31 January, 2011

Tolong ingatkan Najib


Bismillahirrahmanirrahim..

Lama terbiar blog ni, maafkan saya kerana beberapa minggu sebelum ini terlalu sibuk dan saya baru sahaja selesai melapor diri sebagai guru KPLI j-qaf di Institut Perguruan Guru Kampus Kent, Sabah.

Mengikuti sesi orentasi dan minggu pengurusan pelajar baru yang sangat memenatkan. 2 hari qodho' tidur yang tak cukup semasa minggu orentasi. Badan semua rasa sakit. Letih tak terkira. Orang lain rilek je, saya ni macam nak pengsan dah. Namanya pun orentasi, minggu menguji ketahanan diri. Memang sah la saya paling lembik antara semua. huhu..

Selesai sahaja minggu orentasi, kami dibenarkan pulang bercuti seminggu sempena tahun baru cina. Saya mendapat perkhabaran bahawa Mesir kini sedang bergolak. Presiden Husni Mubarak sedang menghadapi gelombang kebangkitan rakyat Mesir yang semakin menggila.

Saya cuba menghubungi sahabat baik saya di Mesir, dan ternyata keadaan di sana amat membimbangkan. Rusuhan besar-besaran berlaku di beberapa bandar utama seperti Kaherah, Dumyat, Tanta, Iskandariah, dan tempat saya belajar dahulu semasa di Mesir iaitu Mansoura.

Semakin ramai yang melaungkan protes terhadap pemimpin mereka, pistol-pistol kini sudah kelihatan. Ramai yang sudah terkorban dan cedera akibat rusuhan yang tidak terkawal. Perintah berkurung sudah dilaksanakan di beberapa tempat yang darurat termasuklah Mansoura.

Mereka-mereka di Malaysia yang mempunyai anak dan saudara mara yang kini sedang berada di Mesir, sudah pasti teramat bimbang dan risau mengenai keselamatan mereka di Mesir.

Saya mohon, tindakan drastik patut diambil kerajaan Malaysia sebagai langkah menyelamatkan pelajar-pelajar kita di sana sebelum berlaku sesuatu yang buruk. Saya pernah mengalami suasana rusuhan di Kaherah satu masa dulu, dan pengalaman itu sangat membuatkan saya juga teramat risau tentang keselamatan sahabat-sahabat saya yang kini masih berada di bumi Mesir.

Mari kita sama-sama doakan agar Mesir beroleh satu jalan penyelesaian dan kembali tenang dan seterusnya dapat menyelamatkan puluhan ribu nyawa termasuklah pelajar-pelajar Malaysia yang sedang bernafas di bumi anbia' itu.

Saya amat berharap, kerajaan Malaysia peka dengan situasi ini dan mengambil langkah terbaik untuk pelajar-pelajar kita di sana.

Terima kasih Perdana Menteri.

18 January, 2011

Dunia sudah senja




Bismillahirrahmanirrahim..

Ini adalah sangat DURJANA!

Kawan saya Lokman yang share video ni dengan saya. Tak tau macamana saya nak luahkan betapa sedih hati saya tengok video ni. Menurut sumber berita, bayi ni telah diculik dari sepasang suami isteri warga mexico yang sedang leka membeli belah. Dalam masa 45 minit, bayi ini dijumpai sudah mati dan semua organ dalam perut sudah tiada dan bayi itu digunakan untuk menyeludup dadah jenis kokain!

Ini bayi lelaki, entah macamana lah bayi tu dibunuh, saya terbayang orang kejam ni tekup mulut dia sampai mati. Ya Allah..sama ada kita sedar atau tidak, dunia sebentar lagi akan berlabuh ke pengakhiran.

Saya tiada anak, hanya ada sepasang anak buah, lelaki dan perempuan. Tetapi sudah cukup membuat saya terlalu risau tentang keselamatan mereka.

