Saya sudah terlelap selepas solat isyak tadi, badan rasa kurang sihat, tiba-tiba terjaga bila telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Di skrin terpapar nama 'papa no.madinah'.
Saya segera menekan punat 'ok', panjang kalam ayah saya~
Salam buat anak-anak papa, salam yang teramat kerdil dari papa di Masjid Haram pada saat ini sementara menunggu waktu isyak..mama di hotel. Maha suci Allah yang mengizinkan papa mama datang mendatangi tanah haram Makkah ini dan maha suci Allah seandainya tidak mengembalikan papa ke bumi halal.
Papa terlalu kerdil, Allah jua yang maha besar, yang agung, yang tinggi, yang mulia, yang kaya dan yang segalanya, mari kita latih diri kita miskin, lemah, tiada kuasa, latih diri menerima hakikat bahawa di hujung kehidupan ialah perpisahan jasad nyawa, kita tiada daya menyekatnya.
Harta tiada daya, kereta besar tiada daya, rumah besar tiada daya, dan pangkat juga tiada daya semuanya melainkan amal taqwa sahaja yang dapat mengimbang untuk keadilan itu semua, keangkuhan peribadi zahir dan batin merupakan permohonan awal menuju ke arah penyeksaan Allah.
Mencari damai kehidupan bukan pada pertimbangan naluri perasaan, tetapi adalah naluri perasaan kerohanian yang adil dan saksama, tanpa bohong pada fitrah kebenaran, serta pergantungan terhadap Allah yang Esa..~
Saya akui, ada airmata yang gugur. Tetapi saya yakin, airmata itu bukan menangisi apa-apa, melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah memberi ruang kebahagiaan untuk kedua ayah bonda saya menatap bumi Makkah.
Rindu saya pada ayah bonda bergema di relung hati. Hanya doa berterusan buat mereka sebagai penawar. Usai membaca pesanan ringkas dari ayah tadi, saya segera mendirikan solat hajat, memohon segalanya baik dan selamat buat ayah dan bonda saya.
Seperti yang saya kata dalam entri 'tenanglah hati', dalam kerinduan yang betul-betul mengasak jiwa, bilamana terbit kata-kata dari ayah atau bonda seperti ini amat menggugat jiwa. Sayu itu pasti ada, mungkin orang lain tidak dapat merasai kesayuan ini.
Saya tidak mahu beranggapan buruk dan negatif dari kata-kata ayah, saya akan terus berdoa, ayah dan bonda selamat, dipanjangkan usia, dikurniakan haji mabrur. Doa saya tiada tepi dan hujung, Ya Allah..lindungi ayah dan bonda dari segala musibah, kurniakan mereka haji yang mabrur, pertemukanlah kami semula.
Buat insan-insan yang telah memberi keegoan dan kekacauan di sanubari ayah, doa yang terbaik ayah saya laungkan di Masjid Haram untuk kalian semua, bukan doa untuk kekusutan tetapi doa agar kalian meraih kebahagiaan dunia dan akhirat.
Pa, saya bangga. Anakmu ini bangga menjadi darah dagingmu. Walau bukan harta dan kemewahan yang dipersembahkan kepada anak-anak, didikan agama dan kesederhanaan ini yang selalu membuat hati ini akur, betapa nikmat kasih sayang dan didikan itu lebih berharga daripada harta yang tiada erti pada akhirat sana.
Saya merindui ayah dan bonda saya. Rindu dari segenap jiwa. Saya sentiasa mengirimkan rasa rindu saya ini melalui solat agar doa saya sampai kepada mereka. Doa mengharapkan segalanya baik dan selamat.
Buat ayah dan bonda, sujud dan pengharapan saya pada Allah selama ini sebagai tanda kasih dan sayang saya yang tidak terhingga pada kalian. Selamat menjalani ibadah ini dengan penuh tawadhuk. InsyaAllah, kita akan bertemu lagi.
Saya mohon kepada semua sahabat dan sahabiah saya yang berhati mulia, bantu saya dengan segala doa untuk ayah bonda dan semua jemaah haji kita agar selamat. Semua doa khair yang terucap dari kalian untuk ayah dan bonda saya, saya pohonkan kembali kepada Allah, bahagiakan dan muliakan hidup sahabat-sahabat semua. Syukran.
7 comments:
salam ukhuwah penuh mahabbah..
salam perkenalan buat adikku..
nak cakap ebih2 ngan ustazah ni xberani sgt..hihi.. xreti nak berayat.. apapun kak doakn spy fara n keluarga especially ayahnda bonda selamat dalam pangkuan Allah sentiasa.. semoga ayhnda bonda berada d tanah suci sentiasa slamat n peroleh haji yg mabrur.. ameen..
sm ukhwah kembali buat kak fatma(setanggi syurga) saja kakak ni, napa pulak takut, sy bkn ustazahla..apapun, sy sgt hargai doa tu..trm ksh tidak terhingga,moga hidup kakak sentiasa dlm rahmat Allah.
Just nak share.saya juga ada seorang ayah.Ayah sy tegas dan garang.Dia jarang betul nak tunjukkan kasih sayang dia.maksud sy bukan mcm mak saya yg akan peluk,borak,etc la.Ayah sy mmg agak tegas.
Dulu bulan 8 di pg umrah.Balik2 Malaysia je dia terus peluk dan nanges.Sentimental jugak upanya ayah sy tu.hehe
Itula ayah.Walaupun tak pernah keluar perkataan.'i love u,son' dr mulut dia(sbb dia tak reti english),tp sy tahu mmg dia sgt2 sayangkan kami sekeluarga.
Semoga keluarga saudari sentiasa didalam rahmatNya
Semuanya akan selamat.
amin...
yakinkan hati.
salam kak ^_^
tabahkan hati, and always think positive,k!
inshaAllah mereka akan selamat..
semoga semuanya berjalan dengan lancar serta dipermudahkan buat ayahanda dan bonda akak..
semoga mereka dalam keadaan sihat serta dapat sempurnakan pelaksanaan ibadah haji, dan semoga beroleh haji yang mabrur..
dan x lupa juga, saya doakan smoga mereka nanti akan kembali juga ke tanah air inshaAllah dalam keadaan selamat dan bertambah iman n taqwa..
aamiiin...
sokong kata2 akak.. kasih sayang tu x perlulah ditunjukkan dengan harta dan kemewahan hidup.. tp sebaliknya didikan agama dan kesederhanaan tu lah yang jauh lebih mulia n diberkati, inshaAllah =)
to~iqbal syarie..
tsentuh bace kisah ayah balik dr umrah..apepun tu seme adelah ksh syg dr org tue utk kite anak-anak..
trm ksh byk atas doa..
to~honeyz..
tiada kata yg dpt diucap selain jazakillahu khairan jaza'....semoga hani sentiasa sihat utk terus menulis dan memberi sokongan pada sahabat2 yg lain...
indah ukhuwah ini dgn adanya support dr sahabat2 semua..
Post a Comment