Sebelum ini, saya ada beberapa laman blog tetapi saya tidak pernah menulis tentang saudara kandung saya atau yang lebih tepat, adik beradik saya. Kali ini hati terasa ingin mencoret sesuatu untuk diabadikan di laman ini.
Ke ceruk mana pun kita, kita tetap akan kembali kepada insan-insan yang bergelar keluarga. Tidak kiralah ayah, ibu, adik beradik, pakcik, makcik, dan sebagainya.
Kita semua bermula dari sebuah keluarga. Mana mungkin kita wujud di muka bumi ini tanpa dilahirkan oleh seorang insan yang bernama ibu. Bagi yang bertuah, lahirnya di dalam sebuah keluarga yang sempurna.
Ada ayah, ibu, abang, kakak dan adik. Lengkap. Begitu juga dengan saya. Dilahirkan dalam keluarga yang lengkap. Ada ayah dan ibu yang sangat baik. Walaupun tidak punya abang, tetapi saya ada dua orang kakak yang hebat, tiga orang adik perempuan yang comel dan seorang adik lelaki yang kacak.
Walaupun adik lelaki itu bukan adik kandung saya, tetapi air susu ibu dan darah yang mengalir di tubuhnya sudah cukup untuk meruntuh hijab antara kami adik beradik perempuan dan dia. Saya sangat gembira dengan kehadiran dia di sisi kami.
Kakak sulung saya, Nur El Hafizah binti Hj Numan kini seorang kaunselor di salah sebuah sekolah Menengah di Kota Kinabalu. Sudah berumahtangga dan punya seorang anak lelaki bernama Muhammad Dhia'ul Hakim Syah bin Muhammad Imran Syah. Kalau saya salah taip, minta ampun ya.
Kak Long saya ini seorang yang tegas namun punya kelembutan dan bisa kompromi. Seorang yang mengambil berat, peka, dan tangkas bertindak. Seorang yang pantang dicabar terutama yang melibatkan keluarga atau dengan kata lain, selalu membela keluarga.
Sudah sewajarnya begitu kerana dia adalah anak sulung. Kak Long saya ini cantik. Alhamdulillah kurniaan Allah. Orang selalu cakap mirip dengan pelakon Maria Farida. Tapi mata saya tidaklah nampak sama dengan Maria Farida.
Tapi lebih mirip kepada ayah saya. Lebih baik miripkan dengan ayah daripada Maria Farida yang tiada ikatan darah kan. Penat-penat ibu saya melahirkan, tiba-tiba mirip Maria Farida. Alahai. Tapi tidak apa, itukan pandangan mata orang saja. Kita hargai seadanya.
Kakak kedua saya, Nur El Hanizah binti Hj Numan kini seorang guru di salah sebuah sekolah Menengah di Bintulu, Sarawak. Sudah berumahtangga dengan orang sarawak dan punya seorang anak perempuan bernama Nur Izzah Awfiyah binti Ehzatul Awlia. Kalau salah taip, minta ampun juga ya.
Kak Ngah saya ini seorang yang sangat 'cool' sekalipun di maki hamun. Seorang yang berjiwa niaga dan sistematik. Suka membaca dan membeli buku ilmiah. Tetapi, jika buku yang dibelinya itu tulisannya tidak gempak, dia mesti cakap"nenek aku pun boleh tulis macamni".
Seorang yang sentiasa berwawasan dan wawasannya itu selalu jauh ke hadapan. Kak ngah saya ni pun cantik, alhamdulillah. Orang kata mirip Amy Mastura. Tapi mata saya tidak nampak pula macam Amy Mastura.
Tapi lebih mirip dengan ayah dan ibu saya. Mix sudah. Kan lebih baik miripkan dengan orangtua sendiri. Kak Ngah saya selalu bagi semangat saya menulis untuk hasilkan buku. Dia juga selalu menangis bila keluarga di timpa masalah.
Lupa cerita, dia ni guru fizik. Akalnya pintar dalam subjek-subjek sains. Alhamdulillah, semuanya kurniaan Allah.
Kemudian, adik pertama bawah saya. Maknanya saya anak ketiga. Adik pertama saya ni anak keempatlah. Namanya Elferanah binti Hj Numan. Belum berumahtangga dan berumur 21 tahun. Sekarang menuntut di Maktab Perguruan Tawau.
Seorang yang agak pendiam tetapi tetap ceria. Berbakat dalam seni dan penulisan. Jangan sesekali cari pasal dengan dia, nanti hangit sendiri kalau baca blog dia. Adik saya ni pun cantik, kata orang mirip pelakon hindustan.
Tapi mata saya tengok mirip ayah saya juga. Dia seorang yang sangat kreatif, tidak makan daging kecuali daging ayam. Pandai main piano. Adik saya juga seorang yang pintar dalam subjek-subjek sains. Dulu sekolah MRSM di sarawak. Selalu dapat keputusan cemerlang sejak UPSR.
Dia juga banyak mengajar saya selok belok komputer dan hal blog memblog dan saya juga amat mengagumi bakat menulis yang ada padanya.
Adik kedua saya, Nurul Hidayah binti Hj Numan. Sekarang berada di tingkatan lima. Berbakat dalam perbahasan. Baru-baru ini mewakili sekolah dalam perbahasan Parlimen bahasa inggeris. Ayah dan ibu meremang bulu roma dengar dia berbahas.
Adik saya ini juga cantik. Kulitnya putih melepak macam ibu saya. Kata orang, dia mirip dengan saya. Tapi mata saya tetap tidak nampak mirip dengan saya tapi mirip dengan ibu. Seorang yang rajin dan selalu bodek saya supaya belanja dia top up celcom Rm10.
Dia bakal menduduki Spm tahun ini, mudah mudahan dia cemerlang lagi seperti persembahan pelajarannya sebelum ini.
Adik perempuan saya yang bongsu, Nurul Safuroh binti Hj Numan. Kini berada di tingkatan dua. Dia juga cantik dan pintar. Kalau balik rumah, rajin masak. Saya selalu doakan dia menjadi lebih matang.
Satu-satunya adik lelaki saya, Deen Farhan Joyl. Sangat kacak di mata saya. Berkulit putih gebu. Rambut keperang-perangan. Macam Mat Saleh, tapi kawannya pula kata dia jarang mandi sebab tu rambut perang.
Rambutnya memang semulajadi macam tu. Dia ni pintar cuma kadang-kadang sikapnya yang selalu liat buat saya selalu bercekak pinggang. Tapi dia pandai ambil hati saya. Tapi pandai pula minta balasan," alang ada bawa Playstation? mau main game timbak-timbak"
Dia sanggup buat apa saja demi GAME. Sampai masak untuk makan sekeluarga pun dia sanggup asalkan dia dapat main game!
Semua adik beradik saya ini sangat sayang dengan saya dan pastinya sayang saya pada mereka tidak dapat diukur dengan apapun. Lautan pun tidak dapat menandingi sebesar dan seluas mana sayang saya pada mereka.
0 comments:
Post a Comment