Orang yang berhati kejam seperti ini tidak mengenal erti kasihan. Saya mengutuk habis-habisan perbuatan iblis ini dan saya berdoa moga kejadian ini tidak berlaku pada kita semua. Mohon pada semua ibu dan ayah, perhatikan dan jaga anak anda dengan baik, jangan sudah terhantuk baru sebok nak terngadah. Apalah dosa si bayi sehingga diperlakukan seperti itu. Saya menangis tengok video ini :(

Kesayangan saya kata: "Mahal ye harga dadah, sampai tak nampak nyawa seorang bayi"

:(

16 January, 2011

Emneya (part 6)


"kriiinggg" bunyi telefon di ruang tamu berdering. Mek Jah berlari-lari anak mendapatkan telefon dan menjawab panggilan itu.

"Ini rumah Tuan Hanief?" tanya suara di talian.

"ya betul, ada apa encik?" jawab Mek Jah dan menyoal kembali.

"Ini panggilan dari pihak polis ingin maklumkan Syed Erman sekarang ada di Hospital Seri Kencana" jawab pegawai polis itu.

"ya Allah! kenapa dengan Erman?" Mek Jah terperanjat dengan berita itu. Setahu dia, Erman sihat-sihat sahaja.
Justify Full
"kami temui dia pengsan dalam kereta di tepi jalan pagi tadi" terang pegawai polis itu lagi.

"baik, baik, terima kasih banyak encik" kata Mek Jah.

"sama-sama" talian dimatikan. Mek Jah meletakkan gagang telefon dan segera ke tingkat atas untuk mendapatkan majikannya. Namun dia tiba-tiba berpatah balik dan menuju ke ruang belakang untuk memberitahu Emneya terlebih dahulu, namun dia dapati Emneya masih tidur, tak sampai hati nak kejutkan. Ah, nanti sajalah bagitahu neya....getus hati Mek Jah.

Dia menyusun langkah untuk ke ruang atas, tetapi Syarifah Nur Zalia sudah tercongok di ruang tamu sambil mimik muka kehairanan melihat Mek Jah yang sedikit gelabah.

"Mek Jah kenapa?" tanya Syarifah Nur Zalia serius.

"Erman puan, polis jumpa dia pengsan tepi jalan, sekarang ada kat Seri Kencana" jawab Mek Jah.

"what???!! oh my god! Erman!!" Syarifah Nur Zalia panik dan segera berlari ke atas mendapatkan suaminya.

Di hospital Seri Kencana, Syarifah Nur Zalia teresak-esak di tepi Erman yang belum sedar. Ayah Erman, Syed Hanief sedang bercakap dengan doktor yang merawat Erman.

"melalui scan yang dibuat, kami dapati kedua-dua buah pinggang anak tuan telah rosak dan perlu segera mendapatkan buah pinggang yang baru sekurang-kurangnya satu untuk pastikan sistem badan anak tuan tidak terjejas" Doktor Zaki memberi penerangan.

"kita perlu dapatkan penderma buah pinggang dengan segera" tambah Doktor Zaki lagi.

"buatlah apa saja, saya akan bayar semuanya" kata Syed Hanief dengan wajah sugul. Mereka sungguh tidak menyangka Erman menghadapi masalah kesihatan selama ini.

Emneya muncul di sebalik daun pintu bilik Erman yang terbuka. Dia yang begitu terperanjat mendengar perkhabaran tentang suaminya itu segera berlari mendapatkan Erman namun dihalang keras oleh Syarifah Nur Zalia.

"kau jangan dekat dengan anak aku!! kau yang bawa sial! kau pembawa sial!! dasar manusia tak tau keturunan!! keluar dari sini!!" mata Syarifah Nur Zalia mencerlung. Hatinya sarat dengan kebencian terhadap Emneya.

"neya datang nak tengok abang Erman ma......." rayu Emneya.

"hei perempuan jalang!! berambus sebelum aku patah-patahkan tulang kau! pergi!!" amarah syaitan begitu ladat di hati. Baginya Emneya adalah racun dalam kehidupan Erman.

"ma....neya..."

"pergi kau sial!!!!" belum sempat Emneya meneruskan kata-kata, jerkahan mantap dari Syarifah Nur Zalia mematikan suara lembut Emneya.

"pegi lah balik, kamu tak payah datang sini" kata Syed Hanief yang nyata juga tidak selesa dengan kehadiran menantunya itu.

"neya nak tengok abang Erman..." Emneya merayu lagi. Airmatanya sudah lama berguguran. Namun, airmata itu tidak memberi apa-apa erti pada kedua mertuanya itu.

"baliklah, kamu jangan melawan kat sini" kata Syed Hanief penuh cuak. Dia seorang yang pendiam tetapi orangnya sangat agresif bila berkata-kata. Sikapnya itu sedikit sebanyak diwarisi oleh anak tunggalnya Erman.

Dengan berat hati Emneya melangkah keluar sambil anak matanya setia menatap sekujur tubuh suaminya di atas katil. Sayu di hati hanya Allah yang tahu. Dia sangat ingin membelai suaminya itu. Ingin sekali dia berkongsi rasa sakit yang sedang ditanggung Erman. Simpati dan rindu pada Erman bermaharajalela di sanubarinya. Airmata semakin deras.

**********************************

Sudah 3 hari Erman tidak sedarkan diri. Syarifah Nur Zalia teresak tidak henti di samping anak kesayangannya itu. Sedih hatinya melihat kondisi Erman yang semakin tidak bermaya. Begitu juga dengan Sarah, turut teresak sambil membelai rambut tunangnya itu.

"sayang...bangunlah...i miss you so much.." Sarah tersedu. Tidak tahu sama ada sedu tangis itu ikhlas ataupun hanya lakonan di hadapan Syarifah Nur Zalia.

"man....mama ni sayang...janganlah macam ni...bangun sayang...mama ni" esak Syarifah Nur Zalia lebih hebat berbanding Ku Sarah Ellyna. Erman satu-satu anaknya di dunia ini. Dia tidak mahu kehilangan Erman. Dia mahu Erman sihat dan kembali seperti biasa.

"macamana dokter?" tanya Emneya penuh mengharap.

"mengikut pemeriksaan, buah pinggang puan sesuai untuk suami puan" jawab doktor Zaki.

"alhamdulillah.." Emneya mengucapkan syukur, akhirnya ada jalan untuk kesembuhan Erman.

"tapi saya bimbang dengan kesihatan puan sendiri, ini akan menambahkan lemah pada sistem pertahanan badan puan, risiko lumpuh amat besar, saya mahu puan fikirkan semula" kata doktor Zaki memberi saranan.

"saya dah buat keputusan, tolonglah selamatkan suami saya dokter" Emneya bersungguh sambil matanya berkaca. Impian hatinya untuk melihat Erman sembuh mengatasi segala-galanya.

"saya tekad akan lakukan ini untuk suami saya, cuma satu saya mohon, dokter tolong rahsiakan dari pengetahuan siapa-siapa..tolong dokter..." suara Emneya lirih. Nada hiba jelas kedengaran dari suara lembutnya itu.

"baiklah.." doktor Zaki menerima permintaan Emneya dengan berat hati.

"terima kasih dokter...terima kasih banyak-banyak" Emneya riang dalam derita hati.

"kuatkan hati abang...insya Allah abang sembuh.." getus hati Emneya dan airmata gugur lagi bersama segunung rasa kasih buat suami tercinta.

***************************************

Pembedahan dan proses pemindahan buah pinggang telah berjaya. Syed Hanief, Syarifah Nur Zalia dan Sarah adalah insan yang paling gembira di atas kejayaan pembedahan itu, namun insan yang lebih gembira dan tidak putus mengucapkan syukur dari kejauhan adalah Emneya, penderma buat Erman tanpa pengetahuan sesiapa melainkan doktor Zaki.

Setelah beberapa minggu selepas pembedahan, kini Erman semakin sihat dan dibenarkan pulang ke rumah. Syarifah Nur Zalia telah menyiapkan majlis makan malam istimewa sempena kesembuhan anak kesayangannya itu.

Emneya juga baru beberapa hari pulang ke rumah, dia memberi alasan pulang ke kampung halaman sepanjang dia berada di hospital selepas pembedahan itu, tiada siapa pun tahu tentang proses pembedahan itu termasuklah Mek Jah.

Kesihatan Emneya semakin merosot, namun keadaan itu masih mampu dia sembunyikan melalui senyumannya setiap hari. Dia masih terus gagah berdiri untuk menunaikan solat dan membantu Mek Jah melakukan kerja-kerja rumah.

Hatinya sangat gembira mendengar perkhabaran Erman akan pulang. Dia menadah tangan mengucapkan syukur tanpa henti ke hadrat Allah kerana telah mengabulkan doanya agar Allah sembuhkan suaminya itu. Dia tersenyum penuh syukur walaupun kesakitan menghimpit di setiap inci tubuhnya saat itu. Sifat redha yang dimiliki wanita bernama Emneya inilah sebagai kunci ketenangan dan kebahagiaan jiwanya dalam menghadapi ujian Allah ini.

Mercedes Kompressor c200 meluncur laju membelah kota metropolitan itu menuju istana mewah milik Syed Hanief. Setibanya di hadapan rumah, Erman disambut meriah oleh para tetamu jemputan yang terdiri dari lembaga pengarah Permata Holdings.

Manusia yang melonjak riang adalah Ku Sarah Ellyna. Di dakapnya tubuh Erman sebaik sahaja Erman melangkah masuk ke dalam rumah sambil diperhatikan oleh mata-mata tetamu yang ada. Erman hanya tersenyum, tidak juga girang membalas pelukan tunangnya itu.

Emneya keluar dari bilik dan segera mendapatkan Erman. Namun Syarifah Nur Zalia memberi isyarat kepada Emneya supaya tidak mendekati Erman. Tetapi Emneya tetap ingin menyalami suaminya itu.

"kau ni memang manusia tak faham bahasa! hah rasakan!!" Syarifah Nur Zalia menarik kasar tudung Emneya menyebabkan Emneya terhuyung-hayang di hadapan semua orang.

"ma..neya nak salam abang..." rintih Emneya sambil tudungnya masih ditarik oleh ibu mertuanya dengan kasar sekali.

"kau ni betina tak tahu malu!! jijik aku tengok kau ni!!" satu tamparan hinggap di pipi mulus Emneya. Mek Jah cuba membantu Emneya.

"Mek Jah jangan masuk campur! nak kena jugak orang tua ni!!" Syarifah Nur Zalia geram pada Mek Jah yang sentiasa ingin membela Emneya.

Satu cairan panas berwarna merah mula mengalir dari hidung Emneya. Beberapa orang tetamu yang ada saling berbisik-bisik melihat satu lagi adegan antara menantu dan mertua. Darah yang mengalir dari hidung Emneya sedikitpun tidak mengundang rasa simpati pada Syarifah Nur Zalia malah terus menerus mengasari tubuh kecil Emneya.

Erman sekali lagi hanya berdiam melihat isterinya diperlakukan seperti itu. Marah masih membengkak di hatinya kerana kejadian sebulan yang lalu. Syahriz juga tidak kelihatan di rumahnya waktu itu.

Mek Jah semakin panik melihat darah begitu banyak keluar dari hidung Emneya. Syarifah Nur Zalia pula bagai dirasuk iblis terus menggoncang tubuh Emneya.

"jangan puan! man!! tolong neya man!! neya isteri man!!" Mek Jah merayu-rayu memanggil Erman mengharapkan simpati dan bantuan dari Erman. Namun Erman tetap kaku berdiri seolah tiada perasaan.

