22 January, 2010

Mana milik kita?


Bismillahirrahmanirrahim..


Kini, saya melihat satu persatu ahli keluarga saya pergi menyahut panggilan Allah. Sedih dan sayu itu sudah pasti. Airmata sebagai tanda kita merasa pedih di atas sebuah perpisahan kubro yakni perpisahan yang abadi.

Namun di sebalik itu semua terselit satu tarbiyah yang amat bermakna dari Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi. Memang pedih menghadapi satu kehilangan, tetapi sejauh mana kita mampu menadah tarbiyah indah dari Allah itu, pasti ada sinar bahagia di atas redha yang tulus.

Akuilah wahai jiwa, tiada apa pun milik kita. Nikmat harta, kehidupan, keseronokan, kecantikan, suami, isteri, anak, kesihatan, kemewahan, malah nafas kita ini adalah pinjaman semata-mata dari Allah. Segala nikmat dan iradat yang kita rasai, pasti akan di ambil semula oleh Allah.

Getar dan gentar hati bila melihat agungnya Allah. Dia penguasa atas segala sesuatu. Berkatalah apa sahaja, megahlah dengan apa yang dimiliki, tetapi Allah zat yang tidak pernah lupa.

Bumi ini sekadar persinggahan untuk menentukan tempat kita di akhirat sana. Di bumi ini, pelbagai jalan dibentang. Kita hanya perlu memilih jalan ke mana arah kita, tidak syurga, neraka pastinya.

Setiap kehilangan mengajar saya erti sebuah persoalan. Mana milik kita? gagah mana pun kita, jawapannya pasti tiada yang milik kita. Berharta, pasti suatu hari ada waktu jadi kedana. Berpangkat, pasti suatu hari ada waktu berpeleseran. Cantik, pasti ada waktu jadi hodoh. Bernafas? lagi nyata dan pasti tiba waktu nafas berhenti.

Allah maha Agung. Rintihlah padaNya kerana sememangnya Dia menanti rintihan kita. Mintalah padaNya kerana sememangnya Dia menanti permintaan kita. Sujudlah padaNya kerana sememangnya Dialah tempat pada segala pergantungan.

0 comments: