24 November, 2012

Topup rohani

Santapan rohani pagi.

Akhir-akhir ini saya menghadapi kecelaruan emosi. Suami saya tidak lama lagi akan berangkat semula ke Mesir meneruskan agenda pencarian ilmu. Tipu kalau saya kata tidak sedih bila memikirkan akan berjauhan lagi, tetapi saya akan sentiasa meredhai dia kerana itu adalah satu tuntutan di sisi agama.

Saya berfikir, adakah aku ini bersedih-sedihan, emosi turun naik hanya dsebabkan suami akan berangkat demi sebuah ilmu?

Celaru. Saya bermunajat hina di hadapan Allah. Kotak fikir saya ligat berpusing mencari punca. Kemudian terbentang jelas di gambaran mata saya segala penderitaan rakyat di bumi Gaza, Syria, serta Rohingya.

Akhirnya saya tahu punca kecelaruan ini. Rohani saya tidak merasai fana' dunia sepertimana rakyat di Gaza. Fana' dunia ini bermakna, dunia ini tidak memberi erti apa-apa. Rohani saya biasa-biasa saja. Kenapa biasa saja? kerana saya tidak dibentangkan dengan peperangan di depan mata, saya hidup penuh nikmat, bila lapar, saya boleh makan apa sahaja, bila mengantuk saya boleh tidur bila-bila masa sahaja. Tidur pula beralaskan empuknya tilam dan bantal.

Saya monolog lagi di hati. Kenapa? adakah aku ini inginkan negara yang berperang?? tumpah darah terkorban nyawa? adakah aku tidak bersyukur Malaysia yang ada sekarang?

Bukan. Bukan itu maksud hati saya. Lama saya terdiam. Foto-foto bumi Gaza yang dibom, bayi dibunuh, ibu dikelar, semuanya saya tatap satu persatu. Saya doa dalam hati, Ya Allah, tunjukkan aku apa yang aku tidak sedari, tunjukkan aku apa yang aku tidak ketahui, pimpin aku ke jalan yang benar kepada Islam.

Akhirnya pagi ini suami sudi mengisi rohani saya dengan tazkirah yang lembut namun cukup terkesan di hati. Saya sudah rasa tenang dan lega.

"beruntunglah Gaza dan Syria, Allah dah sediakan istana untuk mereka di Syurga. Mereka tersiksa di dunia, tapi tidak di akhirat. Syahid ni, hanya orang terpilih je Allah bagi. Sesiapa yang dapat syahid, dia tak akan dihisab dah, automatik terus masuk syurga.

Umpamanya kalau lalu tol, kita-kita semua ni beratur nak lalu tol, orang yang mati syahid, ada jalan istimewa tak payah beratur tunggu. Terus jalan je masuk istana yang Allah dah sedia. Betapa tinggi dan indah anugerah Allah untuk orang-orang yang dikurniakan syahid ni.

Zaman nabi dulu, sahabat-sahabat yang kaya, bila dapat harta, mereka akan secepatnya melepaskan harta tu dari diri mereka dengan melakukan infaq kepada fakir miskin kerana orang kayalah paling banyak lalu checkpoint kat mahsyar nanti sebab Allah nak hisab satu persatu harta tu semua belanjakan kat mana.

Sayang, kalau satu hari Allah uji kita dengan banyak harta, doa selalu moga kita berdua jadi manusia yang sentiasa mahu berinfaq di jalan Allah.

Sepuluh ringgit kita bagi ikhlas kat peminta sedekah, sepuluh ringgit itulah milik kita di akhirat nanti. Satu ribu kita bagi ikhlas kat keluarga kita yang susah, satu ribu itulah harta kita di akhirat, sepuluh ribu kita bagi ibu bapa atau orang miskin untuk tujuan membantu mereka, sepuluh ribu itulah harta abadi kita di akhirat.

Ingat selalu, apa-apa sahaja yang kita bagi ikhlas kat orang, itu semua akan menjadi milik kita di akhirat. Abang nak kita dua ingat selalu PERBANKAN AKHIRAT ini. "

Saya bersyukur, masih ada sisa nafas untuk terus menghayati betapa indahnya ISLAM. Mari wahai sahabat semua, beringatlah. Gaza tersiksa di dunia, tetapi hamparan mahligai menanti mereka semua di akhirat. Kita pula hidup penuh nikmat, bercampur baur dengan hiburan melalaikan, lagha yang tidak sudah-sudah, serta maksiat di sana-sini. MAKA di akhirat kita tidak akan bersama Gaza meniti mahligai indah, tetapi kita kena beratur untuk dihisab, adakah SYURGA atau NERAKA!

Mari sama-sama hayati hidup kita di tahap mana, iman kita bagaimana, semoga di akhirat kelak kita umat yang tidak rugi.

Terima kasih suami yang sentiasa ajar saya.

ALLAHUMMANSUR IKHWANANA FI FALASTIN!
ALLAHUMMANSUR IKHWANANA FI FALASTIN!
ALLAHUMMANSUR IKHWANANA FI FALASTIN!