Apakah itu makna sabar? Bila kita seharusnya berlaku sabar? sabar bermaksud menahan. Sabar bermakna berupaya menahan diri dalam melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu untuk mencapai redha Allah. Berdasarkan Al-Quran dan hadis, kesabaran bererti"ketahanan" seseorang di jalan menuju kesempurnaan jiwanya.
Namun kesabaran sering disalah ertikan. Kita biasa sangat alami dan dengar apabila berlaku suatu musibah, orang akan berkata "sabarlah..memang dah tak ada rezeki, sabarlah..biar lambat asal selamat, sabar dulu..tidakkan lari gunung dikejar. Sabar dengan karenah suami/isteri. Contohnya, orang perempuan kena tahan sabar walaupun telah bertahun-tahun menghadapi keganasan rumahtangga, sabar demi anak-anak dan sebagainya.
Fahaman sabar dalam konteks itu sebagai lambat, perlahan, menangguh, demi rumahtangga dan anak-anak serta sebagainya adalah mengelirukan, iaitu menganggap sabar sebagai tolak ansur apabila berhadapan dengan suasana yang tidak menyenangkan. Padahal, kita tahu yang dikehendaki dengan sabar itu jauh lebih tinggi dan mulia dari sekadar tolak ansur.
Para cendikiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
1) Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa manusia biasa seperti kefakiran atau kelaparan, kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, jiwa dan harta benda.
2) Sabar terhadap keinginan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan dengki, tamak dan marah.
3) Sabar terhadap kemewahan hidup yang diperolehi di dunia ini. sesungguhnya ramai orang yang mampu bersabar ketika diberikan ujian, tapi tak mampu bersabar ketika diberi kenikmatan dan kemewahan hidup.
4) Sabar dalam menunaikan ketaatan yang sememangnya banyak halangan memerlukan tiga peringkat:
-sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
-ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
-selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan sesuatu yang membatalkan amal ketaatannya.
5) Sabar dalam bersedia menghadapi risiko penderitaan di jalan Allah setelah mengatakan kebenaran seperti contoh para nabi, kesabaran yang akan memuncak yang dimodelkan oleh Bilal bin Rabah yang dihempap batu didadanya di padang pasir yang panas, seperti menyampaikan dakwah"amar makruf nahi mungkar"dalam masyarakat. Khubaib dan keluarga Yassir yang rela dibunuh daripada menukar aqidahnya.
Bagaimana merealisasikan sifat sabar dalam kehidupan seharian? Dalam Islam kita diajar apabila kita berada dalam keadaan marah dari posisi berdiri hendaklah kita duduk dan jika perlu baring untuk meredakan kemarahan bukan sebaliknya. Kita juga disuruh berwudhuk untuk menahan sifat marah dan tingkatkan sabar. Bagi merealisasikan sifat sabar dalam kehidupan seharian, saya tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh kiai Abdullah Gymnastiar@ Aa Gym(pendakwah terkemuka Indonesia dan Malaysia). Secara ringkas beliau menjelaskan, sabar itu bukan pasrah. Sabar adalah jalan yang perlu ditempuh. Ada tiga jalan sabar yang mesti kita sempurnakan iaitu:
1) Sabar dalam meluruskan niat
Dalam melakukan sesuatu perkara, nilai dulu apa niat dihati, untuk apa? apa kesan atau hasilnya? bagaimana cara hendak melakukannya? oleh itu dalam kehidupan harian kita mesti perbetulkan niat.
2) Sabar dalam memyempurnakan ikhtiar
Sebelum melakukan sesuatu perkara perlu ada perancangan, kita mesti usaha sungguh2 dan sabar dalam memyempurnakan ikhtiar tersebut sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud"kejahatan yang dirancang boleh mengalahkan kebaikan yang tidak dirancang". Atau dalam bahasa mudah"kegagalan merancang adalah perancangan untuk gagal".
3) Sabar dalam menerima hasil
setelah mempunyai niat, usaha dan sabar melaksanakannya, kita sepatutnya bersabar dalam menerima hasil iaitu bersyukur dengan hasil yang dikurniakan oleh Allah terhadap apa yang kita usahakan.
Perlu diingat dalam kehidupan ini, walaupun ikhtiar dan usaha serta niat yang tepat dan murni telah dilakukan, namun hasilnya bukan kejayaan dan kebahagiaan, tetapi kegagalan dan kekecewaan. Di sini kesabaran sebenar kita diuji dimana orang yang ikhlas dapat menerima hasil dengan sabar dan harus bersangka baik kepada Allah, mungkin kejayaan itu ditangguh oleh Allah ke akhirat. Tidak bahagia di dunia, kita harus percaya bahagia itu disimpan oleh Allah untuknya di akhirat. Inilah sabar yang hakiki.
Sebagai kesimpulannya, sabar adalah satu sifat manusia yang perlu didikan berterusan tidak ada penghujungnya sehinggalah nyawa berpisah dari badan... wallahu a'lam..
0 comments:
Post a Comment