Bismillahirrahmanirahim..
Hakikat hidup ini adalah ranjau. Ranjau inilah yang menjadikan hidup kita sebagai satu perjuangan. Dari dulu saya adalah orang yang sangat tidak ingin dan tidak suka meletakkan sesuatu perkara terlalu tinggi kerana saya tahu, bila terjatuh, sakit dan pedihnya terasa hingga ke tulang belulang.
Saya letih berhadapan dengan manusia yang selalu bermain dan berkira soal darjat, pangkat dan kedudukan ilmu. Kita dinilai dengan ijazah dan kelulusan yang ada. Saya mengerti, sudah sememangnya begitu LUMRAHnya dan begitu SEPATUTnya, bagi yang memiliki kekuatan, itu sudah seWAJARnya berdiri di landasan itu.
Bagaimana dengan yang merasa tidak mampu? dan saya sangat mengakui diri saya belum mampu. Bergelar mujahidah tidak semudah yang anda sangka. Menjadi mujahidah pada diri, keluarga dan masyarakat itu bukan dengan hanya kau mampu membaca Quran, solat dan puasa. Mungkin dengan kata-kata saya ini, maka terbit pula "lebih baik ada usaha untuk berdakwah daripada langsung tiada". Memang betul, dan saya rasa saya sudah melakukan itu untuk diri saya sendiri.
Terus terang saya bukan seorang yang sepatutnya SAYA. Saya tidak kata saya gagal, cuma setakat ini saya belum MAMPU. 'belum mampu' yang saya ungkapkan ini mungkin tidak dapat memberi kefahaman kepada sesiapa sehingga ada yang mengatakan saya ini menjalani hidup bukan sebagai seorang muslimah yang baik, apatah lagi ianya keluar dari mulut mereka yang sangat saya kasihi.
Itu benar, saya mengakui segalanya itu kerana saya memang tahu betapa kurangnya saya ini. Saya pernah cuba untuk terbang setinggi mungkin dan cuba memimpin, namun semuanya sia-sia sedari diri masih terlalu kurang, akhirnya manusia mengkritik tanpa belas kasihan.
Kerana itu, saya takut untuk terbang tinggi melangit, kala diri masih serendah karang di dasar lautan. Lebih baik menjadi biasa, daripada biasa-biasa dan luar biasa, kerana luar biasa itu sukar, dan biasa-biasa itu bahaya.
Izinkan saya menjadi diri saya seadanya, izinkan saya memandang dunia melalui pandangan mata hina saya, dan berilah ruang dan masa pada saya untuk menjadi seorang yang lebih tabah bertahan pada kaki sendiri dan menyulam setiap kesakitan ini menjadi sebuah permaidani indah di hamparan sebuah kehidupan.
TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM. MINAL A'IDIL WAL FAI'ZIN, KULLU AM WA ANTUM TOYYIBUN. MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI INTAN FARHANA BT NUMAN@ DEENA FARHANA.