Pertama sekali, terima kasih buat semua sahabat-sahabat di atas doa kalian terhadap saya. moga Allah memberi ganjaran.
Semalam, saya dan keluarga menghantar dan mengiringi keberangkatan kedua ayah bonda ke Makkah Al Mukarramah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Walaupun kesembuhan total nyata bukan milik saya, ada sedikit kekuatan untuk disalurkan kepada kedua mereka. Saya berusaha yang terbaik untuk mereka. Hati saya memanjat Syukur yang tidak terhingga untuk perjalanan mereka ini.
Syukur kerana Allah memberi dan mengizinkan ruang untuk dua sosok tubuh ayah bonda berada di tanah suciNya. Impian yang sudah lama di ruang mata mereka untuk mengunjungi Baitullah. Tentulah ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan hati.
Majlis kenduri doa selamat diadakan sederhana dan kecil-kecilan untuk memohon doa dan keberkatan sempena keberangkatan ayah bonda. Hati saya diruntun rasa sayu dan terharu melihat kedatangan sahabat handai ayah dan bonda membanjiri kediaman dan halaman rumah.
Selesai majlis kenduri, saya dihambat dengan airmata kala melihat kudusnya kasih sayang sahabat handai, jiran tetangga dan keluarga memeluk erat ayah. Semuanya menitiskan airmata. Paling menyedihkan saya, ketiadaan Allahyarham Ustaz Baharudin Mardia di sisi, sahabat karib ayah.
Namun, digantikan dengan tangisan sebak Ustaz Syafie Raja Duyut, juga sahabat karib ayah. Saya melihat situasi itu. Erat pelukan terhadap ayah. Tangisannya cukup menambah sayu malam itu.
Saya lihat semua jemaah lelaki yang hadir menitiskan airmata sewaktu bersalaman dan berpelukan dengan ayah. Doa terus meniti di bibir mereka untuk ayah dan bonda. Semestinya saya sebagai anak sangat terharu dengan sokongan mereka.
Terima kasih buat semua yang sudi datang dan mendoakan ayah bonda. Menjelang keberangkatan, ayah banyak menitip pesan kepada kami anak-anaknya. jaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia itu yang utama.
Saat ayah dan bonda meninggalkan rumah, sekali lagi airmata saya bertamu hebat. Semua yang ada juga begitu. Satu persatu menyalami ayah dan bonda terutama yang tidak menghantar ke lapangan terbang.
Ayah menyalami nenek (ibu kepada ayah). Nenek saya sakit. tiada upaya untuk berdiri, namun digagahkan untuk duduk. Saya kalah dengan situasi itu. Kesayuan menghimpit relung jiwa. Ayah juga sedih waktu itu.
"muli' nokopio kaa" ini antara kata-kata nenek saya dalam bahasa dusun iaitu bahasa ibunda kami. maksudnya "kau mesti pulang ah" airmata saya menjadi lebih hebat. kenapa kata-kata itu yang terbit?
Setelah lama nenek tidak menangis walaupun selama ini sakit, kali ini tangisannya membuat kami terpaku. Tubuh ayah dipeluk erat. Ayah membelai kepala nenek dan memohon keampunan dari nenek. Ah, sangat menduga hebatnya airmata ini.
Kemudian, Ayah mencium tangan Atuk (ayah kepada ayah). Atuk berbaring waktu itu kerana sudah terlalu uzur. Umur Atuk sudah mencecah 99 tahun. Wajarlah keuzuran sangat ketara di wajah Atuk. Tapi Atuk masih berdaya. Boleh makan dan minum.
"mikiampun oku nu no salah silap ku om nunu no tasala' ku momiara' dia ama'.." ini kata-kata Ayah saya kepada Atuk maksudnya "ampunkan salah silap saya dan semua kesalahan saya selama menjaga bapa" airmata saya lagi bertambah hebat.
"doa'on oku miloh po muli' hiti momiara' dia' kaa ma'.." maksudnya "doakan saya dapat pulang lagi sini untuk jaga bapa ah" airmata Ayah berlinangan. Saya tahu Ayah sedih meninggalkan orang tuanya. Lumrahlah ada rasa begitu.
Ayah menangis sambil mengucup dan membelai kepala Atuk yang botak itu. Atuk mengangguk dan memegang tangan Ayah. Belaian tangan Ayah di kepala datuk berlanjutan beberapa minit. Semua yang ada di situ juga sedih melihat situasi itu.
Benar. Perjalanan ayah bonda adalah perjalanan sebuah ibadah. Tidak usahlah terlalu menangisi dan meratapi. Saya teguhkan fakta itu di dasar hati moga ini adalah perjalanan yang Engkau redhai.
Benar. Usahlah terlalu emosi kerana ini adalah sebuah perjalanan ibadah dan juga simbol cinta kasih ayah dan bonda terhadap Khaliq yang esa dalam menunaikan rukun islam ke-5. Namun, saya mengira ini bukanlah airmata meratapi atau menyesali tetapi adalah airmata kasih dari kami anak-anak, saudara mara, dan sahabat handai.
Jika ada airmata yang gugur, itu adalah airmata kasih tanda sokongan buat kepergian kedua ayah bonda. Lumrahnya memang begitu. Usah di pertikai airmata itu kerana niat airmata bukan untuk meratapi tetapi mengiringi sebuah perjalanan kudus menuju Baitullah.
Ya Rabb..kami ini adalah hamba-hamba Mu yang lemah. Segala Tadbir alam ini kami tidak berdaya. Jadi bantulah kami untuk sentiasa melihat kepada diri dan sentiasa menginsafi kelemahan diri.
Buat teman-teman yang sudi menitip doa agar ayah bonda saya selamat kembali, terima kasih. Buat ayah dan bonda yang kini sudah selamat tiba di Madinah Al Munawwarah semalam, moga sentiasa dalam lembayung pemeliharaan Ilahi dan selamat menjadi TETAMU ALLAH di Makkah Al Mukarramah dan selamat menjadi TETAMU RASULULLAH di Madinah Al Munawwarah.
Kami menanti kepulangan kalian dengan iringan haji mabrur. Amin.
0 comments:
Post a Comment