Bismillahirrahmanirrahim..
Saya difahamkan waktu ini semua sahabat dan sahabiah saya di Mesir sedang berada dalam fatrah imtihan. Waktu-waktu begini, biasanya banyak benda akan berlaku sama ada dari segi gangguan kesihatan mahupun emosi.
Saya pernah melalui saat itu selama lebih kurang 4 tahun berada di sana. Segala rasa disatu, segala daya dipadu demi mencari sebuah kejayaan. Musim peperiksaan adalah waktu yang sangat menduga saya semasa masih dalam pengajian, di sana lah juga sakit bertandang, keyakinan mula hilang, apatah lagi semangat.
Peperiksaan pertama saya semasa berada di tahun satu pengajian adalah yang paling berat pernah terlakar di memori saya. Hanya tinggal seminggu peperiksaan bakal bermula, kudrat saya juga makin tiada, semua kerana sakit saya datang menjengah. Tidak mampu duduk, apatah lagi berdiri dan berjalan. Terasa bisa satu badan.
Hati dan bibir tidak henti mengucap doa, mohon agar diberi sedikit kekuatan untuk mengikuti peperiksaan. Keluarga di tanah air juga tidak henti mengirim doa dan kata-kata semangat. Saya cuba tenangkan hati meskipun rasa cemas sudah mula menapak di sanubari.
Saya menghitung, ah..lagi 4 hari peperiksaan akan bermula. Bisa di badan semakin terasa. Kitab di hadapan tidak mampu di selak. Saya terbaring lesu. Telefon bimbit saya tidak henti berbunyi, mesej dari tanah air berupa doa dan semangat.
Waktu itu, saya sedar sahabat-sahabat saya sedang pulun menyelak kitab dan mengulang hafalan Quran, sedang saya terbaring tiada daya. Papa menghubungi saya lewat telefon, meminta saya pulang ke tanah air untuk mendapatkan rawatan di pusat pakar seperti biasa.
Saya tiada kata untuk cadangan papa. Hati rasa kosong, namun masih ada jiwa untuk bertahan. Saya gagahkan diri untuk setiap solat fardhu, bangun dan duduk di sejadah. Saya rasa hanya itu yang mampu saya lakukan, usai bersolat saya cuba selak mushaf untuk mengulang hafalan tapi mata saya kabur, ayat Quran di mushaf langsung tidak nampak. Saya capai kaca mata, tapi tetap kabur.
Bibir saya hanya mampu sebut word ini "ya Allah.." selebihnya bibir terkatup senyap. Saya tutup mushaf dan berbaring sebab badan sudah rasa letih, duduk sebentar pun letih. Lemahnya badan tidak terkata.
Kawan-kawan serumah juga sangat baik, tidak henti memberi sokongan dan semangat. Sentiasa berada di samping saya sepanjang masa. Tidak ingin sekali menangis, saya tidak mahu menitiskan airmata hanya kerana ujian begitu.
Namun, pada hari seterusnya, peperiksaan bakal bermula lagi dua hari, saya paksa dan push untuk bangun tengah malam, di situ pengharapan terakhir saya, saya rasa itulah proposal terakhir saya sembahkan di hadapan Allah sebelum bermulanya kertas peperiksaan pertama saya. Waktu itulah airmata saya gugur. Setelah lama kelopak mata bertahan, tidak ingin jatuh manik jernih itu. Akhirnya, gugur di hadapan Yang Maha Besar..
Sedari diri begitu lemah, saya serahkan segalanya pada percaturan Allah. Bergantung penuh pada setiap ketetapanNya. kita manusia ini tiada daya, hanya tahu meminta dan terus meminta dariNya..dan Dia? akan terus memberi dan terus memberi..
Hari pertempuran sudah bermula, saya putuskan untuk mengikuti peperiksaan. Ada sedikit kekuatan walaupun sebenarnya badan masih tersangat lemah. Sahabat-sahabat datang untuk bawa saya bersama sambil menyalurkan semangat untuk saya.
Hari pertama, Ujian syafawi Quran dan matan syatibi. 30 juzuk bakal di tebuk. Saya terus terang, persediaan saya tidak lengkap, hafalan saya tidak sempurna diulang. Saya tidak mampu pun menyelak mushaf saya untuk mantapkan hafalan. Malahan mushaf Quran pun saya tak bawa pagi tu.
Sampai di pusat kuliah, saya tengok..ya Allah..berderet sahabat-sahabat duduk di koridor masing-masing dengan mushaf sambil khusyuk mengulang. Agak berpinar juga saya, sebabnya..entahlah..masa tu saya soal diri saya.."ni kalau kena tebuk juzuk 24, boleh jawab tak nih?"~~~hati spontan jawab "entahlah"
Tak lama tu, nama saya kena panggil masuk dewan syafawi. Ohh Tuhan..saya orang pertama! sebabnya pihak kuliah difahamkan yang saya tidak sihat. Jadi saya di awalkan. Tawakkal a'lallahh je masa tu.
Masuk tu kawan-kawan pimpin, saya bagi salam kat syeikh-syeikh yang ada kat depan. Alhamdulillah, mereka semua baik, bertanya khabar kesihatan saya sebelum mula memberi soalan.
Kemudian, saya mula disoal, Quran dan matan. Ya Allah..rahmatnya saya rasa..alhamdulillah semua soalan Quran kena pada ayat yang memang saya ingat begitu juga matan, ditebuk pada bab pertama sahaja. Saya tak berapa ingat dah semua soalan tu, yang saya ingat, juzuk 5 maqra' 3, juzuk 10 awal baro'ah dan hujung yasin, semuanya 10 soalan.
Keluar saja dari dewan syafawi, mulut tak henti ucap syukur kerana Allah permudahkan saya untuk hari pertama, dan itu yang membuatkan saya cukup rasa bersemangat menghadapi yang seterusnya.
Sepanjang peperiksaan, kesihatan saya tidak menentu namun masih berdaya duduk dalam dewan peperiksaan, satu rahmat yang saya tidak akan lupa, selesai sahaja semua kertas, saya terus berangkat pulang ke Malaysia tanpa menunggu result. Saya tawakkal dan serahkan semuanya pada Allah. Kawan-kawan lain semua tunggu result sebab jika ada subjek tak lulus, repeat akan bermula dua minggu selepas result.
Maknanya, jika saya pulang Malaysia, ada subjek tak lulus, saya kena back on track repeat..kembali semula ke Mesir sebelum bermula repeat. Kecut juga, sebab saya bukan orang kaya nak ulang alik Mesir. Harga tiket tak murah. Namun saya teruskan doa, minta lagi pada Allah untuk lulus periksa. Sebelum ni minta untuk dapat masuk periksa, lepas tu minta supaya lulus. Banyak sangat permintaan..Allah minta sikit je kita susah nak tunaikan..aduhai.
Alhamdulillah, sejuta ksyukuran saya rafakkan pada Allah kerana meluluskan semua proposal yang saya sembahkan sebelumnya. Saya lulus semua subjek dan berjaya naik tahun dua. Papa saya menangis gembira, begitu juga mama.
Buat sahabat-sahabat yang kini berada di medan juang peperiksaan, teruslah berdoa, bersangka baik pada Allah dan lakukan setulus hati, dan yang paling penting saya nak pesan, belajar bukan semata untuk peperiksaan, tetapi belajar untuk pandu hidup akan datang.
Salam juang buat semua sahabat saya di Mesir, sahabat seangkatan Qiraat dan kuliah, usuluddin, syariah, lughah..moga kalian diberi kejayaan. Ameen ya Rabb.
p/s: credit pic to D60 :p