09 November, 2009

Sedarilah, Kita Ini Hamba


Hidup ini penuh ranjau. Itu adalah hakikat. Ranjau derita dan bahagia itu biasa dalam kehidupan. Bagi siapa yang pandai mengemudi hidup, pasti ranjau bahagia lebih banyak daripada derita.

Namun, bagaimana pula dengan yang bijak mengemudi tetapi ranjau derita tetap bersamanya? Di sinilah ramai manusia yang mula hilang pertimbangan. Merasakan diri tidak disayangi oleh Allah dan merasa hidup ini sia-sia.

"kenapa Kau jadikan hidupku begini Ya Allah..sedangkan aku patuh pada semua perintahMu.." Adakah kita sebagai hamba berhak menanyakan ini kepada Allah, zat yang memiliki seluruh tadbir alam ini?

Saya ada seorang kenalan perempuan. Dia banyak bercerita dengan saya tentang kehidupannya. Kisah cintanya dengan suami orang. Katanya, hidup dia banyak berubah. Saya tanya dia apa yang berubah?

Pertama kali saya tanya, dia enggan menjawab. Saya tidak memaksa. Semakin hari, dia kerap ke rumah saya. Bercerita dan terus bercerita tentang semua keterlanjurannya. Kemudian dia bertanya pendapat saya tentang hidupnya. Saya kata, kembalilah ke sisi Allah, pohon rahmatNya.

Selepas itu, dia mula menjawab soalan saya tentang perubahan hidupnya yang dia maksudkan. Saya mendengar setiap patah perkataannya. "kakak dulu pun pakai tudung, solat lima waktu, baca quran tiap-tiap hari, tapi hidup kakak bukannya tambah bahagia tapi terus-terusan malang!"

Dia mula beremosi. Seolah menyesali segala kepatuhannya kepada Allah sebelum ini. Kemudian saya tanya, "jadi sekarang hidup kakak bahagia?". Dia diam seketika dan berkata "lebih bahagia berbanding dulu".

Rasa terkilan menusuk sukma saya waktu itu. Saya terus beristighfar dan berdoa agar saya tidak diuji sedemikian rupa. Putus asa pada rahmat Allah. Saya mohon agar dijauhkan dari sifat putus asa itu.

Hingga kini, saya tidak lupa berdoa untuk kenalan saya itu. Moga Allah menemukan nusrah untuknya. Moga dia menyedari hakikat hidup di dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal lagi abadi adalah akhirat sana.

Hakikat yang mudah ditutur namun payah dilentur adalah 'aku hamba Allah'. Ruang lingkup menjadi hamba kepada pencipta itu masih banyak yang perlu kita kaji dan ketahui. Tidak sekadar menulis 'aku hamba Allah'.

Jangan sesekali buruk sangka dengan Allah dan rasa putus asa denganNya. Percayalah, semakin hebat ujian diri kita, semakin hebat kasih sayang Allah pada kita. Ikhlaslah dalam menunaikan perintahnya, pasti Allah memerhati setiap inci ibadat dan tingkahlaku kita.

Saya berdoa untuk diri saya dan kalian juga.

0 comments: