Tajuk entri kali ini amat sinonim dengan masyarakat kadazan dusun di sabah kerana Montoku dan Lihing ini adalah minuman tradisi mereka. Minuman tradisi turun temurun sejak nenek moyang. Fungsinya sama seperti arak, sejenis minuman yang memabukkan.
Saya anak kelahiran sabah dan berketurunan kadazan dusun. Sebab itu saya rasa terpanggil untuk menulis di laman saya tentang dua minuman ini. Saya tidak pernah menyalahkan apa yang namanya tradisi mahupun adat.
Tetapi bila adat dan tradisi itu semakin lama mengundang kesuraman hidup sesuatu kaum, maka bagi saya tidak salah jika kita cuba rungkaikan dan perbincangkan semula buruk dan baiknya sesuatu adat itu.
Tulisan ini bukan acara membuka pekung di dada, tetapi anggaplah sebagai membuka minda dan mentaliti kita agar lebih terbuka. Suku kadazan dusun di negeri sabah ini juga sudah ramai yang memeluk agama islam, jadi kita perlu ketengahkan persoalan ini.
Di Sabah, sudah menjadi kemestian bagi suku kadazan dusun meminum montoku dan lihing ini di dalam setiap majlis atau keramaian. Tidak kira apapun jenis keramaian, perkahwinan, perayaan hatta kematian pun.
Keluarga saya masih ramai yang belum memeluk agama islam, tetapi itu bukan alasan dan benteng untuk saya dan keluarga merenggangkan hubungan darah. Kami tetap sentiasa raikan mereka bila ada majlis kahwin ataupun kematian.
Pada mulanya, saya sendiri tidak tahu terdapat adat iaitu acara meminum lihing atau montoku yang menjadi suatu kemestian dalam sesebuah kematian dalam keluarga. Sehinggalah saya melihatnya sendiri sewaktu salah seorang keluarga dekat saya meninggal.
Keluarga saya itu bukan islam, jadi kami sekeluarga bertandang sebagai tanda hubungan darah sesama kami dan hanya mampu melihat suasana hening itu. Cerita ini sudah lama, saya tulis kembali kerana banyak berkait dengan tajuk entri saya.
Tidak dinafikan, kami juga sedih dengan pemergian salah seorang ahli keluarga kami itu, tetapi saya agak tersentak dengan tindakan anak dan cucu mendiang yang meratap seolah hilang pertimbangan di tepi keranda.
Banyak juga yang membuat saya tersentak, maklumlah agama berbeza, lagipun itu adalah kali pertama saya menghadiri upacara kematian keluarga terdekat saya.
Sebelum mendiang di bawa untuk disemadikan, satu adat yang wajib dilakukan sebagai tanda menghormati mendiang iaitu upacara meminum lihing oleh beberapa ahli keluarga terdekat mendiang dan upacara itu mesti dilakukan di tepi mayat bersebelahan dengan keranda.
Awalnya, saya kehairanan dan tertanya-tanya dan saya terus berbisik bertanya kepada ayah dan ayah menjelaskan semuanya. Kami hanya mampu berdiam, kelu tidak terkata.
Di sudut lain cerita, saya pernah terserempak dengan budak-budak sekolah yang sedang leka meminum montoku di sebuah kedai runcit. Sebahagian mereka sudah terhuyung-hayang dan yang membuat saya sedih, ada di kalangan mereka itu beragama islam.
Ke mana harus saya sandarkan kesedihan saya ini? bila melihat anak harapan bangsa terhuyung-hayang sambil mengilai tawa dalam kemabukkan. Hati menjerit, ini anak bangsa saya, pemuda-pemudi harapan negara..
Saya menghormati adat, apa juga yang namanya adat selagi ia tidak bertentangan dengan syariat islam, saya menjunjungnya kerana adat itu budaya bangsa. Budaya itu membuat sesuatu bangsa menjadi unggul, tetapi tidak kurang juga membuat bangsa itu mundur.
Saya merasa perlu untuk kita suarakan tentang bahana montoku dan lihing ini terhadap anak-anak muda kita bahkan murid sekolah rendah. Perlu ada pemantauan dan undang-undang dalam penjualan minuman ini di mana-mana.
Saya berani katakan, montoku dan lihing ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada kita sebenarnya malahan dalam islam, ianya adalah haram. Ia juga mengancam masa depan anak-anak muda kita khususnya yang berbangsa kadazan dusun sendiri kerana sangat terdedah dengan budaya ini.
Jauh di sudut hati, jika saya memiliki kuasa, saya akan hapuskan minuman ini demi kesejahteraan dan kemajuan anak bangsa khususnya bangsa kadazan dusun sendiri, darah daging kecintaan saya ini.
Dakwah kepada darah daging sendiri tidak mudah. Tidak kiralah apa jua bentuk dakwah. Saya selalu kecundang. Moga Allah memberi kudrat yang jitu buat saya dan keluarga.
2 comments:
ya. sedih rasanya kalau budak2 sekolah rendah lebih yg beragama islam minum montoku & lihingkan.. tapi kak pnh juga tgk budak2 melayu, style pakaian ala2 gothic+ punk beli arak di tesco shah alam...means everywhere perkara mcm neh pon bleh berlaku kalu tiada pemantaun drpd pihak tertentu..
salam kak =)
tgk tajuk n3 ni, saya tertanya2 apa itu montoku dan lihing.. rupa2nya minuman tradisi masyarakat kadazan dusun.. patutla saya langsung x familiar dgn dua term ni =D thanx for sharing this info..
wlupn x pernah kenal montoku dan lihing, tp sbb akak kate fungsinya mcm arak, jd saya umpamakan cm arak jela ek =D mm, kalau kat semenanjung ni ape kurangnya.. arak tu sendiri pn ade je melayu muslim yang berani minum.. sedangkan tu lagi2 la xde kaitan dgn adat tradisi.. agak menyedihkan.. brtambah kecewa sbb mereka ni beli n minum tanpa segan silu. seolah2 tu bukanlah satu dosa -_-
na2uzubillaahi min dzaalik..
betol kata akak, saya sokong sgt2.. nk berdakwah kepada darah daging sndiri mmg satu cabaran yg besar. bukanlah mudah. kadang2 dakwah kpd yg bukan darah daging lbh senang diterima. ntahla. depends on si penerima dakwah tu jugak kan.. kalau hatinya mmg nakkan kebenaran, inshaAllah mudah je nk terima. apepun, saya doakan semoga akak trus kuat berjuang di medan dakwah yg penuh liku ni.. salam juang!
Post a Comment