Salam maal hijrah 1431, dan kini tahun 2010 telah muncul. Saya tidak begitu girang dek kerana banyak hal, apapun saya bersyukur kerana nikmat dari Allah masih terlalu banyak buat saya.
Tahun 2009 berlalu dengan seribu satu macam lakaran. Ada yang indah, dan tidak kurang juga yang mencabar jiwa rohani saya sebagai manusia yang bergelar hamba pada yang maha Pencipta. Dihimpit dengan berbagai cubaan, sangat memberi kedewasaan pada saya.
Saya kadang bingung bila orang sibuk bertanya apakah azam tahun lalu sudah tercapai. Bagi saya, agama Islam sudah lama memberi garis panduan dan matlamat kita sebagai hamba kepadaNya dan sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Sepatutnya tanya, apakah sudah sempurna matlamat itu.
Kemunculan tahun 2010 ini juga menyaksikan usia kita sudah semakin berkurang. Istilah kebiasaan bila masuk tahun baru atau meraikan hari lahir, kita akan kata, usia kita bertambah, tetapi pada konsep Allah, usia kita ini semua semakin kurang dan pendek.
Bila Allah telah tetapkan pada Qada' dan Qadar bahawa hayat kita ini hanya berusia 42 tahun, maka dikala tahun bertambah, tempoh usia kita semakin berkurang dan kita semakin menghampiri janji Allah iaitu saat kematian yang pasti.
Saya masih belum berjaya menjadi seorang daie yang sepatutnya. Kelemahan saya begitu ketara di mana-mana. Seringkali lalai dalam mentajdid matlamat sebenar dalam hidup. Tahun 2009 juga menjadi saksi pada beberapa kekhilafan dan kelalaian saya.
Lantaran diri terlalu lemah, satu pinta saya, diberikan kekuatan terus menerus untuk menadah tangan meminta kepada Allah kerana saya tahu, saya ini serba lemah, Allah jua yang maha Besar.
Semoga diri ini masih layak mendapat kasih sayang dariNya. Allah.. suluhkan hidupku, agar ada sinar di kemudian nanti.
2 comments:
salam ^_^
Semoga kita dapat menjadi hamba yg dirahmati dan diberkati oleh ALLAH sepanjang hidup ini...insyaALLAH...
bertambah usia,bertambah hampir dgn kematian.
moga dipermudahkan semua urusan akak
Post a Comment