21 January, 2010

Perginya umpama bayi..


Bismillahirrahmanirrahim..

Sudah lama tidak menulis di sini, terlalu banyak urusan datang bertandang. Tanggal 18 Januari 2010, keluarga saya menghadapi satu lagi kehilangan dalam keluarga.

Kakak kepada ayah saya, Makcik kepada saya, Allahyarham Lominih telah kembali ke rahmatullah kerana menghidap kanser usus.

Saya bersyukur kerana gambar di atas adalah satu-satunya bukti bahawa perginya Makcik saya ke pangkuan Allah adalah sebagai seorang bayi yang suci kerana di saat menanggung sakit, hatinya terbuka untuk Islam.

Ayah saya sendiri yang memimpin Allahyarham Makcik mengucap Dua Kalimah Syahadah. Sebelum ini, Allahyarhamah Makcik saya adalah penganut kristian.

Nikmat agung yang tidak terhingga telah sampai kepada Allahyarham Makcik saya sebelum dia dijemput Allah. Kami sekeluarga amat bersyukur dan gembira dengan pengislamannya.

Saya terlibat secara langsung dalam urusan memandikan serta mengkafankan Allahyarham Makcik saya. Kesayuan saya menggunung saat menatap wajahnya sebelum dimandikan, masih terbayang di mata, bagaimana riangnya dia sewaktu kami sekeluarga melawatnya di wad hospital, senyuman dan petah bicaranya.

Masih terngiang suaranya saat dia menghubungi saya lewat telefon bimbit meminta untuk dibelikan kuih pulut manis kegemarannya.

Masih terbayang bagaimana dia berusaha untuk riang di hadapan kami, bagaimana dia berusaha untuk senyum sekalipun sakitnya mengasak. Pedih menahan kelaparan lantaran tidak dapat menjamah apa-apa makanan itu adalah perjuangan terbesarnya untuk terus bernafas. Ketabahannya menghadapi sakit menjadi ruh kekuatan bagi saya.

Saya simpati, keluarga simpati, jiran dan sahabat juga simpati. Saya tidak kesal kerana saya yakin, seluruh keluarga telah memberikan kasih sayang yang tidak putus kepadanya sebelum dia pergi buat selamanya.

Di hujung waktu solat, pasti namanya ada ruang dalam doa saya. Dia insan terpilih, meninggalkan dunia dengan layaknya seorang bayi yang baru di lahirkan kerana bibirnya sempat mengaku bahawa Tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah.

Segala urusan dunianya sudah selesai. Moga Allah merahmati Allahyarham Antie Lominih binti Abdullah.

3 comments:

Anonymous said...

Takziah dan tahniah.

cun09 said...

salam takziah

Zarul Helmy -Faz- said...

Al-fatihah buat arwah~