasih dan sayang saya yang tidak terhingga pada kalian. Selamat menjalani ibadah ini dengan penuh tawadhuk. InsyaAllah, kita akan bertemu lagi.

Saya mohon kepada semua sahabat dan sahabiah saya yang berhati mulia, bantu saya dengan segala doa untuk ayah bonda dan semua jemaah haji kita agar selamat. Semua doa khair yang terucap dari kalian untuk ayah dan bonda saya, saya pohonkan kembali kepada Allah, bahagiakan dan muliakan hidup sahabat-sahabat semua. Syukran.

15 November, 2009

Antara Harta, Pangkat Dan Kebahagiaan


Sudah bertahun lamanya sejak saya menginjak usia dewasa, memikirkan apakah sebenarnya hakikat kekayaan, pangkat dan darjat? dan apa pula hakikat kemiskinan? hidup di atas muka bumi ini, penuh rencam. Inilah hakikat sebuah kehidupan.

Para hukama' menyimpulkan, orang kaya ialah yang sedikit keperluannya, manakala orang miskin ialah orang yang banyak keperluannya.

Jadi, hemat saya, turun naik kekayaan dan kemiskinan ialah hajat dan keperluan, siapa yang paling sedikit keperluannya itulah orang yang paling kaya. Yang paling kaya dan Maha Kaya hanya satu iaitu Allah Swt sahaja. Dia tidak berkehendak keperluan atau hajat sedangkan jutawan ramai yang miskin.

Saya memerhatikan zaman kini, 'standard life style' dalam kehidupan menjadi perkara utama. Mementingkan kemewahan, takut dipandang rendah jika tidak mewah. Takut dikata hidup kuno dan ketinggalan zaman.

Jika buat keramaian di banglo atau kondo mewah atau di mana saja, jemputan wajib dikalangan orang-orang berpangkat dan ternama sahaja. Rosak majlisnya jika yang hadir itu, golongan yang bergaji rendah, keluarga yang kolot dan kampungan.

Lebih bahagia hidup didampingi kerabat ternama daripada mendampingi ibu ayah yang kulitnya sudah berkedut, terlantar dan miskin. Ada di antara kita ini, mula lupa pada ibu dan ayah bila sudah menjadi orang berpangkat tinggi.

Sungguh malang dan celaka anak yang melupai dan membelakangi ibu dan ayah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barangsiapa yang mencari dunia yang halal dengan tujuan dia tidak meminta, mengasihi tetangga dan memenuhi kewajipan pada keluarga terutama ibu dan ayah, nescaya pada hari kiamat dia akan muncul dengan wajah berseri."

Bagi orang kaya yang lupa pada akhirat, ada dua bahaya yang mengancamnya. Pertama, penyakit bakhil dan kedua penyakit sombong dan takbur. Dia lupa bahawa harta yang dimiliknya itu hanyalah pinjaman semata-mata.

Satu lagi di antara kemiskinannya ialah dia takut akan mati, dia berusaha untuk menangkis kematian sehingga banyak kos yang digunakan untuk menangkis kematian itu. Sebab itulah orang yang kaya adalah orang yang paling miskin secara hakiki.

Tiada apa yang berbeza di antara orang yang berharta dengan yang miskin. Orang berharta tidak dapat menahan sakit atau kematian, begitu juga dengan orang miskin. Orang berharta akan berhenti makan bila sudah kenyang, begitulah juga orang miskin, bila kenyang sendirinya akan berhenti.

Di antara hikmat dan nikmat kerapkali sejarah menyatakan bahawa orang yang masyhur dan mendapat kedudukan mulia di tengah masyarakat, muncul dari kalangan orang fakir miskin dan melarat. Seperti junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, lahir dan besarnya dalam keadaan penuh liku dan kesusahan.

Jarang orang kaya muncul sebagai orang teragung kerana mereka tidak pernah kenal erti susah dan kepayahan. Ironinya, bukan harta sedikit membawa susah, bukan harta banyak membawa gembira, asas gembira dan susah ialah jiwa yang resah dan gelisah atau jiwa yang tenang dan damai dapat hidup di dunia ini.

Kemajuan telah kita capai, teori baru telah mengalahkan teori lama, kepercayaan kolot telah dibasmi oleh kepercayaan moden, agama tahyul telah digantikan dengan agama tauhid, tetapi kuasa harta yang muncul sejak manusia tercipta tidak pernah berkurang malah bertambah besar.

Saya berdoa, andaikata satu hari kita diberi peluang punya banyak harta, mohon agar kita bukan dari kalangan 'orang kaya yang miskin'.

Insan Yang Diperkenan Dan Ditolak Doanya


Sahabat yang dikasihi, entri kali ini sekadar ingin berkongsi agar lebih padu pengetahuan rohani kita bersama. Doa adalah senjata utama umat islam, sesiapa yang tidak berdoa, maka dia adalah makhluk Allah yang takbur dan bongkak.

