08 November, 2009

Janji Allah Itu Pasti


Suatu hari, segala janji Allah terhadap kita akan terlaksana. Rezeki, usia, ajal dan jodoh semua di tanganNya. Tiada siapa yang mampu mengubah.

Jumaat lalu ini, satu tragedi yang meragut nyawa telah berlaku berhampiran kediaman saya. Seorang insan tua, telah pergi menyahut panggilan Ilahi.

Tragedi berlaku lebih kurang pukul 7.05 minit pagi. Selesai menghantar isterinya ke simpang jalan, Allahyarham yang waktu itu menaiki motorsikal telah dirempuh oleh sebuah treler minyak.

Jasadnya terdampar selama hampir 3 jam sementara menunggu pihak polis membuat urusan. Kehadiran anak-anak Allahyarham mengundang suasana hiba. Melihat jasad ayah mereka terbaring di tepi jalan dengan keadaan yang menyayat hati, tangisan sayu bergema.

Hati siapa yang tidak tersentuh, saya juga tidak mampu mengawal airmata. Simpati terbit dengan begitu hebat bila melihat suasana itu. AL FATIHAH untuk Allahyarham. Semoga Allah tempatkan Allahyarham di kalangan para solihin.

Dua tiga hari ini, saya juga banyak bermimpi tentang kematian. Kematian adalah suatu yang pasti. Cuma bila waktunya, kita sebagai hamba tidak pernah mengetahui.

Bila selesai solat, saya suka berteleku lebih lama di atas sejadah memikirkan tentang hidup. Lebih banyak berteleku merenung dan termenung. Habit yang agak kurang elok, kan lebih baik dirikan solat sunat?

Saya selalu menangis kalau berpisah dengan keluarga. Pertama kali masuk asrama dulu, saya menangis. Berangkat sambung belajar ke Mesir pun saya menangis. Saya selalu bertanya, kenapa mesti menangis? kedengaran seperti soalan leceh.

Bila saya hitung-hitung airmata itu, rupanya saya menangisi sebuah perpisahan yang hanya sementara. Perpisahan sughro sahaja. Iyalah, masuk asrama untuk belajar, bukannya apa pun. Pergi Mesir juga untuk belajar bukannya apa pun.

Ayah saya selalu kata, tak payahlah nangis, inikan satu perjuangan. Benar. Tapi hakikat airmata itu turun hanya hati naluri yang mengetahui kerana hati adalah raja dalam kerajaan diri.

Hati tahu bila masa untuk riang, sedih, kesal dan marah. Malah hati yang lebih mengerti jalan perjuangan yang bakal di tempuh dengan sendiri.

Bila saya dengar berita sahabat-sahabat saya yang lebih dulu menghadap yang Esa, saya selalu bertanya, bila pula giliran saya? pemergian abadi teman-teman saya menyebabkan saya merasa waktu tibanya janji itu selalu hampir dengan saya.

Bila saya rasa sangat marah dengan sesiapa, saya berusaha untuk tidak menjadi serigala. Walaupun kadang-kadang marah itu sangat menguji diri saya.

Sebelum tidur saya selalu fikir, kalau nyawa saya diambil sebelum sempat saya bangun, maknanya segala perlakuan saya sebelum tidur itu adalah yang terakhir.

Semua kematian ada sabab musababnya, contoh lemas dalam air, dipatuk ular, kemalangan jalanraya, sakit dan sebagainya. Anda pernah terfikir kematian diri kita apakah musababnya? Semua itu dalam percaturan takdir yang sudah termaktub di Luh Mahfuz.

Ingatlah, bila tiba janji itu, tidak akan lewat atau terlajak walau sesaat pun. Sama-sama kita insafi diri selagi nyawa masih di jasad, selagi jantung masih berdetak.

Saya punya seorang sahabat, impiannya adalah mengharap nyawanya di cabut sebaik sahaja dia tamam (sempurna) Al Quran.

Bagi saya, tidak mampu tamam Quran pun, sekiranya doa saya setiap hari "matikan saya dalam islam dan penghujung yang baik dan jauhkan saya mati dengan penghujung yang tidak baik" termaqbul itu sudah cukup.




0 comments: