14 November, 2009

Solat Sebagai Kunci Kebahagiaan


Tulisan ini sebagai peringatan kepada diri saya dan sahabat semua. Islam mewajibkan solat lima waktu ke atas semua umatnya. Bila namanya wajib, jika tidak ditunaikan, maka dosa besar jawabnya.

Jika hendak hurai sejarah bagaimana solat boleh jadi lima waktu, pasti panjang sekali. Bagaimana Nabi terpaksa berulang kali membuat permohonan agar di kurangkan waktu solat yang sebelum ini beratus-ratus waktu.

Sehingga bilangan waktu solat itu tinggal lima waktu pun, Nabi masih meminta agar dikurangkan lagi, tetapi ditolak. Ini juga adalah salah satu tanda kasih sayang Nabi pada kita semua, kerana memahami kelemahan kita sebagai umat manusia sehingga rela memohon agar waktu solat dikurangkan.

Kini, solat lima waktu wajib ke atas kita umat islam. Maghrib, Isyak, Subuh, Zuhur dan Asar. Lima waktu sehari semalam. Semua kita wajib menunaikan ini, tidak kira siapa kita, datuk, datin, wakil rakyat, pegawai, usahawan, petani, peniaga, perdana menteri, sekiranya beragama islam, maka wajib ke atasnya.

Bilamana wajib, sesiapa yang tidak menunaikannya, maka secara batin hidupnya terasa tidak bahagia. Sebab apa? fitrah akal diri manusia ini, bila ada sesuatu yang belum selesai olehnya, dia pasti rasa gelisah dan gundah gulana.

Berjaya tinggi manapun, kaya banyak manapun jika solat kita abaikan, maka saya yakin, bahagia tidak bersama kita walaupun zahirnya nampak sempurna. Solat ini boleh menjaga tingkah kita, gerak geri kita dan menenangkan hati nurani kita.

Sejujurnya, saya ini selalu diuji dengan kesakitan, jadi boleh dikatakan saya selalu menunaikan solat bukan dalam keadaan yang sempurna. Pada mulanya, ada ralat di hati saya kerana pastinya saya mahu berdiri setegaknya menghadap Allah.

Tetapi, akhirnya saya rasa tenang kerana Allah itu lebih tahu. Oleh itu, kesempatan sewaktu sihat, boleh berdiri tegak menunaikan solat amatlah saya hargai.

Solat itu sentiasa buat hati kita tenang. Bila kita sudah tunaikan solat lima waktu, automatiknya hati kita bahagia dan tenang kerana kita sudah menunaikan perkara yang wajib di sisiNya.

Lumrahnya begitu, contohnya kita ini pelajar universiti, buat tugasan itu wajib kata pensyarah kerana akan menentukan lulus dan gagal kita sebagai penuntut. Jadi sesiapa yang tidak melunaskan tugasan wajib itu, maka dia akan gagal.

Adakah antara kita yang bahagia dan tenang dengan yang namanya kegagalan? begitulah juga dengan perkara solat lima waktu. Jika kita tidak menunaikannya, maka kita adalah umat islam yang gagal.

Seringkali saya dengar, "belum terbuka pintu hati nak solat" ataupun "belum tiba masanya dapat hidayah nak solat". Habis tu nak tunggu sampai kiamat tiba, baru nak solat? Alangkah lemahnya kita ini, sehingga solat hanya lima waktu pun susah untuk didirikan.

Tidak terbayang saya, bagaimana jika waktu solat ini bilangannya ratusan waktu. Mampukah kita tunaikan? lima waktu pun susah, apatah lagi ratus. Bersyukurlah pada Allah. Tunaikanlah hak Allah itu, kita sujud kepadanya dan berserah.

Kalau kiamat sudah tiba, segala pintu sudah tertutup. Pintu taubat apatah lagi. Sudah tertutup rapat serapatnya.

Saya insan lemah, maka itu saya sentiasa memohon agar Allah pelihara saya dan keluarga saya agar terus menjadi hamba yang terus mendirikan solat. Jauhi kami dari dugaan merbahaya dari makhluk syaitan.

Sedarilah oleh kita, solat adalah kunci yang sangat basic dalam meraih kebahagiaan hakiki.

3 comments:

Unknown said...

perkongsian yg bermanfaat.Manusia semakin melupakan solat.Syukur kita masih dapat bersolat,tapi kita perlu ada risau cmne kita nak solat dgn sempurna...

Saya kagum dgn saudari..Sesungguhnya sakit bukan alasan utk tidak bersolat.kan? =)

Melatidaisy said...

salam..
syukran ukhti ats peringatan ini:)

nur_islam said...

Assalamua'laikum...
Salam mahabbah ya ukhti...

Hari ni kebetulan ada baca ayat al-Quran, sesuai buat peringatan bg mereka yang lalai dlm solat dan enggan menunaikan solat.

Allah SWT berfirman:
"(..) Sesungguhnya, org2 yg menyombongkan diri dari meyembahKU akan masuk neraka jahanam dlm keadaan hina dina." (Al-Mu'min: 60)

"(neraka)Wail lah bagi orang-orang yang solat,
(yaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (AL Maa'uun: 4-5)

Org yg sombong tidak mahu menyembah Allah adalah juga Allah maksudkan kpd org yg tidak menunaikan solat. Yg mana org yg tidak bersolat dikatakan tarafnya adalah sama seperti org2 yg kafir.

Perlu diingat bukan org kafir sj yg tidak akan masuk syurga selama-lamanya tetapi ada juga org2 Islam yg juga tidak akan masuk syurga iaitu org yg kufur akan perintah dan enggan menyembah Allah SWT.

Allahua'lam....