Pertama sekali saya ingin berkongsi tentang siapakah dia golongan yang doanya diperkenan oleh Allah.

1) Orang yang soleh

Orang yang sentiasa berbuat baik dan meninggalkan maksiat sudah tentu doanya dikabulkan oleh Allah kerana dosanya tidak banyak. Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Doa orang yang soleh atau solehah tidak ditolak oleh Allah".

2) Orang tua yang sentiasa berbuat baik

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Tabrani yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah merasa malu kepada orang islam yang telah beruban, apabila dia benar-benar mengikuti sunnah Rasulullah, kemudian dia meminta sesuatu kepada Allah, tentu permintaannya akan ditunaikan".

3) Orang yang dizalimi

Orang yang dizalimi iaitu orang yang sedang teraniaya oleh pihak-pihak lain. Orang demikian doanya akan dikabulkan oleh Allah. Banyak keterangan yang menjelaskan tentang hal ini. Air mata orang yang teraniaya akan dijadikan oleh Allah sebagai banjir yang dapat membahayakan dan meruntuhkan keagungan maruah orang yang menganiayanya.

Bilamana Muaz bin Jabal hendak berangkat ke Yaman untuk berdakwah, Rasulullah berpesan maksudnya: "Takutlah kamu akan doa orang yang teraniaya, kerana sesungguhnya tiada dinding pemisah antara doa orang teraniaya dengan Allah"~ Hadis Riwayat Bukhari.

4) Orang yang sedang melaksanakan ibadah Haji

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang-orang yang sedang mengerjakan umrah dan haji adalah utusan Allah, seandainya mereka memohon, akan diperkenankan dan seandainya mereka meminta ampun, mereka akan diampunkan"~Hadis Riwayat Ibnu Majah.

5) Orang yang sedang berperang di jalan Allah

Doa orang yang sedang dalam jihad di jalan Allah, akan dkabulkan.

6) Orang yang sakit

Sabda Rasulullah maksudnya: "Tidak tertolak doa orang yang sedang sakit sehingga dia sembuh"~Hadis Riwayat Baihaqi. Oleh kerana itu, kita digalakkan menziarahi orang yang sedang sakit dan mintalah agar mereka berdoa untuk kita disamping kita mendoakan kesembuhan untuknya.

7) Orang yang mendoakan saudaranya

Doa akan termakbul bagi orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya.

8) Orang yang berpuasa

Orang yang berpuasa dengan penuh keyakinan dan pengharapan doanya akan dikabulkan oleh Allah dan diampunkan dosanya.

9) Penghafaz Al-Quran

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi penghafaz-penghafaz Quran ada doa yang diperkenankan yang apabila didoakan dengan (sebab penghafaznya), maka diperkenankan."

Sudah tentu penghafaz yang dimaksudkan adalah para penghafaz yang memelihara hafalannya, bukan yang lupa setelah menghafaz.

10) Para Nabi

Para Nabi adalah manusia yang paling dekat dengan Allah dan doanya diperkenankan oleh Allah.

11) Ibu Bapa

Doa ibu bapa diperkenankan oleh Allah. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah maksudnya: "Doa ibu bapa untuk anaknya menembusi hijab". Sama ada doa ibu bapa itu baik atau kutukan untuk anaknya, semuanya diperkenan oleh Allah, kerana itu kita sebagai anak harus waspada dan janganlah mengundang kemarahan ibu bapa kerana setiap yang terlafaz dari mulutnya itu adalah doa yang pasti makbul.

12) Doa anak yang soleh untuk ibu bapanya.

Anak yang soleh dan solehah, bilamana dia berdoa maka akan diperkenan oleh Allah.

13) Doa orang yang sedang berpergian (musafir)

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "tiga permohonan yang diperkenan tanpa diragukan, pertama, doa ibu untuk anaknya, kedua, doa orang musafir dan ketiga doa orang teraniaya~Hadis Riwayat Tirmizi.

14) Penguasa yang adil

Maksud penguasa yang adil ini adalah para pemimpin atau pemerintah yang menjalankan tugasnya sesuai dengan ketentuan hukum-hukum islam dan tidak menolak hukum-hukum Allah, maka doanya akan diperkenan.

Itu antara senarai golongan dimana doanya diperkenan oleh Allah, keduanya saya ingin berkongsi tentang siapakah dia golongan yang ditolak doanya.

Allah berjanji bahawa setiap permohonan yang dipanjatkan kepadaNya akan diperkenan dan diberi salah satu dari tiga macam. Pertama, segera dipenuhi hajat permohonan berkenaan, kedua, dijadikan sebagai penebus dosanya dan ketiga, disimpan untuk dipetik di akhirat kelak.

Di samping itu, ada juga permohonan yang ditolak Allah kerana:

1) Menggunakan barang-barang yang haram

Orang yang menggunakan barang-barang yang haram untuk keperluan hidup seperti pakaian dan makanan, maka doanya tidak akan diterima Allah.

2) Ingin segera dimakbulkan

Memohon kepada Allah tidak boleh minta disegerakan permohonannya (terburu-buru) seolah-olah Allah dipaksa untuk menurut kehendaknya.

3) Tidak yakin akan dimakbulkan

Seseorang yang memohon kepada Allah mestilah mempunyai anggapan yang baik bahawa doanya akan diterima. Bilamana keyakinan akan diperkenan doa itu tidak sepenuhnya, maka doanya tidak dikabulkan.

4) Memohon perkara yang batil

Doa yang bertujuan untuk merugikan pihak lain seperti memutuskan hubungan persaudaraan, menyingkirkan orang lain demi kepentingan sendiri dan perkara dosa lainnya tidak akan dikabulkan Allah.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi, seorang hakim pernah ditanya oleh orang ramai: "Mengapa kami berdoa tapi tidak juga diterima, padahal Allah telah berfirman yang maksudnya: Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan"

Hakim itu menjawab: "Kamu telah melakukan tujuh perkara yang menyebabkan doamu ditolak."

~Kamu telah membaca Al -Quran tetapi tidak memperhatikan perintah-perintah dan larangan yang ada di dalamnya.

~Kamu telah melakukan amal yang menyebabkan kemurkaan Allah dan tidak bertaubat serta tidak menyesali perbuatanmu.

~Kamu berkata kami hamba Allah tetapi tidak berlaku taat seperti taatnya seorang hamba kepada majikannya.

~Kamu mengaku umat Muhammad tetapi tidak melakukan sunnahnya.

~Kamu telah mengaku bahawa dunia ini tidak berharga di sisi Allah walau sesayap nyamuk, tetapi kamu merasa tenteram dan seronok di dalamnya.

~Kamu berkata bahawa dunia ini akan hilang, tetapi kamu berbuat seakan-akan ingin hidup selama-lamanya.

~Kamu mengakui bahawa akhirat itu lebih baik daripada dunia, tetapi kamu tidak bersungguh-sungguh mencari bekal untuk akhirat.

14 November, 2009

Solat Sebagai Kunci Kebahagiaan


Tulisan ini sebagai peringatan kepada diri saya dan sahabat semua. Islam mewajibkan solat lima waktu ke atas semua umatnya. Bila namanya wajib, jika tidak ditunaikan, maka dosa besar jawabnya.

Jika hendak hurai sejarah bagaimana solat boleh jadi lima waktu, pasti panjang sekali. Bagaimana Nabi terpaksa berulang kali membuat permohonan agar di kurangkan waktu solat yang sebelum ini beratus-ratus waktu.

Sehingga bilangan waktu solat itu tinggal lima waktu pun, Nabi masih meminta agar dikurangkan lagi, tetapi ditolak. Ini juga adalah salah satu tanda kasih sayang Nabi pada kita semua, kerana memahami kelemahan kita sebagai umat manusia sehingga rela memohon agar waktu solat dikurangkan.

Kini, solat lima waktu wajib ke atas kita umat islam. Maghrib, Isyak, Subuh, Zuhur dan Asar. Lima waktu sehari semalam. Semua kita wajib menunaikan ini, tidak kira siapa kita, datuk, datin, wakil rakyat, pegawai, usahawan, petani, peniaga, perdana menteri, sekiranya beragama islam, maka wajib ke atasnya.

Bilamana wajib, sesiapa yang tidak menunaikannya, maka secara batin hidupnya terasa tidak bahagia. Sebab apa? fitrah akal diri manusia ini, bila ada sesuatu yang belum selesai olehnya, dia pasti rasa gelisah dan gundah gulana.

Berjaya tinggi manapun, kaya banyak manapun jika solat kita abaikan, maka saya yakin, bahagia tidak bersama kita walaupun zahirnya nampak sempurna. Solat ini boleh menjaga tingkah kita, gerak geri kita dan menenangkan hati nurani kita.

Sejujurnya, saya ini selalu diuji dengan kesakitan, jadi boleh dikatakan saya selalu menunaikan solat bukan dalam keadaan yang sempurna. Pada mulanya, ada ralat di hati saya kerana pastinya saya mahu berdiri setegaknya menghadap Allah.

Tetapi, akhirnya saya rasa tenang kerana Allah itu lebih tahu. Oleh itu, kesempatan sewaktu sihat, boleh berdiri tegak menunaikan solat amatlah saya hargai.

Solat itu sentiasa buat hati kita tenang. Bila kita sudah tunaikan solat lima waktu, automatiknya hati kita bahagia dan tenang kerana kita sudah menunaikan perkara yang wajib di sisiNya.

Lumrahnya begitu, contohnya kita ini pelajar universiti, buat tugasan itu wajib kata pensyarah kerana akan menentukan lulus dan gagal kita sebagai penuntut. Jadi sesiapa yang tidak melunaskan tugasan wajib itu, maka dia akan gagal.