Emneya sudah terduduk lemah. Wajahnya semakin pucat. Darah yang mengalir kini semakin membuak deras. Darah yang cuba ditekup dengan telapak tangan Emneya kini menitis ke lantai. Akhirnya kekasaran bertubi dari Syarifah Nur Zalia terhadap Emneya terhenti tiba-tiba kerana satu laungan suara dari arah pintu rumah.

"stop it auntie!" Syahriz dengan berani melangkah masuk ke dalam rumah. Lagaknya seperti pahlawan yang datang menyelamatkan kekasih hati. Namun, ini bukan filem yang dibintangi Shah Rukh Khan, tetapi ini realiti kehidupan yang sedang tertancap kejam di hadapan matanya. Dia mengenali Emneya dan meyakini Emneya adalah wanita yang baik, dan dia seharusnya tampil membantu insan malang bernama Emneya itu.

Suasana sepi. Syarifah Nur Zalia memandang tajam ke arah Syahriz, begitu juga dengan semua mata yang ada, seolah sedang menanti butir bicara hikmat dari syahriz yang baru tadi menghentikan sikap kasar Syarifah Nur Zalia terhadap Emneya.

"tahniah man, kau dah sembuh. tapi kau jangan lupa, ada orang yang membantu kesembuhan kau, dan kau mesti ingat, Allah masih bagi ruang untuk kau betulkan apa yang tak betul sekarang ni" Syahriz berbicara jelas. Erman diam, namun telinganya mendengar.

"itu isteri yang kau perjuangkan dulu, kau masih ingat kan? kau dah berjanji tak akan sia-siakan hidup dia, tolong ingat janji kau man" Syahriz memandang Erman sambil jari telunjuknya diarahkan kepada Emneya.

"Mek Jah bawa neya masuk bilik ye" kata Syahriz. Dia seperti menguasai keadaan. Semua mata tertumpu padanya waktu itu. Mek Jah memimpin Emneya sambil menangis teresak. Terlalu kasihan dia dengan Emneya.

"aku tak nak kau menyesal satu hari nanti man" itu kata-kata akhir Syahriz sebelum dia melangkah meninggalkan majlis itu. Semua terkedu. Beberapa tetamu nyata bersimpati dengan Emneya, namun hanya mampu berdiam diri.

Erman juga kelu. Rasa simpatinya terhadap Emneya muncul tiba-tiba. Sebenarnya dia rindukan Emneya. Terlalu rindu dengan telatah comel isterinya itu. Tetapi dia seringkali tewas dengan rasa ego yang bertakhta dihatinya.

Satu yang bermain di minda Erman saat itu, wajah pucat Emneya dan darah yang menitis dari hidungnya kini bermain hebat di ruang mata.

"neya kenape.....neya tak sihat ke.............." hatinya bertanya sendiri..rindu bertamu lagi bersama manik jernih yang jarang sekali terbit di kelopak matanya akhir-akhir ini..

*bersambung*

13 January, 2011

Tahniah mama :)



Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang maha memberi dan menyayangi. Saya bersyukur di atas kurniaan rezeki, ujian dan rahmat Allah yang tiada henti buat keluarga saya. Semua itu memberi tarbiyah yang sangat indah buat kami.

Proses mendidik anak-anak bukan suatu perkara mudah dan enteng. Segala badai dan cabaran ditempuh oleh mereka yang bergelar ibu dan bapa dalam memastikan anak-anak menjadi harta terbaik buat keluarga, bangsa dan agama.

Saya tidak meletakkan satu tahap yang begitu cemerlang buat kami adik-beradik, namun saya dengan rendah hati ingin meraikan penghargaan yang telah diberikan buat mama saya sempena sambutan Maal Hijrah pada hari ini.

