Sudah bertahun lamanya sejak saya menginjak usia dewasa, memikirkan apakah sebenarnya hakikat kekayaan, pangkat dan darjat? dan apa pula hakikat kemiskinan? hidup di atas muka bumi ini, penuh rencam. Inilah hakikat sebuah kehidupan.
Para hukama' menyimpulkan, orang kaya ialah yang sedikit keperluannya, manakala orang miskin ialah orang yang banyak keperluannya.
Jadi, hemat saya, turun naik kekayaan dan kemiskinan ialah hajat dan keperluan, siapa yang paling sedikit keperluannya itulah orang yang paling kaya. Yang paling kaya dan Maha Kaya hanya satu iaitu Allah Swt sahaja. Dia tidak berkehendak keperluan atau hajat sedangkan jutawan ramai yang miskin.
Saya memerhatikan zaman kini, 'standard life style' dalam kehidupan menjadi perkara utama. Mementingkan kemewahan, takut dipandang rendah jika tidak mewah. Takut dikata hidup kuno dan ketinggalan zaman.
Jika buat keramaian di banglo atau kondo mewah atau di mana saja, jemputan wajib dikalangan orang-orang berpangkat dan ternama sahaja. Rosak majlisnya jika yang hadir itu, golongan yang bergaji rendah, keluarga yang kolot dan kampungan.
Lebih bahagia hidup didampingi kerabat ternama daripada mendampingi ibu ayah yang kulitnya sudah berkedut, terlantar dan miskin. Ada di antara kita ini, mula lupa pada ibu dan ayah bila sudah menjadi orang berpangkat tinggi.
Sungguh malang dan celaka anak yang melupai dan membelakangi ibu dan ayah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barangsiapa yang mencari dunia yang halal dengan tujuan dia tidak meminta, mengasihi tetangga dan memenuhi kewajipan pada keluarga terutama ibu dan ayah, nescaya pada hari kiamat dia akan muncul dengan wajah berseri."
Bagi orang kaya yang lupa pada akhirat, ada dua bahaya yang mengancamnya. Pertama, penyakit bakhil dan kedua penyakit sombong dan takbur. Dia lupa bahawa harta yang dimiliknya itu hanyalah pinjaman semata-mata.
Satu lagi di antara kemiskinannya ialah dia takut akan mati, dia berusaha untuk menangkis kematian sehingga banyak kos yang digunakan untuk menangkis kematian itu. Sebab itulah orang yang kaya adalah orang yang paling miskin secara hakiki.
Tiada apa yang berbeza di antara orang yang berharta dengan yang miskin. Orang berharta tidak dapat menahan sakit atau kematian, begitu juga dengan orang miskin. Orang berharta akan berhenti makan bila sudah kenyang, begitulah juga orang miskin, bila kenyang sendirinya akan berhenti.
Di antara hikmat dan nikmat kerapkali sejarah menyatakan bahawa orang yang masyhur dan mendapat kedudukan mulia di tengah masyarakat, muncul dari kalangan orang fakir miskin dan melarat. Seperti junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, lahir dan besarnya dalam keadaan penuh liku dan kesusahan.
Jarang orang kaya muncul sebagai orang teragung kerana mereka tidak pernah kenal erti susah dan kepayahan. Ironinya, bukan harta sedikit membawa susah, bukan harta banyak membawa gembira, asas gembira dan susah ialah jiwa yang resah dan gelisah atau jiwa yang tenang dan damai dapat hidup di dunia ini.
Kemajuan telah kita capai, teori baru telah mengalahkan teori lama, kepercayaan kolot telah dibasmi oleh kepercayaan moden, agama tahyul telah digantikan dengan agama tauhid, tetapi kuasa harta yang muncul sejak manusia tercipta tidak pernah berkurang malah bertambah besar.
Saya berdoa, andaikata satu hari kita diberi peluang punya banyak harta, mohon agar kita bukan dari kalangan 'orang kaya yang miskin'.
3 comments:
Salam:)
insyaallah, smeoga kita kaya dunia akhirat,kan?
dapat menyumbang, namun iman kena kuat, ebab nak jadi baik, bykk dugaan:)
Salam.menarik~
Suka dgn ulasan itu.
Allah da tentukan kejayaan kita dalam agama Allah... dalam surah fatir,ayat 10 Allah berfirman,'Barangsiapa mengkehendaki kemuliaan,maka ketahuilah bahawa kemuliaan itu adalah milik Allah...'
Banyak juga hadis menyatakan fadhilat miskin,antaranya org miskin akan masuk syurga setengah hari lebih awal drp org kaya.Dan setengah hari di akhirat kelak bersamaan dgn 500 tahun dunia.
Good reminder...thanks..
Salam ukhuwah..salam mahabbah ya ukhti...
Semoga dirahmati dan dlm redha Allah selalu...
Kemiskinan, kesakitan, cengkaman jiwa, keperitan hidup adalah UJIAN.
Kekayaan, kemewahan, harta benda dan anak pinak juga adalah UJIAN.
Allah berfirman: "Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu)" (Surah At-Taghabuun: 15)
Inilah yang dikhuatirkan oleh Rasulullah. Beliau tidak khuatir umatnya miskin secara duniawi.
Rasulullah saw bersabda:
"Demi Allah, bukanlah kemisknan yang aku khuatirkan atas kalian.
Tetapi aku khuatir akan dibentangkannya dunia untuk kalian sebagaimana telah dibentangkan terhadap umat-umat sebelum kalian,
sehingga kalian pun berlumba-lumba meraihnya sebagaimana mereka dulu berlumba-lumba,
dan akhirnya kalian dibinasakan sebagaimana mereka dahulu dibinasakan."
Semoga Allah melindungi kita dari penyakit Wahan iaitu penyakit cinta dunia takut mati. Ameen.
Wasalam.
Post a Comment