Adakah antara kita yang bahagia dan tenang dengan yang namanya kegagalan? begitulah juga dengan perkara solat lima waktu. Jika kita tidak menunaikannya, maka kita adalah umat islam yang gagal.

Seringkali saya dengar, "belum terbuka pintu hati nak solat" ataupun "belum tiba masanya dapat hidayah nak solat". Habis tu nak tunggu sampai kiamat tiba, baru nak solat? Alangkah lemahnya kita ini, sehingga solat hanya lima waktu pun susah untuk didirikan.

Tidak terbayang saya, bagaimana jika waktu solat ini bilangannya ratusan waktu. Mampukah kita tunaikan? lima waktu pun susah, apatah lagi ratus. Bersyukurlah pada Allah. Tunaikanlah hak Allah itu, kita sujud kepadanya dan berserah.

Kalau kiamat sudah tiba, segala pintu sudah tertutup. Pintu taubat apatah lagi. Sudah tertutup rapat serapatnya.

Saya insan lemah, maka itu saya sentiasa memohon agar Allah pelihara saya dan keluarga saya agar terus menjadi hamba yang terus mendirikan solat. Jauhi kami dari dugaan merbahaya dari makhluk syaitan.

Sedarilah oleh kita, solat adalah kunci yang sangat basic dalam meraih kebahagiaan hakiki.

Tenanglah Hati..


~Doalah, moga Allah izinkan kita bertemu lagi~Ini antara kata-kata yang terkandung dalam pesanan ayah saya baru-baru ini. Hati saya terus kata ~InsyaAllah, pasti kita bertemu lagi, pa..ma~

Dalam kerinduan yang mengasak, kadang hati tersentak bila ada bait-bait kata yang terbit seperti ini. Tetapi, insyaAllah pa, kita akan terus berdoa bersama.

Saya masih ingat kata-kata ayah saya di lapangan terbang sebelum masuk balai berlepas tempoh hari, ~khabarkan pada mereka, ayah tidak minta di hargai ataupun dihormati, tetapi cukup jika diri ayah tidak dibenci. Kamu semua anak-anak yang ayah sayang, jaga hubungan, eratkan hubungan sesama manusia dan Allah, jangan sesekali ikut amarah syaitan yang selalu menghancurkan kita~

Waktu itu, terbit seribu kekesalan di hati saya, kerana saya pasti, kekalutan yang berlaku sebelum keberangkatan ayah bonda masih menghantui ayah. Saya kesal bukan kerana apa, tetapi jelas kepergian ayah penuh dengan kesayuan. Kesayuan yang saya sendiri sukar jelaskan di sini. Jika saya tulis satu persatu pun, belum tentu ada yang memahami.

Ah..tapi saya harus teguhkan iman, tabah hadapi semua kerana saya tahu, jiwa ayah lebih lagi gejolaknya. Sukar saya perincikan, sukar juga untuk menghuraikan, bagaimana dan kenapa.. kerana tebalnya sayang saya pada ayah dan hormatnya saya pada mereka itu.

Jika harus dipilih siapa yang harus merasa sakit, saya rela menyerahkan diri saya untuk disakiti oleh sesiapa. Doa saya tiap hari, bahagiakan kedua mereka, ayah bonda saya. Jauhkan mereka dari segala kekusutan dan petaka.

Ingin saya tegaskan, saya menulis bukan semata membanggakan. Jauh sekali memegahkan seorang ayah, tetapi saya berhak membela hati yang tercalar duka berabad lamanya. Kami ini bukan siapa-siapa, bukan juga berniat apa-apa kerana tahu, kiamatlah penamat segala.

Saya tahu, ayah bukan insan sufi, apalagi sesempurna Ilahi, kerana itu kami sentiasa sujud memohon padaNya, dibatasi segala geri agar tidak menyakiti. kadang kata-kata dan tulisan dipersenda kerana kami ini tidak sehebat mana. Keluarga pun tidak sempurna. Tidak juga kaya, rumah sekadar papan, berdapur simen biasa. Tapi, bukan itu persoalan Ilahi, tetapi sujud dan kepatuhan pada Ilahi itu yang di cari.

Apalah yang hendak digusarkan, Allah ada memerhati segala langkah kita. Apapun rintangan dan dugaan, saya yakin segalanya terkandung seribu hikmah, juga janji demi darjat kita di sisiNya..kerana itu, hati saya tenang kini..apatah lagi bila terkenangkan ramainya taulan datang mendoakan sewaktu majlis doa selamat sebelum ayah bonda berangkat. Dan yang lebih mengharukan, titisan airmata saudara dan taulan sebagai tanda kasih abadi terhadap ayah dan bonda. Tenanglah hati kerana masih terlalu ramai yang menghargai.