Saya juga tahu, seorang ibu yang mendidik anak tidak pernah mengimpikan sebarang balasan atau penghargaan di atas jasanya yang besar, tetapi saya ingin katakan pada mama saya sama seperti adik saya nurul, "u deserve that award ma" :)



Mama saya telah di pilih sebagai penerima Anugerah Saidatina Khadijah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Kota Marudu. Saya, pa dan angah hadir sama ke majlis ini sebagai sokongan buat mama dan sebagai tanda terima kasih kami buat panel penganjur yang telah memilih mama saya.

Anugerah ini juga datang bersama seribu pengertian, peranan dan tanggungjawab yang harus kami sekeluarga sandang dalam merealisasikan erti sebenar penganugerahan itu. Jujur, saya terharu saat nama mama saya diumumkan bersama penceritaan kisah dan latar belakang pencapaian kami anak-anak mama.

"beliau kini bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di Koperasi Pembangunan Desa Kota Marudu, merupakan seorang isteri dan ibu kepada 6 orang puteri dan seorang putera. Beliau ini adalah seorang isteri dan ibu yang solehah, lemah lembut tetapi tegas dalam mendidik anak-anaknya.

Anak pertama beliau merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, kini berkhidmat sebagai Kaunselor. Anak kedua merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan kini berkhidmat sebagai guru fizik.

Anak ketiga pula baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Takhassus Quran, anak keempat sedang dalam pengajian Ijazah sarjana muda pendidikan dalam bidang seni.

Anak kelima juga sedang dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda pendidikan dalam bidang bahasa inggeris, tesl. Anak keenam kini menuntut di tingkatan empat dan anak bongsu kini menuntut dalam darjah 5.

Kesemua anak-anak beliau adalah merupakan anak-anak yang berjaya dan inilah yang patut kita contohi"

Waktu mendengar itu, saya tunduk. Bukan kerana saya bangga, jauh sekali merasa megah, tetapi saya memikirkan betapa susah payahnya mama menjaga dan membesarkan kami 7 beradik yang banyak perangai ini. Saya juga bimbang jika saya dan keluarga tidak mampu menghayati erti sebenar penganugerahan ini.



Ini salah seorang puteri mama yang bertindak sebagai 'tukang bawa trofi' atau dalam kata lain, tumpang pemes jap lah.. tapi saya pun tak ingat yang ni anak ke berapa dan nama apa :P


Justify Full
Di sebalik penghargaan ini, dialah insan paling atas yang telah mengemudi keluarga mengikut acuan yang dituntut agama. Ayahnda tercinta (berbaju putih) hadir memberi sokongan buat isteri. Sepatutnya gambar tu dengan mama saya..tapi ntah..lupa lak nak snap..huhu..yang ada gambar pa dengan penceramah jemputan, kira oklah kan? Ust Sarip Adul selaku penceramah hari ini, bagus ceramahnya :)



Gambar terpaksa crop sebab snap dari jauh.. saya ni tetot, tau tetot? rendah baa..cameraman semua tinggi-tinggi..saya tak berjaya ambik posisi best masa nak snap mama ni..hadoi...



Ini senarai penerima anugerah. Semuanya ada 5, Anugerah masjid terbaik, Anugerah tanah perkuburan terindah, Anugerah Khalid Al Walid, Anugerah Sayyidatina Khadijah dan Tokoh Maal Hijrah.



Bersama siapa ya..lupa lak..oh...Ketua Umno rasanya..yang hujung belah kiri tu, hujung belah kanan, timbalan ketua daerah Kota Marudu..mungkinlah :P (nak kena aku ni!)



Ini mama bersama sahabat-sahabat. Nampak budak girl yang comeloteh depan tu? kelakar betul saya, dia gi salam mama saya excited sungguh sambil kata kat mama saya "selamat hari raya!" haha..saya apa lagi..gelak lah..ada ke wish raya..