Buat ayah bonda, tenanglah kalian, kecapilah nikmat tanah suci. Kami menanti saratnya kasih.

13 November, 2009

Manisnya Sakit


Sudah bertahun lamanya saya menghadapi masalah kesihatan. Tahap kesihatan yang tidak menentu membuatkan saya terpaksa mengurangkan aktiviti yang berat dan lasak.

Saya masih ingat sewaktu majlis pertunangan kakak kedua saya, semua orang sibuk membuat persiapan majlis, tiba-tiba riuh sebab saya pengsan. Kemudian, hari raya tahun 2008 kalau tidak silap, semua keluarga sibuk buat persiapan raya, pun riuh juga sebab saya tiba-tiba pitam.

Sebelum tu elok saja buat kuih raya dengan adik-adik. Entah macamana, naik ke ruang atas, saya jalan terhuyung-hayang macam orang baru minum montoku. Kemudian rebah dekat tepi meja makan, mujurlah kepala tidak terhantuk bucu meja yang tajam.

Kalau terkena, malang bertimpa-timpa. Apalagi, semua riuh terutama bonda. Saya tiba-tiba rasa nafas sempit, kepala saya panas. Memang ruang dapur waktu itu sangat panas, dengan ketuhar besar bonda yang entah berapa puluh jam sudah berfungsi mengeluarkan haba panas. Mungkin juga saya tidak tahan panas.

Di Mesir, tidak usahlah saya cerita berapa kali tersungkur menyembah bumi kinanah itu. Lain lagi menyembah lantai bilik. Nasiblah ramai kawan-kawan yang memahami situasi saya. Saya pun hairan sebenarnya, kenapa selalu rasa nafas sempit dan pendek.

Tapi, alhamdulillah sekarang sudah mengerti kenapa selalu rasa begitu. Sel darah merah di badan tidak dapat mengimbangi sel darah putih yang berlebihan, sebab tu selalu nampak bintang-bintang yang indah dan pengsan.

Sampai waktu ini pun, kecamuk sakit masih saya rasa. Dulu waktu zaman jahil, selalu mengeluh bila sakit datang. Semakin lama merasa sakit, kini saya mampu menukil kesakitan itu adalah kemanisan buat saya.

Saya bersyukur, walau sehebat mana rasa sakit ini, Allah masih kurniakan nafas yang indah buat saya. Kesakitan ini yang banyak mengajar saya. Usahlah di soalkan kenapa dan mengapa, kerana saya tahu, di luar sana masih ramai yang lebih menderita.

Saya percaya, setiap orang pernah merasa sakit. Walaupun sakit itu berbeza, ada yang demam, sakit kepala, selesema, batuk, barah, kanser, darah tinggi, kencing manis, dan sebagainya, tetapi yang pasti, hakikat yang dirasa adalah sakit.

Tidak kira sakit ringan mahupun berat, kita semua merasa sakit dan tidak selesa. Tetapi bila ditenung kata-kata 'sakit itu penawar segala dosa' dan 'sakit itu adalah tiket ke syurga', kadang-kadang hati berkata, 'kalau macamtu lah, sakit selamanya pun tidak apa'.

Tapi, berbaloikah keinginan untuk sakit seumur hidup demi menggapai syurga? Janganlah diminta sakit sengaja, masih banyak cara lain untuk mencari syurga. Kata-kata itu bagi saya, hanyalah sebagai penghibur kala kita merasa sakit terutama yang menghadapi sakit yang berat.

Ujian sakit itu wajib kita terima dengan lapang hati tanpa berburuk sangka pada Allah. Percayalah, pasti segala keperitan sakit yang kita rasa ada ganjaran bahagia yang menanti. Tidak di dunia, akhirat pastinya. InsyaAllah.

12 November, 2009

Syabab Musafir Kasih


Novel ini saya beli bulan oktober lalu, tapi selesai membacanya baru tadi. Selalu tidak punya banyak masa untuk menghabiskan bacaan. Walaupun agak kurang sihat, saya gagahkan membaca hingga ayat terakhir.

Novel berbentuk keagamaan hasil garapan sahabat seusia saya, Fatimah Syarha binti Mohammad Nordin ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Gaya bahasa yang ditampilkan cukup mudah difahami dan penuh dengan nilai-nilai kesantunan yang tinggi.

Saya tertarik dengan jalan cerita novel ini. Seorang Syabab merangkak keluar dari kehidupan yang malap dengan alur liku yang menyasak. Gigihnya memungkinkan segala jaya. Gerak langkahnya menggegar dunia.

Sememangnya, kita amat memerlukan lebih ramai Syabab yang lahir demi sebuah perjuangan abadi. Sebuah kisah keperitan dan kesengsaraan yang akhirnya berbuah kemanisan.

Dapatkan novel ini di pasaran. Jika ingin pinjam dari saya juga boleh. Saya mengalukan.

11 November, 2009

Kuatkan Semangat


Di atas ni gambar kakak dan adik saya. Kenapa gambar mereka sahaja? Sebab ada prioriti dan keutamaan. Di sebelah kiri itu kakak sulung saya, Nur El Hafizah binti Hj Numan. Di sebelah kanan itu pula adik pertama saya, Elferanah binti Hj Numan.

Pertamanya, kakak sulung saya waktu ini mengambil alih tugas ayah bonda saya dalam mengurus dan menjaga keluarga. Semua urusan dan tanggungjawab keluarga terpikul di bahunya. Menjaga adik-adik terutamanya.

Saya tahu, dia mampu memikul tugas itu. Saya juga tahu, waktu ini dia sangat rindu pada ayah bonda di samping risau memikirkan adik-adik yang masih memerlukan perhatian.

Saya difahamkan sabtu ini adik saya, Nurul Hidayah ada acara bersama ibu bapa. Memandangkan ayah bonda kini berada jauh di Makkah, kakak saya merasa terpanggil untuk memenuhi acara itu demi adik yang akan menduduki peperiksaan Spm.

Saya amat menghargai tanggungjawab dan peranan yang ditunjukkan olehnya. Harapan saya, semoga kakak saya diberi seteguh kekuatan untuk menjaga keluarga. Jangan khuatir, kami akan membantu. Kuatkan semangatmu kakak!

Keduanya, adik saya Elferanah yang kini sedang menghadapi peperiksaan besar. Saya baru terbaca entrinya, ada nada sayu di situ. Saya memahami kecamukan yang dimaksudkannya dalam entri itu. Bangkitlah adikku, tidak usah merasa sedih dengan kertas yang sudah lalu.

Peperiksaan belum berakhir. Melangkahlah untuk mencipta yang terbaik. Jangan dikesali yang sudah berlalu, tumpukan pada yang akan datang. Semua keluarga tahu kemampuan dan kepintaranmu.

Serlahkan kehebatanmu adikku. Keluarga tahu dirimu bisa melakukan yang terbaik. Kuatkan semangatmu adik!

Salam sayang berpanjangan dari saya.

Gelaran Itu


Petang semalam, kawan baik saya telefon. Sudah agak lama juga tidak berbual dengannya. Disebabkan faktor jarak dan masing-masing sudah ada komitmen hidup. Apapun, saya gembira bila dia menghubungi saya.

Masing-masing bertanyakan khabar diri. Banyak yang kami bualkan. kebanyakannya berkisar soal agama. Saya masih ingat dulu, dia selalu bertanya permasalahan agama dengan saya. Biasalah, dulu masing-masing masih belajar. Bila dia tanya, saya selalu jawab tidak tahu atau kurang pasti.

Dia selalu marah bila saya jawab begitu. Dia kata saya kedekut ilmu. Macamana jawab kalau saya memang tidak tahu? Bila ingat balik waktu masih di alam persekolahan, pasti saya menguntum senyum. Indah rupanya saat-saat itu. Apalagi bila teringat kawan saya ni.

Semalam rindu saya terlerai sedikit menerima panggilan darinya, seperti biasa dia banyak bertanya kemusykilan yang bersarang di hati. Katanya "orang kampung aku ni bah, selalu tanya soalan yang hebat-hebat, mati aku menjawab".

Biasalah orang kampung, bila tahu kita belajar agama sikit, pasti banyak persoalan ditanya. Bagi saya, lebih baik kita jawab semampu ilmu yang kita ada. Jangan pula mengada-ngada. Tunjuk pandai, nanti susah. Hukum Allah bukan boleh buat barang permainan. Jika mampu jawab, terangkan dengan hikmah, jika tidak mampu, serahkan pada yang lebih arif.

Saya pun masih terlalu banyak kelemahan, masih terpaksa banyak menyelak kitab. Hidup kita ini, kena tuntut ilmu walau sampai ke negeri China.

Menurut kawan saya, ada seorang pakcik di kampungnya bertanya tiga soalan kepadanya. Soalan pertama, kenapa orang islam tidak boleh makan daging babi dan minum arak? soalan kedua, kenapa lelaki muslim tidak boleh pakai emas dan sutera? dan soalan ketiga tentang ayat quran yang terdapat di dalam Al Quran yang bermaksud, 'dan kemudian Allah bersemayam di atas Arash'. Soalannya, adakah benar Allah itu berada di atas Arash?

Kata kawan saya, dia bingung cari jawapan. Ada juga dia jawab tapi pakcik tu nampak seperti kurang yakin dengan jawapan kawan saya itu. Kata kawan saya lagi, biasanya kalau kita jawab, orang akan angguk-angguk kepala tanda yakin, tapi pakcik ni tidak angguk pun!