Ini sesi penutup..pa dan ma makan bersama para jemputan yang lain..saya asyik tengok dahi mama yang masih ada kesan. kesan apa? kesan berbekamlah apa lagi :P

Cukuplah sampai sini, panjang betul dah update. Buat mama, terima kasih dan tahniah..moga terus menjadi isteri dan ibu terbaik buat kami sekeluarga :)

11 January, 2011

Peserta Contest Emneya


Bismillahirrahmanirrahim..

Terima kasih buat semua sahabat yang sudi meluangkan masa menyertai contest saya. Saya amat menghargainya. Mohon maaf juga kerana agak terlambat menulis tentang contest ini dan saya juga kena minta maaf, mungkin keputusan contest belum dapat diumumkan memandangkan episod Emneya yang masih tergantung.

Walaubagaimanapun, saya amat menghargai mereka di bawah ini yang telah sudi meraikan contest saya. Saya susun mengikut turutan ke bawah link penyertaan yang ada di ruang komen.

Emneya by Mohammad Hairil

Emneya by sist Nurkass

Emneya by sist Imun

Emneya by sist Azatie

Emneya by sist Nadiah Sidek

Emneya by Kella

Emneya by ????

Ehh..yang last tu siapa pulak? hehe..tu maknanya..saya masih buka pada sesiapa yang nak join contest ni sementara Emneya diupdate hingga ke penghujung :)

Terima kasih sekali lagi buat semua participants..

08 January, 2011

Saya buka khidmat bekam


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, hari ini saya dapat luangkan masa untuk menulis tentang sebahagian dari pekerjaan sambilan saya. Saya tamat kursus perbekaman dan berhasil memiliki sijil pada awal 2009 melalui guru herbalis masa kini, HPA.

Dalam tempoh itu, saya tidak membuka sebarang khidmat kepada orang lain bahkan keluarga sendiri, sehinggalah pada satu ketika, papa saya sakit teruk, doktor kata masalah saraf. Saya rujuk salah seorang herbalis hpa, Tuan Ramly dan beliau menyarankan saya melakukan bekam pada pa saya. Alhamdulillah, walaupun tidak menyeluruh, kini pa saya sudah boleh bergerak seperti biasa.

Dari situ, saya mula membuka khidmat bekam pada keluarga. Satu-persatu datang minta dibekam. Alhamdulillah juga, semua kesan bekam menunjukkan tanda-tanda yang positif.

Kemudian, saya mengambil keputusan untuk membuka khidmat bekam pada orang ramai. Saya lengkapkan semua peralatan bekam untuk memastikan proses pembekaman saya lebih mudah dan lancar.

Syukur, sambutan orang ramai amat menggalakkan. Interaksi yang baik dengan pesakit memudahkan lagi proses pembekaman terutama untuk mereka yang baru pertama kali berbekam.

Saya bukan orang berharta, nak buka hospital untuk tolong orang sakit amatlah mustahil masa ini, namun begitu, saya yakin Allah mendengar impian hati saya untuk membantu setiap pelanggan yang menghadapi masalah kesihatan melalui teknik perbekaman ini.

Insha Allah, saya akan kongsikan sedikit sebanyak tentang bekam ini dan beberapa testimoni sebagai pendedahan kepada sahabat-sahabat saya di luar sana :)

07 January, 2011

Kisah Pemotong Kayu


Bismillahirrahmanirrahim..

Baru ni kawan saya bercerita pasal seorang pemotong kayu. Zaman dulu, ada seorang hartawan telah berpesan agar dia ditemani 44 hari di dalam kubur bila dia sudah mati nanti. Malangnya, tiada seorang pun yang sanggup.

Kemudian, hartawan itu menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang sanggup menemaninya di dalam kubur selama 44 hari, akan mendapat separuh daripada hartanya. Kemudian, bangkitlah seorang pemotong kayu yang miskin menyatakan kesediaannya untuk menemani hartawan itu apabila sudah mati.

"apalah sangat sekadar menemani orang kaya dalam kubur cuma 44 hari jika dibandingkan dengan kerja abang susah payah masuk hutan setiap hari mencari rezeki??" kata isteri pemotong kayu itu.