Katanya dia gelisah. Dek kerana dia seorang ustazah sekolah rendah, dia dihujani dengan pelbagai persoalan agama yang katanya kadang-kadang mencabar kemampuan dia untuk menjawab. Kemudian kawan saya itu bertanya dengan ustaz di sekolah tempat dia bertugas, kata ustaz itu "ala, aku pun kurang pandai jawab soalan macam ni, kalau tanya berapa rukun islam bolehlah".

Kawan saya mahu saya bagi jawapan pada tiga persoalan itu. Katanya "lulusan Azhar gerenti boleh jawab". Saya sebenarnya kurang selesa jika orang selalu menilai saya melalui itu.

Rasanya tidak adil ungkapan itu pada diri saya kerana jika itulah penilaian orang terhadap gelaran lulusan Azhar, maka bilamana tidak mampu menjawab sebarang kemusykilan agama, saya pasti ini yang bakal dituturkan "nama saja lulusan Azhar, soalan macam tu pun tidak boleh jawab". Bukankah logiknya begitu jika di tenung dari ungkapan kawan saya itu tadi?

Kita semua ini sama di mata Allah, akhirat sana tidak memandang apakah kita lulusan Azhar mahupun tidak. Yang pasti, setiap orang islam dituntut menimba ilmu hingga akhir hayat. Saya rasa perlu untuk mengubah persepsi umum tentang semua graduan Al Azhar.

Mereka juga manusia biasa yang penuh dengan kelemahan. Berjaya grad di Al Azhar tidak bermakna jadi sempurna, kalah wali Allah. Tidak.

Tetapi, sebagai graduan Azhar, sewajarnya memang mampu dari segi agama kerana universiti itu adalah tempat lahirnya cendikiawan islam. Maka, sudah sepatutnya kita menjaga imej Azhar itu sendiri.

Berusaha memperbaiki kelemahan diri, tetapi jika memangnya tidak mampu, janganlah dicemuh hanya kerana mereka lulusan Azhar.

Berbalik pada tiga soalan pakcik itu tadi, saya berusaha semampu saya, jika salah dan kurang tepat, saya syorkan bertanya kepada yang lebih tahu kerana saya maklum, diri ini bukan ahli sufi.

Saya jawab soalan pertama dan kedua kerana konsepnya hampir sama. Kenapa orang islam tidak boleh makan babi, minum arak, dan lelaki islam tidak boleh pakai emas dan sutera?

Hidup kita ini sudah terlalu banyak rezeki dan kelonggaran yang Allah bagi. Allah kata, boleh makan ikan, daging ayam, lembu, kerbau, kambing, rusa, itik, TAPI HARAM makan daging BABI.

Kemudian Allah kata, boleh minum milo, nescafe, coca cola, sarsi, ribena, bandung, horlick, TAPI HARAM minum ARAK.

kemudian Allah kata kepada lelaki islam, boleh pakai semua jenis kain TAPI HARAM pakai SUTERA. Boleh pakai semua jenis cincin TAPI HARAM pakai cincin EMAS.

Kenapa mesti ada yang haram? adakah sebab benda-benda yang diharamkan itu bahaya kepada manusia? contohnya daging babi seperti yang kita tahu, para saintis mengatakan terdapat sejenis ulat di dalam daging babi itu yang memudaratkan tubuh manusia. Adakah kerana itu? negara kita sudah maju, ada teknologi tinggi untuk hapuskan ulat itu! habis tu, jika berjaya dihapuskan ulat itu, ADAKAH DAGING BABI AKAN HALAL?

Tidak. Larangan haram ke atas semua benda-benda itu bukan kerana ada marabahaya atau apapun. Tetapi Allah mahu lihat sejauh mana kita sebagai hamba Allah ini, MAMPU PATUH PADA LARANGANNYA. Itu sebenarnya.

Soalan ketiga berkaitan dengan ayat Quran yang bermaksud 'kemudian Allah bersemayam di atas arash. Adakah benar Allah berada di arash?

Ayat itu sebenarnya sebagai simbol kebesaran dan keagungan Allah SWT. Jika kita kata Allah ada kat arash, itu salah kerana Allah adalah zat yang tidak mengambil tempat. Bilamana mengambil tempat, maka dia berhajat kepada sesuatu, bila berhajat kepada sesuatu maka itu adalah sifat yang lemah. Jadi amat mustahil bagi sifat Allah.

Saya harap, sesiapa yang terbaca tulisan saya ini dan ada kekurangan serta kesilapan, mohon betulkan, kerana hidup kita di dunia ini akan lebih bermakna dan bahagia jika saling membantu dan membetulkan.

Buat kawan saya, saya amat menghargai ukhuwah kita. Ada kesempatan lain, kita bertemu muka, InsyaAllah.

p/s: ada beberapa soalan di atas sebelumnya sahabat saya, ust Rahman yang kini berada di Mansoura pernah berkongsi tentang jawapannya, syukran awi di atas perkongsian itu.