Maka tibalah saat kematian hartawan itu. Si pemotong kayu itu pun menunaikan janji dan masuk bersama ke dalam kubur yang telah di bina seperti rumah itu untuk menemani mayat si hartawan selama 44 hari. Kemudian, 7 langkah orang terakhir meninggalkan pusara si hartawan, maka datanglah 2 makhluk yang diberi tugas untuk berhadapan dengan si mati.

Pemotong kayu itu pun tahu yang datang itu adalah malaikat mungkar dan nakir yang akan menjalankan tugas menyoal si hartawan, lalu si pemotong kayu berundur ke belakang untuk memberi laluan kepada 2 malaikat itu.

Namun apa yang terjadi sebaliknya, si pemotong kayu pula yang telah disoal dan bukan si hartawan yang telah mati itu. Si pemotong kayu pucat sekali, namun dia tetap menjawab setiap pertanyaan 2 malaikat itu.

"apa kamu buat di sini?" Si pemotong kayu disoal.

"aku menemani si mati selama 44 hari" jawab si pemotong kayu.

"apa harta yang kamu ada?" dia disoal lagi.

"aku cuma ada sebilah kapak" jawabnya. Kemudian, malaikat itu hilang. Keesokan harinya, malaikat itu datang dan bertanya lagi pada si pemotong kayu.

"dari mana kamu mendapat kapak ini?"

"aku membelinya" jawab si pemotong kayu.

"apa kamu lakukan dengan kapak ini?" tanya malaikat itu lagi.

"aku mencari rezeki dengan memotong kayu di hutan menggunakan kapak ini dan menjual kayu-kayu itu" jawabnya dan kemudian malaikat itu hilang lagi.

Keesokannya, 2 malaikat itu datang lagi.

"adakah kamu pasti setiap kayu yang kamu potong itu sama berat dan ukurannya apabila kamu potong dengan kapak itu?"

"entahlah, aku potong cincai-cincai je, manalah dapat nak potong sama rata semua dengan kapak ni" jawab si pemotong kayu dengan jujur. Kemudian malaikat itu pun hilang. Keesokan harinya, 2 malaikat itu datang lagi dan bertanya mengenai kapak itu dan begitulah hari-hari seterusnya sehinggalah hari ke 44, 2 malaikat itu datang menghampiri si pemotong kayu.

"hari ini adalah hari terakhirmu, aku ingin bertanya, adakah kapak ini...." belum sempat malaikat itu menghabiskan ayatnya, si pemotong kayu mencelah.
"tunggu! tunggu!" si pemotong kayu segera berlari ke arah lubang keluar dan memanjat ke atas dengan segera.

Sebaik tiba di atas, kelihatan orang ramai sedang menantinya untuk bertanyakan pengalaman semasa di dalam kubur, namun si pemotong kayu dengan tergesa-gesa meninggalkan tempat perkuburan dan menuju pulang ke rumah.

Sampai di rumah. Isterinya hairan melihat suaminya yang pulang dengan tangan kosong.

"mana harta yang dijanjikan untuk abang tu?" tanya isterinya.

"kalau ko nak, ko gi ambiklah! aku tak nak!!" jawab si pemotong kayu sambil menggelengkan kepala.

"aik?? kenapa bang???" isterinya bingung.

"aku tak nak harta tu!! sebijik kapak pun malaikat tanya 44 hari!!! inikan pula separuh harta!!!!! gileeeeeeeeeeeeee!!! aku tak nakkk weiiiii!! ko nak, ko gi ambik, nanti malaikat tanya, ko jawab sendiri ye! jangan panggil aku tau!" jawab si pemotong kayu dengan wajah gerun.

Si isteri melopong.

P/s: saya terus pandang kain baju saya yang berkodi-kodi dalam bilik..belum masuk barang-barang saya yang lain. Adduss....