10 November, 2009

Bahagia Milik Mereka



Saya rasa ini gambar ayah bonda yang terindah pernah saya miliki. Waktu ini, kerinduan saya dan adik beradik terhadap mereka sangat hebat. Airmata pun tidak dapat menjelaskan beban rindu itu.

Perkhabaran ayah dan bonda agak kurang sihat menambah lagi sayu di jiwa. Tetapi, saya tidak akan biarkan kesedihan dan kerinduan ini menjadi ruang kepada syaitan untuk lalai daripada terus mendoakan mereka.

Nurani saya amat yakin, ayah dan bonda dapat melalui beberapa kesukaran dalam meniti perjalanan ibadah ini. Saya yakin, ayah dan bonda memiliki jiwa kental dan jitu untuk terus sujud kepada Mu ya Rabb.

Saya berdoa, ayah dan bonda di beri kemudahan di dalam semua pergerakan. Allahu rabbi..saya memohon, panjangkan usia ayah bonda ku dan lindungi mereka agar bisa menggapai Mabrurnya haji.

Kakak dan adik saya menghantar pesanan ringkas menyatakan airmata mereka menitis lagi kerana sayu dan rindu yang menghimpit sanubari. Ayuhlah, kita perhebat doa untuk ayah bonda, moga mereka diberi kekuatan mental dan fizikal dalam menunaikan ibadah ini.

Yakinlah, ayah dan bonda akan sihat dan ceria secepatnya dan terus melalui hari-hari indah di tanah suci. Amin Ya Rabb..

Jangan Cabar


Jika kita hebat, ada lagi yang lebih hebat. Jika kita bijak, ada lagi yang lebih bijak. Jika kita kaya, ada lagi yang lebih kaya. Jika kita berkedudukan tinggi, ada lagi yang lebih tinggi. Jika kita berkuasa, ada lagi yang lebih berkuasa.

Kita seringkali lupa hakikat itu. Merasa diri sendiri yang paling hebat. Benar, hidup kita ini perlu maju ke hadapan, berusaha untuk meningkatkan prestasi diri dan ingin menjadi insan berjaya.

Siapa yang tidak mahu jadi orang senang? Memiliki segala yang diimpikan. Kejayaan, kesenangan, pangkat dan kemewahan. Wang ringgit sangat perlu dalam kehidupan kita. Tapi, disebabkan wang juga ramai manusia yang lupa diri.

Kita tidak dihalang untuk mencari dan mengumpul harta sebanyak mungkin. Selagi bernafas, kumpullah harta itu. Tapi, kalau orang macam saya ini, harta apalah yang hendak dikumpulkan sangat?

Kalau jadi orang ternama dan berpangkat, mungkinlah ada platform untuk meraih harta yang banyak. Saya melihat situasi politik negara kini sudah semakin jauh dari landasan. Ada yang lompat, ada yang terjun.

Saya bukan pemerhati politik ataupun penganalisis politik, cuma saya punya akal untuk menilai dan melihat. Hemat saya, apapun bentuk perjuangan, kita wajib meletakkan islam di atas. Menjunjung agama dan meyakini hukum dan ketetapan Allah.

Bila kita meletakkan sesuatu bukan kerana Allah, maka kita telah jauh dari landasan mukmin yang sebenar. Saya menulis ini bukanlah dengan niat saya ini terlalu sempurna, cuma sekadar menulis buah fikiran, mengatakan pandangan menurut akal fikir saya.

'Hidup ini satu perjuangan'. Saya sering mendengar ungkapan ini dan melihat tulisan sebegini dan kadangkala saya juga menulis ayat ini. Benar, hidup ini adalah perjuangan. Tetapi perjuangan yang macamana hidup kita ini?

Adakah berjuang untuk mencari wang ringgit sehingga kita menjadi hartawan? atau adakah kita berjuang untuk bangsa dan negara? ataupun berjuang untuk agama? apakah benar kita ini berjuang untuk islam?

Berjuang menimba ilmu lalu ilmu itu disebarkan kepada orang lain. Berjuang mendidik keluarga dan orang lain tentang islam. Tetapi hakikat perjuangan menyebarkan ilmu dan kebaikan itu tidak seindah pelangi.

Hakikat jalan dakwah tidak dibentang permaidani mahupun karpet merah. Ianya penuh liku, apatah lagi dakwah pada darah daging sendiri. Terkadang kita yang merasa sakit.

Hakikat perjuangan politik? kemana arah kita? pastinya berjuang untuk rakyat. Berbahagialah para pemimpin yang berjuang demi rakyat tanpa sekalipun menafikan Allah sebagai zat yang maha agung.

Malanglah bagi mereka yang kononnya berjuang untuk rakyat tetapi sebenarnya berjuang untuk kepentingan diri. Tidak meletakkan Allah sebagai pemilik kuasa yang mutlak bermakna kita MENCABAR KERAJAAN ALLAH SUBHANAHU WATAA'LA.

Ingatlah, jangan cabar empayar Allah.